
Daging masak kicap adalah antara menu paling sering dimasak dan dihidangkan disetiap rumah. Pun begitu sebenarnya ia mempunyai rasa yang pelbagai apabila bahan-bahan yang digunakan berbeza dengan apa yang biasa kita gunakan. Cuba resipi ini dan siapa tahu ia mungkin menepati citarasa selera anda sekeluarga.
BAHAN-BAHAN:
1kg daging | potong nipis-nipis
BAHAN TUMIS:
4 biji bawang merah | dihiris
2 biji bawang putih | dihiris
2 biji bawang besar Bombay | dihiris kasar
125ml kicap pekat
5cm kulit kayu manis
3 kuntum bunga cengkih
3 kuntum bunga lawang
Sedikit air asam jawa
Garam secukup rasa
Minyak untuk menumis
BAHAN KISAR:
3 biji bawang besar Bombay
4 biji bawang putih
5cm halia
4 sudu makan cili giling (bergantung kepedasan yang diingini)
1 sudu teh serbuk ketumbar
1 sudu teh jintan manis
CARA MEMASAK:
1. Panaskan sedikit minyak. Tumis bahan yang telah dikisar bersama bahan tumisan lain kecuali hirisan bawang besar. Tumis hingga naik bau wangi dan pecah minyak.
2. Kemudian masukkan daging yang telah dicuci dan dihiris nipis tadi. Masukkan air secukupnya dan biarkan ia mereneh hingga daging empuk.
3. Setelah itu, masukkan kicap pekat dan air asam jawa, reneh lagi hingga kuah memekat. Perasakan dengan garam secukup rasa.
4. Akhir sekali, masukkan bawang besar yang dihiris kasar.
5. Sedia dihidangkan.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Langkah Demi Langkah Masak Kari kambing Indian Style Yang Pekat, Sedap & Tiada Bau Langsung

Beberapa hari lagi kaum India akan menyambut perayaan Deepavali. Tak salah juga jika kaum lain turut mengambil mood cuti perayaan ini dengan menghidangkan menu kari kambing yang sinonim kaum India untuk santapan sekeluarga.
Caranya dikongsi sendiri oleh Sheena Supramaniam. Bagusnya, beliau turut berkongsi cara yang dipraktikkan untuk menghilangkan bau hamis daging kambing sebelum dimasak.
Cara buat kari kambing pekat, Indian style
1. Sediakan daging kambing lebih kurang 1kg – 1.5kg. Cara hilangkan bau hamis kambing; cuci dengan serbuk kunyit yang banyak. Cuci sebanyak empat kali.
2. Kisar 10 ulas bawang putih, halia saiz ibu jari 4 – 5 ketul, bawang kecil dalam 6 hingga 10 biji. Tambah cili hijau 2 tangkai waktu kisar.
3. Panaskan minyak, tumis rempah 4 sekawan bersama jintan manis.
4. Masukkan daun kari dan tuang sekali bahan yang dikisar.
5. Bila naik bau, masukkan daging kambing.
6. Masukkan serbuk kunyit lebih kurang 1 sudu besar untuk 1kg to 1.5kg kambing.
7. Masukkan air, sukatan agak-agak sampai daging kambing tenggelam separuh. Kalau air dah kering tapi daging belum masak, boleh tambah air lagi kemudian.
8. Bila sudah mendidih masukkan tomato.
9. Alihkan dalam periuk dan tutup. Cara ini klasik dan cepat masak. Guna api sederhana, setiap 15-20 minit buka dan kacau. Selepas daging masak boleh ikut langkah seterusnya.
10. Masukkan serbuk kari ayam/daging dalam 3-5 sudu besar (boleh guna jenama Rajas, Alagappas atau Lingams). Masukkan juga serbuk cili ikut selera masing-masing.
11. Masukkan kentang diikuti dengan garam.
12. Kemudian akhir sekali masukkan lagi tomato. Tomato yang dimasuk awal tadi sudah hancur dan sebati dalam kari. Ia akan pekat dan beri rasa masam-masam dalam kuah. Tomato ini akan nampak bentuknya.
Biarkan seketika dan tutup api. Boleh hidangkan.
Kredit resepi dan foto: Sheena Supramaniam
Koleksi Resipi Lauk Pauk Sesuai Masak Di Hujung Minggu.

Hujung minggu adalah waktu bagi kaum ibu untuk masak pelbagai hidangan istimewa buat keluarga. Maklulah pada hari biasa masing-masing sibuk dengan tugasan serta kerjaya. Jadi bila tiba hari cuti, haruslah dimanfaatkan sepenuhnya. Khas buat anda, RASA kongsikan idea masakan yang anda boleh hasilkan di hujung minggu ini. Selamat mencuba!
1. SAMBAL SOTONG BERSANTAN
BAHAN-BAHAN:
6 ekor sotong segar ] bersihkan dan potong mengikut kegemaran saiz kegemaran anda
3 sudu makan santan pekat
6 ulas bawang merah ] tumbuk halus
2 ulas bawang putih ] tumbuk halus
1cm halia ] tumbuk halus
5 sudu makan cili giling
1 labu bawang besar ] dihiris
1 sudu teh pes asam jawa ] larutkan dengan 100ml air
1 sudu teh garam
1 sudu teh gula perang
CARA MEMASAK:
1. Panaskan satu sudu makan minyak dan tumis bahan yang telah ditumbuk halus dan cili giling hingga garing. Gunakan api yang sederhana. Kacau selalu sehingga pecah minyak.
2. Masukkan sotong yang telah dihiris dan garam. Kecilkan api dan gaul lagi. Biar sambal mereneh. Kacau dan masukkan bawang besar dan santan pekat.
3. Apabila sudah pecah minyak, masukkan air asam jawa dan gula perang. Gaul dan reneh sehingga kuah pekat.
4. Angkat dan sedia dihidangkan.
Info Chef: Gula nipah atau gula apung lebih sedap untuk sambal ini. Sotong boleh direndam dalam air halia yang ditumbuk sebelum menumis bagi mereka yang ada alahan kepada sotong.
2. UDANG MASAK GULAI KERISIK
BAHAN-BAHAN:
500gm udang segar bersaiz sederhana
30gm nanas mengkal separuh masak dipotong kecil
1 biji bawang besar dihiris kasar
4 ulas bawang merah | ditumbuk
2 ulas bawang putih | ditumbuk
8 ulas cili padi | ditumbuk
2 biji cili masak | ditumbuk
2 cm halia | ditumbuk
250ml santan pekat
150ml air
1 sudu teh serbuk kunyit
50gm kerisik
Sehelai daun kunyit disiat kasar
Garam dan gula mengikut cita rasa
CARA MEMASAK:
1. Satukan semua bahan yang telah ditumbuk, hirisan bawang besar, nanas, serbuk kunyit, daun kunyit, separuh daripada santan dan air di dalam periuk dan masak hingga mendidih pada api yang sederhana dan dikacau selalu.
2. Kemudian tuangkan baki santan dan baki air yang tinggal serta kacau lagi sehingga kuah mendidih. Pastikan santan tidak berketul.
3. Setelah nanas telah empuk, baru dimasukkan udang, kerisik, garam dan sedikit sahaja gula sekadar sesuai rasa. Kacau rata.
4. Kecilkan api dan reneh seketika gulai dan kacau selalu sehingga kuahnya pekat.
5. Angkat dan sedia dihidangkan.
Info Chef: Jika suka pedas, boleh tambah jumlah cili padi.
3. SUP GEAR BOX
BAHAN-BAHAN:
2 kg Tulang lembu Gear-Box
5cm halia ] dititik
1 biji bawang besar ] dihiris
3 ulas bawang putih ]ketuk
1 bungkus sup bunjut
2 sudu makan serbuk ketumbar ]jadikan pes
1 sudu makan serbuk jintan manis ] jadikan pes
1 sudu makan serbuk jintan putih ]jadikan pes
2 biji buah pelaga
1cm kulit kayu manis
2 kuntum bunga cengkih
1kuntum bunga lawang
5 biji cili padi ] ketuk
Sedikit bawang goreng ] hiasan
Daun sup secukupnya ] hiasan
Air limau nipis secukupnya
Air untuk merebus secukupnya
Minyak untuk menumis secukupnya
CARA MEMASAK:
1. Di dalam sebuah periuk, rebus tulang sampai empuk. Setelah empuk, angkat tulang dan ketepikan.
2. Masukkan sup bunjut, halia dan bawang besar di dalam rebusan sup. Teruskan mereneh menggunakan api yang kecil. Ketepikan.
3. Ambil kuali dan letakkan dua sudu makan minyak masak dan tumis rempah empat sekawan iaitu buah pelaga, kulit kayu manis, bunga cengih dan bunga lawang secara berasingan. Kemudian masukkan pes rempah serta bawang putih dan halia yang dititik. Setelah naik bau wangi, tuangkan bahan goreng ini ke dalam periuk air rebusan tulang.
4. Kacau dan didihkan. Masukkan semula tulang tadi ke dalam sup. Perisakan garam dan gula.
5. Tuang air limau nipis dan suaikan rasanya.
6. Masukkan beberapa biji cili padi yang diketuk dan suaikan rasa pedasnya. Dalam mangkuk besar, masukkan tulang dan taburkan daun sup serta bawang goreng sebagai hiasan.
Info Chef: Untuk cepat empuk tulang,rebus menggunakan periuk tekanan.
