
Sedapnya Daging Dendeng. Memang sesuai dijadikan idea menu makan tengahari keluarga hari ini. Bila sebut pasal dendeng, ada pelbagai jenis resipi yang boleh ditemui. Ada yang manis bercampur kicap, ada yang menggunakan ketumbar dan bermacam-macam lagi gaya masakan mengikut citarasa masing-masing.
Bagi penggemar lauk sambal dan pedas, menu ini memang wajib cuba. Resipi perkongsian saudari Fatin Najwa Misuan ini cukup mudah dan ringkas tetapi hasilnya sangat sedap serta membuka selera.
Jom cuba sendiri di rumah.
Potong daging secara lebar dan pastikan hirisan melawan urat supaya hasilnya tidak liat apabila dimasak.
Rebus daging bersama serai, daun salam, halia dan garam menggunakan pressure cooker selama kira-kira 5 minit sahaja. Jika menggunakan bahagian daging yang banyak otot, rebus sedikit lebih lama sehingga empuk.
Jangan buang air rebusan daging kerana boleh digunakan semula untuk menyediakan sambal dan menambahkan rasa pada masakan.
Keluarkan daging yang telah direbus dan tumbuk sekeping demi sekeping secara perlahan. Tujuannya supaya daging menjadi lebih nipis dan lebar.
Selepas itu, gaulkan daging bersama kicap manis dan sos tiram secukupnya.
Panaskan minyak dan goreng daging hingga sedikit garing. Berhati-hati ketika menggoreng kerana minyak boleh meletup sedikit akibat kandungan air pada daging.
Ketika ini, Daging Dendeng sebenarnya sudah cukup sedap dimakan begitu sahaja.
Untuk sambal, kuantiti bahan boleh diubah mengikut jumlah daging atau tahap kepedasan yang disukai.
Kisar bahan sambal secara kasar supaya tekstur sambal lebih sedap dan bawang tidak terlalu berair.
Panaskan minyak dan tumis semua bahan kisar hingga pecah minyak dan naik bau wangi.
Masukkan air asam jawa yang dibancuh bersama sedikit air rebusan daging. Ada juga yang suka menggantikannya dengan air nanas, limau kasturi atau limau nipis untuk rasa lebih segar.
Tambahkan gula melaka dan garam secukup rasa. Seimbangkan rasa pedas, masam dan manis mengikut citarasa masing-masing.
Akhir sekali, masukkan daun limau purut dan gaul sebati bersama sambal.
Masukkan daging yang telah digoreng tadi dan gaul hingga semua sambal melekat sempurna pada daging.
Daging Dendeng siap dimasak dan sedia untuk dinikmati bersama nasi putih panas.
Memang puas dapat makan Daging Dendeng homemade begini. Rasa pedas sambalnya memang ngam dan sangat sesuai untuk penggemar lauk berempah dan pedas.
Kredit resipi & foto: Fatin Najwa Misuan
[Sertai Telegram Geng Rasa Share Resipi]
Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA: