Makanan

Cara Buat Sendiri Sup Bunjut Di Rumah, Terjamin Bersih, Lebih Jimat & Penuh Aroma

Share

Sup bunjut homemade sebenarnya sangat mudah disediakan sendiri di rumah. Selain lebih jimat, anda juga boleh memastikan bahan yang digunakan lebih bersih dan berkualiti. Ramai yang membeli sup bunjut segera di kedai, namun dengan beberapa rempah ratus asas, sebenarnya boleh menghasilkan sup bunjut homemade yang lebih beraroma dan sedap untuk pelbagai jenis masakan sup.

Sup bunjut sering digunakan untuk menaikkan rasa kuah sup agar lebih wangi, lazat dan menyelerakan. Dengan membuat sendiri di rumah, anda boleh mengawal sukatan rempah mengikut cita rasa keluarga. Aroma rempah yang segar juga menjadikan masakan lebih enak berbanding sup bunjut segera.

Bahan-Bahan Sup Bunjut:

  • 1 sudu makan biji ketumbar
  • 1 sudu teh jintan manis
  • 5-6 biji lada hitam
  • 10 biji buah pelaga
  • 1 kuntum bunga lawang
  • 1 batang kecil kulit kayu manis
  • Kain muslin atau kain kasa
  • Benang putih
Sup bunjut

Cara Buat Sup Bunjut:

  1. Mula-mula, cuci bersih semua rempah ratus dan toskan sehingga air kering.
  2. Kemudian, sangai seketika atas kuali tanpa minyak. Langkah ini membantu mengeringkan rempah dan menaikkan aroma semula jadi rempah ratus.
  3. Selepas itu, tumbuk kasar semua bahan seperti ketumbar, jintan manis, lada hitam, buah pelaga, bunga lawang dan kulit kayu manis. Jangan tumbuk terlalu halus kerana tekstur kasar membantu aroma keluar dengan lebih perlahan ketika dimasak.
  4. Sediakan kain muslin atau kain kasa bersih yang dipotong kecil kira-kira bersaiz 2×2 inci.
  5. Letakkan campuran rempah di bahagian tengah kain tersebut dengan kemas.
  6. Bungkus dan ikat menggunakan benang putih sehingga ketat supaya rempah tidak terkeluar ketika direbus di dalam kuah sup.
  7. Sup bunjut homemade siap untuk digunakan dalam masakan atau disimpan di dalam balang kedap udara.
sup bunjut

Kelebihan Buat Sendiri Sup Bunjut

Membuat sup bunjut homemade sendiri mempunyai banyak kelebihan. Selain dapat berjimat, anda juga lebih yakin dengan tahap kebersihan bahan yang digunakan. Tiada bahan pengawet tambahan dan aroma rempah juga lebih kuat kerana menggunakan bahan yang masih segar.

Sup bunjut homemade ini sesuai digunakan untuk memasak sup ayam, sup daging, sup tulang dan pelbagai lagi hidangan berkuah. Malah, aroma rempah yang terhasil mampu menjadikan masakan lebih menyelerakan terutama ketika dihidangkan panas.

Jika anda gemar memasak dalam kuantiti banyak, anda boleh menyediakan beberapa bunjut lebih awal dan simpan dalam bekas kedap udara. Cara ini bukan sahaja memudahkan kerja di dapur, malah menjimatkan masa ketika memasak.

Tip Simpan Sup Bunjut

Untuk memastikan sup bunjut homemade tahan lebih lama, simpan di tempat kering dan jauh daripada kelembapan. Pastikan rempah benar-benar sejuk sebelum disimpan bagi mengelakkan kulat atau bau hapak.

Anda juga boleh menyimpan sup bunjut homemade di dalam peti sejuk jika mahu mengekalkan kesegaran rempah lebih lama. Gunakan bekas kedap udara supaya aroma rempah tidak hilang.

Mudah saja sebenarnya nak buat sup bunjut homemade di rumah. Dengan hanya menggunakan beberapa rempah ratus asas, anda sudah boleh menghasilkan sup bunjut yang lebih wangi, bersih dan menjimatkan. Memang puas hati bila buat sendiri kerana rasa dan aromanya lebih asli.

Selamat mencuba!

[Sertai Telegram Geng Rasa Share Resipi]

Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA:    

 

Published by
Suhaidah Abd Wahab