4. KERANG MASAK HITAM
BAHAN-BAHAN:
1kg kerang segar ] cuci hingga bersih
100gm cili giling
6 ulas bawang putih ]cincang halus
5cm halia muda ]cincang halus
50gm sos tiram
1 sudu teh minyak bijan
15 biji cili padi ] dihiris
150ml kicap pekat manis
2 sudu makan tepung jagung ] larutkan dengan 80ml air
Sedikit hirisan daun bawang dan lada sulah
Garam, gula dan cuka secukupnya
Minyak masak secukupnya
CARA MEMASAK:
1. Panaskan minyak di dalam kuali dan tumis cili giling, bawang putih serta halia hingga garing.
2. Masukkan sos tiram, minyak bijan dan kicap pekat manis dan gaul rata. Setelah itu perasakan dengan garam, gula dan cuka secukup rasa.
3. Kemudian masukkan kerang dan gaul selama lima minit.
4. Curahkan bancuhan tepung dan gaul hingga kuah pekat. Masukkan hirisan cili padi dan daun bawang.
5. Angkat dan sedia dihidangkan.
Info chef: Elakkan menabur bawang goreng dan daun sup kerana masakan ini adalah ala cina dan jika mahu, lebih sesuai ditabur daun ketumbar.
5. AYAM GORENG DAUN PANDAN
BAHAN-BAHAN:
Dua keping isi ayam | dipotong saiz 4cm sebanyak 8 keping
4 ulas bawang merah | dikisar
1 ulas bawang putih | dikisar
2.5cm halia | dikisar
1.25cm lengkuas | dikisar
2 batang serai dihiris | dikisar
1.25cm kunyit hidup | dikisar b
1 sudu makan sos ikan
1 sudu makan gula
Daun pandan secukupnya
Lidi pencucuk secukupnya
Minyak untuk menggoreng secukupnya
CARA MEMASAK:
1. Gaulkan bahan kisar dengan kepingan ayam. Perasakan dengan sos ikan dan gula. Perapkan semalaman di dalam peti sejuk ( chiller ). Ketepikan.
2. Ambil sehelai daun pandan dan balutkan seketul ayam yang diperap dan sematkan lidi supaya daun tidak tertanggal semasa menggoreng. Ulangi langkah hingga selesai.
3. Panaskan minyak di dalam kuali dan goreng ayam sehingga masak dalam masa 15 minit hingga garing.
4. Angkat dan tos.
5. Sedia dihidangkan.
Info Chef: Pastikan daun pandan dilayurkan dahulu supaya mudah membalut ayam.
6. AYAM GORENG BEREMPAH
BAHAN-BAHAN:
1 ekor ayam |belah lapan, digaram sedikit dan digoreng
1 sudu makan serbuk ketumbar | dijadikan pes rempah
1 sudu makan serbuk jintan putih | dijadikan pes rempah
1 sudu makan serbuk jintan manis | dijadikan pes rempah
4 ulas bunga cengkih | rempah penumis
4 ulas buah pelaga | rempah penumis
1cm kulit kayu manis | rempah penumis
2 ulas bawang putih | dihiris
5 ulas bawang merah | dihiris
10 cili kering direndam | dikisar
2 biji buah keras | dikisar
2.5cm kunyit hidup | dikisar
3 batang serai dihiris | dikisar
1.25cm lengkuas dihiris | dikisar
1 sudu teh pes asam jawa
Garam dan gula secukup rasa
Minyak masak secukupnya
CARA MEMASAK:
1. Lumur ayam dengan sedikit garam dan goreng garing. Ketepikan.
2. Ambil sedikit minyak baki menggoreng ayam dan tumislah bahan penumis, pes rempah, hirisan bawang tadi. Tumis hingga naik bau wangi.
3. Masukkan pula bahan kisar dan gaul rata. Goreng di atas api yang sederhana. Setelah itu perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
4. Masukkan ayam dan reneh di atas api kecil sehingga kering dan garing.
5. Angkat dan sedia dihidangkan.
Info Chef: juadah ini memerlukan anda bijak dalam mengawal asam garamnya untuk mendapatkan rasa yang sesuai sekali.
7. UDANG MASAK TOMATO
BAHAN-BAHAN:
500gm udang segar|bersihkan
5 ulas bawang merah | dikisar halus
1 ulas bawang putih | dikisar halus
5cm halia muda | dikisar halus
3 batang serai dihiris | dikisar halus
2 sudu makan cili boh
1 biji buah pelaga
2 kuntum bunga cengkih
1cm kayu manis
50ml sos tomato
50ml sos tiram
80gm bawang goreng
Garam dan gula secukup rasa
Minyak masak secukupnya
CARA MEMASAK:
1. Panaskan minyak di dalam kuali dan goreng udang yang telah dilumur sedikit garam hingga garing. Angkat dan ketepikan.
2. Tinggalkan kira-kira dua sudu makan minyak baki menggoreng udang tadi dan tumis buah pelaga, bunga cengkih dan kulit kayu manis hingga naik bau wangi. Masukkan pula cili boh dan gaul hingga garing.
