
Dah jam 9 pagi tapi belum sarapan? Biasalah tu. Hujung minggu sarapan lambat. Bagi yang belum ada idea nak makan apa pagi ni. Boleh cuba buat Cucur Bilis Kucai & Cili Kering resipi perkongsian Chef Sue M Arukin ni. Makan panas-panas memang terangkat! Percayalah anda pasti tak boleh nak ‘move on’ . Sedap, cukup rasa dan pedas!
CUCUR BILIS KUCAI & CILI KERING
BAHAN-BAHAN:
- 300gm tepung gandum
- 100gm ikan bilis
- 8 tangkai cili kering
- 1/2 cawan cincangan daun kucai
- Garam secukupnya
- Air panas secukupnya
CARA MEMASAK:
1. Campurkan cincangan kucai dan garam ke dalam mangkuk berisi tepung.
2. Sementara itu, potong kecil cili kering kemudian rebus sekejap. Toskan dan tumbuk kasar bersama ikan bilis yang dah dibersihkan.
3. Tuang bahan tumbuk ke dalam bekas berisi campuran tepung. Gaul rata.
4. Tuang air panas (benar-benar panas) ke dalam mangkuk tepung lalu gaul (guna senduk ya, nanti tangan melecur) hingga menjadi adunan yang tak terlalu cair dan tak terlalu pekat. Air panas ni kena pandai agak kuantitinya.
5. Biarkan adunan sekejap (dalam 10-15 minit). Kemudian goreng dalam minyak yang panas hingga keperangan.
6. Hidangkan panas dengan sos pilihan. Enjoy!!
Info chef: Adunan cucur yang dibancuh dengan air panas akan menghasilkan cucur yang rangup di luar dan lembut dibahagian dalam.
Kredit resipi & gambar: Chef Sue M Arukin
Asam Pedas Ikan Kembung, Wanita Ini Kongsi Tip Kuah Pekat

Asam pedas kena pekat kuahnya barulah ngam! Kalau kuahnya cair, selalunya dinamakan asam rebus.
Wanita yang menggunakan facebook dengan nama Hajar Jaafar memberikan tip supaya kuah asam pedas lebih pekat dan sedap.
Menurut Hajar, “Bagi mendapatkan kuah asam pedas jadi pekat, caranya adalah begini. Selepas masukkan air asam jawa, biar kuah asam pedas mendidih dalam tempoh agak lama. Didihkan sehingga warna kuah menjadi merah pekat dan berkilat.”
Jom kita lihat resipi asam pedas ikan kembung resipi ori Melaka yang turut Hajar kongsikan di laman facebooknya.
ASAM PEDAS IKAN KEMBUNG
BAHAN-BAHAN
1 labu bawang besar
4 ulas bawang putih
1/2 inci halia
Minyak masak untuk menumis
1 biji bunga lawang
3 biji bunga cengkih
1 batang kulit kayu manis
1 senduk cili kering kisar
2 sudu asam jawa + air semangkuk
5 biji bendi
1 batang terung (dipotong)
2 biji tomato (belah 4)
3 ekor ikan kembung
CARA MEMBUAT
1. Bawang besar, bawang putih dan halia dikisar.
2. Panaskan minyak masak. Masukkan bunga lawang, bunga cengkih dan kulit kayu manis.
3. Masukkan bahan kisar (bawang besar, bawang putih dan halia) tadi.
4. Masukkan cili kering kisar. Tumis semuanya sampai pecah minyak.
5. Masukkan air asam jawa. Biarkan mendidih.
6. Masukkan bendi, terung dan tomato.
7. Masukkan ikan dan perasakan dengan secukup garam dan biar mendidih sekali lagi.
8. Keluarkan semula rempah supaya kuah tak pahit/payau. Siap untuk dimakan.
Selamat mencuba!
Sumber: Hajar Jaafar
Santai Seisi Keluarga di Restoran Satay Bakar, Nikmati Sate Tanpa Lemak & Sate Khusus Untuk Vegetarian
Satu lagi tempat santai seisi keluarga kini dibuka di Seksyen 13 Shah Alam. Bermula Februari 2020, Satay Bakar memulakan operasinya dengan membuka kiosk kecil-kecilan di Seksyen 13 dan juga Seksyen 2. Namun kini, Satay Bakar mengorak langkah dengan membuka restoran pula.
Menurut wakil jenamanya, Sharini Selamat, keistimewaan Satay Bakar adalah menghidangkan sate tanpa lemak. Ini kerana ramai pelanggan mereka yang meminta sate tanpa lemak.
“Kami memberi pilihan untuk yang sangat suka makan sate tapi tidak suka ada lemak. Satay Bakar memberi solusi ini kepada anda untuk menikmati sate ayam dan sate daging tanpa lemak. Jangan risau, walaupun tanpa lemak, dengan penelitian pada perapan rempah ratusnya menjadikan sate yang dihasilkan masih mengekalkan cita rasa sedap. Sate kami juicy, lembut dan memuaskan. Inilah kelebihan Satay Bakar dalam menghasilkan sate tanpa lemak,” kata Sharini yang mesra dipanggil Nini.
Menurut Nini, perniagaan ini dibuka atas kerjasama adik beradik dan iparnya. Mereka ialah Khairul Adha Rusli, Mohd Shukri Selamat, Ain Nur Syahirah Othman, Norfarhani Sulaiman dan Farhana Selamat.
Mereka memilih perniagaan sate kerana sate ialah makan yang tetap diminati sampai bila-bila.
“Kami semua peminat tegar sate. Cuma, kami suka sate yang tiada lemak. Lagipun sate yang kami buat masih mengekalkan rasa sate sebenar iaitu resipi daripada abah. Kami buktikan sate tanpa lemak pun, rasa tetap juicy dan sedap,” katanya.

