Cara-Cara Buat Jem Homemade Guna Durian, Manggis, Rambutan & Nanas. Mudah & Sedap!

Share

Sekarang musim buahan-buahan. Jadi bila stok banyak, bolehlah hasilkan pelbagai jenis makanan menggunakan buah-buahan ni. Selain tahan lama, jem buah-buhana ini juga sangat sedap. Buat banyak-banyak dan boleh nikmati pada bila-bila masa walaupun di luar musim. Jom cuba!

 

1. JEM RAMBUTAN

BAHAN-BAHAN:

  • Buah rambutan
  • Gula pasir – ikut sukatan 3 cawan isi rambutan + 1 cawan gula pasir
  • Sedikit esen vanilla
  • Sedikit pewarna merah – jika suka

CARA MEMASAK:

1. Kupas kulit rambutan dan basuh bersih.

2. Rebus rambutan dengan sedikit air hingga isinya hampir lekang dari biji dan airnya kering. Jangan sampai hangus dan pastikan selalu dikacau.

3. Ambil isi rambutan dan kisar tanpa air.

4. Masukkan isi rambutan ke dalam kuali. Tambahkan gula serta sedikit esen vanilla. Kacau hingga pekat berkilat.

5. Bila jem dah sejuk, simpan dalam bekas bertutup.

6. Enak dimakan bersama roti, biskut atau dijadikan inti bahulu gulung.

Kredit resipi & foto: Azlina Olin

 

2. JEM DURIAN

BAHAN-BAHAN:

  • Isi durian segar
  • Gula secukupnya

CARA MEMASAK:

1. Asingkan isi durian dari bijinya.

2. Masukkan ke dalam kuali dan campurkan dengan gula. Jumlah gula tidak perlu terlalu banyak kerana buah durian sudah sedia manis dan bagi mengelakkan jem menjadi keras.

3. Kacau jem menggunakan api sederhana hingga menjadi jernih.

4. Angkat dan simpan dalam bekas bertutup. Boleh dinikmati mengikut kreativiti.

Kredit resipi & foto: MariaKhalisya Khalis

 

3. JEM MANGGIS

BAHAN-BAHAN:

  • Buah manggis
  • Gula – ikut jumlah buah dan kemanisan yang dikehendaki

CARA MEMASAK:

1. Kupas buah manggis dan ambil isinya sahaja.

2. Masukkan ke dalam kuali dan masak guna api sederhana. Tambah gula mengikut jumlah buah dan kemanisan yang dikehendaki. Untuk warna lebih menarik, boleh juga tambahkan sedikit pewarna ungu.

3. Kacau sentiasa supaya jem tidak hangus.

4. Bila jem kelihatan agak pekat, angkat dan sejukkan terlebih dahulu sebelum dinikmati.

5. Simpan jem dalam bekas bertutup dan letak dalam peti sejuk supaya tahan lama.

6. Sedap dimakan bersama roti.

 

Kredit resipi & foto: Robaatie Yakin

 

4. JEM NANAS

BAHAN-BAHAN:

  • 10kg nanas parut – anggaran 20 biji nanas Moris. Buang kulit dan mata nanas.
  • 2kg gula pasir
  • 500gm gula batu
  • 2 batang kulit kayu manis
  • 3-4 helai daun pandan
  • 2 sudu teh garam

CARA MEMASAK:

1. Masak nanas parut dan jusnya (diparut tanpa air) menggunakan api sederhana panas ( sederhana kecil).

2. Selepas 1 jam, air jus nanas mula kering.

3. Jam yang kedua, dah tinggal serat nanas.

4. Boleh masukkan gula. Tabur rata.

5. Kacau sebati hingga gula larut.

6. Kemudian masukkan pula gula batu. Fungsi gula batu ialah untuk menjadikan jem ini kental sikit.

7. Masak hingga jem betul-betul kering. Padamkan api dan boleh sejukkan.

8. Ini inti yang dah sedia diletak atas pastri.

Kredit resipi & foto: Faziatun Nisa Yusof Basha

 

 

 

 

IKLAN