3. Kemudian masukkan bahan yang telah dikisar dan tumis hingga naik bau.
4. Masukkan sos tomato dan sos tiram , kecilkan api dan teruskan menumis. Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
5. Akhir sekali, masukkan udang goreng bersama bawang goreng dan gaulkan sebati.
5. Angkat dan sedia dihidangkan.
Info Chef: Jika tidak suka, tidak perlu masukkan bawang goreng.
8. SOTONG BAKAR SUMBAT SAMBAL
BAHAN PES SUMBAT SAMBAL:
800gm sotong
5 biji cili masak | dikisar kering
3 biji cili padi | dikisar kering
5cm lengkuas | dikisar kering
3 ulas cili padi | dikisar kering
3 batang serai dihiris | dikisar kering
8 biji bawang kecil | dikisar kering
2 biji bawang putih | dikisar kering
5cm halia | dikisar kering
1 sudu kecil serbuk kunyit
1 sudu kecil jus limau nipis
½ biji kelapa parut
1 helai daun kunyit diracik halus
Garam dan gula secukupnya
Lidi untuk menyemat sotong
Foil aluminium secukupnya untuk membungkus sotong
CARA MEMASAK:
1. Bersihkan sotong dan tos. Ketepikan.
2. Di dalam satu mangkuk, bahan yang telah dikisar kering digaulkan dengan serbuk kunyit, jus limau nipis, kelapa parut dan daun kunyit sehingga sebati. Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa. Ini menjadi bahan inti kepada sotong tadi. Ketepikan.
3. Ambil sotong, sumbat bahan inti ke dalam sotong sepenuh mungkin dan sematkan lidi. Pastikan inti tidak terkeluar. Ulangi langkah hingga selesai.
4. Ambil selembar kertas aluminium dan letakkan sotong di tengahnya serta taburkan baki inti di atas sotong-sotong tadi. Bungkus sotong dan bakar di dalam ketuhar dengan suhu 180 celcius selama 25 minit atau dibakar hingga masak.
5. Angkat dan sedia dihidangkan.
Info Chef: Jika tidak ada ketuhar, boleh bakar menggunakan kuali pemanggang ajaib.
Daging Masak Lemak Cili Api, Buat Cara Tumis Luar Biasa Sedap

Daging, kalau dibuat masak lemak cili api memang ‘terangkat’ habis. Lauk buat menambah nasi jadinya. Lagi-lagi kalau dibuat pedas sedikit.
Jika lazimnya, cara memasak daging masak lemak cili api akan terus dicampur semua bahan sekali ke dalam periuk, tetapi resipi perkongsian Yayar B. Awang Noh kali ini dimasak secara tumis.
Jom ikuti langkah demi langkah membuat daging masak lemak cili api cara Yayar. Sedap!
BAHAN-BAHAN:
800g daging
(BAHAN KISAR)
3 ulas bawang besar – Boleh beli online di sini
2 ulas bawang putih
Sedikit halia – Boleh beli online di sini
1 sudu kecil serbuk kunyit – Boleh beli online di sini
(BAHAN TAMBAHAN)
2 batang serai dititik – Boleh beli online di sini
3 helai daun limau purut
1 asam keping – Boleh beli online di sini
1 kotak santan Farm Fresh 200ml
CARA MEMASAK:
Rebuskan daging menggunakan periuk tekanan tinggi selama 8 minit.
Kisarkan bawang putih, bawang merah halia dan serbuk kunyit.
Panaskan minyak.
Tumiskan bahan-bahan yang dikisar tadi.
Kemudian, masukkan serai, daun limau purut dan asam keping.
Setelah itu, masukkan daging serta sedikit air rebusan daging.
Masukkan santan kotak. Kacau rata sehingga mendidih.
Perasakan pula dengan gula, serbuk perasa Ajinomoto dan garam.
Siap. Selamat mencuba.
Kredit: Yayar B. Awang Noh
[ Sertai Telegram Geng Rasa Share Resipi ]
Dapatkan lebih banyak resipi di laman web RASA:
Kari Ikan Kembung Stail Mamak. Ini Resipi Kuah Cantik, Rasa Pun Umph!
Kek Pisang Coklat Kluster Kayangan. Rasa Mewah, Sedap Tak Terkata
Resipi Kuih Tiram Nipis Dan Rangup Turun Temurun, Boleh Buat Niaga
Tonton lebih banyak video masakan mudah & sedap di Dailymotion @Rasa & Youtube @Majalah Rasa Official