ADA PILIHAN UNTUK VEGETARIAN

Satay Bakar turut menghasilkan sate untuk golongan vegetarian iaitu sate cendawan. Diperap menggunakan ramuan sate, justeru rasanya juga seperti sate.
“Jadi, bagi anda yang tidak makan daging namun ingin menikmati sate, kami jemput cubalah menu sate cendawan kami. Rasanya persis seperti sate biasa juga kerana diperap menggunakan ramuan serupa. Cubalah, gerenti tidak kecewa,” tambah Nini.
MENU DISEDIAKAN



Satay Bakar menyediakan menu:
Satay ayam
satay daging
Satay kambing
Satay cendawan
Satay arnab (seasonal)
Satay itik (seasonal)
Satay kerang (seasonal)
Satay lidah (seasonal)
Nasi lemak telur dadar
Nasi impit & kuah kacang
Nasi lemak satay
Rojak satay
Satay frozen
“Kami juga menyediakan pelbagai jenis kopi, teh, soft drinks dan float. Untuk pencuci mulut, kami ada kek batik dan pelbagai jenis aiskrim,” tambah Nini.
RUANG SELESA UNTUK SEISI KELUARGA & PERTEMUAN BISNES


Tidak hanya memandang restoran sebagai tempat makan, Satay Bakar turut menyediakan ruang yang selesa untuk seisi keluarga membuat perjumpaan ataupun pertemuan bagi orang bisnes.
“Kami ada ruang makan dan ruang santai. Cukup selesa. Sangat sesuai jika ada pertemuan antara individu yang membuat bisnes bagi menjalankan perbincangan di sini,” ujarnya Nini menutup bicara.




