Cekodok jagung lemak manis ini paling sesuai dibuat waktu petang. Makan pula waktu cekodok tengah panas lagilah sedap.
Rasanya yang lemak manis, di samping butiran jagung di dalamnya memang takkan cukup makan seketul dua. Membuatnya juga mudah, tak perlu gunakan air panas pun hasilnya tetap kembung elok. Lagi satu waktu goreng bau harum jagung buat kita tak sabar nak makan.
1/2 kg tepung gandum
1 tin jagung manis
2 sudu makan sus pekat
1 sudu makan mentega atau marjerin
5 sudu gula pasir
1 sudu makan mauripan
Air secukupnya
1. Satukan semua bahan kering ke dalam satu bekas iaitu tepung gandum, gula pasir dan mauripan. Gaul sehingga sebati.
2. Masukkan bahan basah iaitu jagung manis, susu pekat dan mentega. Gaul rata.
3.Tambahkan air sedikit demi sedikit sambil kacau sehingga menjadi adunan cekodok yang tak terlalu pekat dan tak terlalu cair. Jika rasa adunan kurang manis, boleh tambahkan sedikit gula dan kacau hingga sebati.
4. Perap adunan selama kira-kira setengah jam. Bekas tidak perlu ditutup, tetapi jika mahu tutup pun boleh. Selepas diperap, adunan akan naik dan mengembang.
5. Panaskan minyak di dalam kuali dengan api sederhana.
6. Jemputkan adunan dengan hujung jari dan tolak perlahan-lahan ke dalam minyak panas. Goreng sehingga cekodok kembang dan keperangan. Balik-balikkan supaya masak sekata.
7. Angkat cekodok yang telah masak dan ulang sehingga adunan habis.
Kredit resipi & foto: Suraya Yaacob
Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA