Apa yang saya perasan, apabila kita menggunakan jenis beras yang berbeza, cara untuk memasaknya juga lain. Ada masanya nasi saya jadi ‘cantik’, kadang-kadang lembik dan pernah juga keras dan kurang masak kerana tak cukup air. Apakah teknik memasak nasi yang betul?

Lain kualiti beras yang digunakan, sudah tentunya cara untuk menyukat air ketika memasaknya juga akan berbeza. Sebaiknya, kuasai 8 teknik ringkas ini bagi memastikan nasi yang anda masak ‘menjadi’.

 

1. SUKAT GUNA CAWAN

Sudah menjadi kebiasaan, kebanyakan orang menggunakan cawan untuk menyukat beras. Pastikan anda menggunakan cawan yang sama bagi menyukat jumlah beras dan air. Formula terbaik untuk memasak nasi adalah 1:1 atau 1: 1.5 iaitu, 1 cawan beras bersamaan dengan 1 hingga 1 1/2  cawan air.  Jika anda menggunakan beras yang perlu dimasak menggunakan banyak air seperti beras siam, jumlah airnya mungkin perlu ditambah.

 

2. GEMBUR NASI

foto: blueapron.com

Untuk menjadikan nasi yang dimasak jadi lebih elok dan berbutir, anda digalakkan untuk menggembur nasi sebaik sahaja airnya sudah kering. gemburkan dengan lembut supaya nasi tidak hancur dan tutup semula periuk sehingga nasi benar-benar masak.

 

3. TIGA KALI BASUH

foto: loveandrelish.com

Untuk menggelakkan nasi menjadi lekas basi adalah dengan membasuh dan bilas beras sebanyak 3 kali. Kurang daripada itu akan menyebabkan kanjinya terlalu banyak dan nasi mudah basi kerana teksturnya cenderung untuk menjadi lembik.

 

4. SUKAT GUNA RUAS JARI 

Untuk menyukat jumlah air yang cukup untuk beras yang dimasak adalah dengan menggunakan ruas jari hantu atau telunjuk. Selepas beras dibilas, ratakan permukaan beras dan celupkan jari ke dalam air. Pastikan jari berada di atas permukaan beras dan sukatan air haruslah berada pada satu ruas jari.

 

5. MASAK ATAS DAPUR

foto: tastessence.com

Jika anda memasak nasi atas dapur, jangan mudah alpa. Menggunakan periuk elektrik sangat mudah kerana suhunya akan berubah sendiri mengikut tetapan yang telah dipilih. Memasak nasi di atas dapur memerlukan anda untuk menjadi lebih peka supaya nasi tidak hangit.

Ketika air mulai kering, anda harus perlahankan sedikit api supaya nasi masak perlahan-lahan tanpa menghangitkannya. Kemudian, gembur nasi dan dibiarkan selama       lebih kurang 7-10 minit lagi supaya ia benar-benar kering dan masak dengan sekata.

 

6. LEBIHAN NASI

Untuk membuat nasi goreng, anda harus menggunakan nasi yang dimasak dengan tepat. Jika nasi yang digunakan lembik, nasi goreng akan hancur dan tidak sedap. Jika ada lebihan nasi dan anda merancang untuk masak pada hari esoknya, simpanlah di dalam peti ais supaya teksturnya menjadi lebih cantik dan sesuai digoreng.

 

7. MASAK BERAS BASMATHI

foto: gsvexports.com

Untuk memasak beras basmathi, caranya tidak sama seperti anda memasak nasi biasa. Gunakan sukatan beras dan air pada nisbah 1: 1.5. Katakan anda guna 2 cawan beras, maka airnya haruslah 3 cawan air. Anda juga perlu rendam beras sekurang-kurangnya 30 minit sebelum dimasak untuk hasil nasi yang gebu dan lembut. Jika kesuntukan masa dan tak nak rendam beras, boleh tambah air kepada dua cawan.

 

8. MASAK BERAS PERANG

Jika anda mahu memasak beras perang, lebih kurang sama dengan beras basmathi. Untuk 1 cawan beras perang, masak menggunakan 1.5 – 2 cawan air. Masaklah seperti biasa. Anda pasti akan sukakan rasanya.

 

Moga perkongsian ini memberi manfaat dan membantu anda di dapur. Selamat mencuba!