LOKASI
SATAY BAKAR SEKSYEN 13, SHAH ALAM
(Dine in, delivery, take away, pick up)
SATAY BAKAR SEKSYEN 2, SHAH ALAM
(Delivery dan pick up by reservation)
WAKTU OPERASI
10 pagi hingga 10 malam (Tutup setiap Khamis)
SUMBER: facebook Satay Bakar Shah Alam
LAMAN WEB: www.sataybakar.com.my
5 Gaya Masak Sambal Mudah Untuk Menu Ramadan

Mencari resipi sajian sambal tradisional Melayu yang sedap dan mudah dimasak? Nah, min kongsikan 5 resipi sambal berasaskan ikan talang, jering, sotong, udang dan ikan siakap.
Himpunan resipi ni adalah menu sambal terhangat dari beberapa hotel di Kuala Lumpur dan Shah Alam.
JERING BERLADO IKAN TALANG MASIN
BAHAN-BAHAN:
10 biji jering | dibuang kulit dan belah dua
100 gm ikan masin talang | digoreng terlebih dahulu
BAHAN DIKISAR:
10 biji cili merah
10 biji cili padi
2 ulas bawang putih
1 biji bawang besar
1 biji jus lemon
Gula secukup rasa
Garam secukup rasa
CARA MEMASAK:
1. Panaskan minyak dalam kuali. Tumiskan bahan kisar sampai naik bau dan pecah minyak..
2. Masukkan jering dan ikan talang masin yang telah digoreng tadi.
3. Gaul sebati dan masukkan sedikit garam dan gula dan masukkan jus lemon yang telah diperah. Sedia untuk dihidang.
[Jangan Terlepas Resipi Menarik Di Channel Rasa]
NOTA: Jangan dikisar terlalu halus, seeeloknya cili ditumbuk kasar sahaja. Pilih jering yang tua kerana rasanya lebih enak. Jering dipercayai mempunyai khasiat kesihatan dan nilai perubatan.
SAMBAL TUMBUK BUNGA KANTAN
BAHAN-BAHAN:
1 kuntum bunga kantan
3 biji bawang kecil
1 ulas bawang putih
30 gm ikan bilis (jika suka digoreng dahulu)
10 biji cili padi
1 biji jus limau nipis
Garam secukup rasa
CARA MEMASAK:
1. Satukan semua bahan di atas dan tumbuk menggunakan lesung batu hingga lumat.
2. Simpan di dalam peti sejuk
[Sertai Telegram Geng Rasa Share Resipi]
NOTA: Sambal ini tidak ditumis dan dihidang mentah. Sedap dimakan bersama nasi putih sahaja. Jika buat lebih bakinya boleh dijadikan rencah nasi goreng bunga kantan.
SAMBAL SOTONG PETAI
BAHAN-BAHAN:
800 gm (2 ekor sotong saiz besar) | dihiris kecil
5 ulas bawang merah
½ biji bawang besar | dikisar
3 ulas bawang putih | dikisar
15 biji cili kering | rebus & dikisar
200 gm petai | dibuang kulit & belah
1 asam keping
Gula secukupnya
Garam secukupnya
CARA MEMASAK:
1. Panaskan minyak dan tumis bawang-bawang yang dikisar bersama cili kisar sehingga ia benar-benar garing.
2. Masukkan petai dan gula secukupnya, kacau seketika sebelum dimasukkan sotong.
3. Akhir sekali masukkan garam secukup rasa dan asam. Sesuaikan ikut rasa kepekatan yang anda suka.
4. Sambal sotong siap untuk hidangan.
NOTA: Petai akan rasa lebih enak jika digoreng sedikit dahulu. Tidak perlu memasukkan air kerana sotong mengeluarkan air yang banyak.
SIAKAP BAKAR SAMBAL OLAHAN BARU
BAHAN-BAHAN:
1 ekor ikan siakap saiz sederhana
BAHAN SAMBAL IKAN BAKAR:
220gm biji cili merah /buang biji dan potong kecil
2 sudu makan belacan bakar
150gm bawang kecil
Garam secukupnya
2 sudu teh sos ikan
2 ½ sudu teh gula | atau secukupnya
3 biji limau kasturi | perah jusnya
2 batang serai | dihiris halus
1 sudu makan serbuk kunyit
4 sudu makan minyak masak
PENCICAH SAMBAL BELACAN & BAWANG:
5 biji cili merah
2 biji cili padi
1.5 sm belacan
2 biji bawang kecil/dihiris nipis
Gula secukupnya
Garam secukupnya
½ cawan air asam jawa
CARA MEMASAK:
1. Sambal ikan bakar: Sediakan sambal dengan mengisar cili, bawang, belacan dan serai dalam pemproses makanan.
2. Pastikan ia halus dan bahan-bahan dikisar rata.
3. Panaskan minyak dalam kuali dan tumis pes sambal tadi hingga naik bau dan pecah minyak.
4. Pastikan cili benar-benar masak dan garing. Perisakan dengan garam, gula dan sos ikan. Ketepikan.
5. Cara masak sambal belacan bawang : Rendamkan biji asam jawa dalam air untuk 15 minit dan ambil jusnya.
6.Di dalam pemproses makanan kisarkan cili merah, cili padi, belacan bakar.
7.Tambahkan jus asam jawa, gula, garam dan hirisan bawang. Kisar rata dan ketepikan.
8. Memanggang ikan: Bentangkan daun pisang dan griskan permukaannya dengan minyak masak.
9. Letakkan ikan di atas daun pisang dan sapu rata-rata 2-3 sudu makan sambal di atasnya.
10. Letakkan ikan di atas gril (rak atas dengan kepanasan ‘indirect) dan tutup gril. Tunggu dua belas minit dan balikkan ikan. Tambahkan 2-3 sudu makan sambal di belah ini.
11. Masak lagi 5 minit dan alihkan ikan ke rak bawah dengan kepanasan langsung ‘direct heat’ untuk 2 minit.
12.Keluarkan dan hidangkan bersama sambal belacan dan bawang.
NOTA: Ikan bakar sambal yang pedas makin sedap dimakan bersama pencicahnya. Sambal ikan bakar ini boleh sahaja dibuat lebih sebagai stok untuk disimpan dalam peti sejuk. Apabila teringin nak makan ikan atau makanan laut bakar, sambalnya sudah tersedia.
SAMBAL UDANG BERSAMA TERUNG PIPIT
BAHAN-BAHAN:
250gm udang saiz sederhana
1 mangkuk kecil terung pipit
5 sudu makan cili kering | yang telah dikisar
5 biji bawang kecil | ditumbuk lumat
3 ulas bawang putih | ditumbuk lumat
2 sudu makan asam jawa | diperah bersama 1/2 cawan air
1 biji bawang besar | dihiris nipis
Garam & gula secukupnya
CARA MEMASAK:
1. Panaskan minyak dan udang digoreng seketika. Angkat cepat bila udang berubah warna. Boleh gunakan minyak goreng udang tadi untuk menumis bahan tetapi pastikan panas semula minyak itu hingga hilang air udang.
2. Goreng terung pipit sebentar.
3.Tumiskan cili kisar sehingga garing dan kemudian masukkan bawang kecil dan bawang putih hingga garing .Biarkan sampai terbit minyak.
4. Masukkan air asam garam, jawa, garam dan gula secukup rasa. Biarkan ia mereneh sekejap
5. Masukkan bawang besar yang dihiris nipis dan biarkan sehingga bawang besar layu.
6. Masukkan udang dan dibalik-balikkan sebentar. Angkat dan sedia untuk dimakan.
NOTA: Biarkan udang meresap dalam sambal dan keluar air manisnya, baru ditutupkan api.
Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap dan cepat dimasak di laman web Rasa:
Guna Resipi Sama 30 Tahun, Memang Menjadi Buat Biskut Almond Chocolate Chip
https://www.rasa.my/resipi-bahulu-comel-berwarna-pasti-anak-anak-suka/
Tonton lebih banyak video masakan mudah dan sedap di YouTube @Majalah Rasa Official: