Makan

Cara Buat Nyonya Kari Ayam Kapitan, Kari Ayam Sedap Lain Dari Biasa

Share

Cara buat nyonya kari ayam kapitan ini memang patut dicuba kalau nak rasa lauk kari ayam yang lain dari biasa.

Hidangan tradisi masyarakat Peranakan berbeza kerana kombinasi rempahnya yang wangi, kuah santan yang lemak, dan sentuhan daun limau serta daun ketumbar yang menjadikan rasanya lebih eksotik.

Berbanding kari biasa, kari ayam kapitan ada rasa masam sedikit dari air asam, pedas dari cili kisar, dan wangi herba segar yang sangat menggoda selera. Sesuai dihidang bersama nasi putih panas, roti atau pulut kuning. Paling penting, cara masaknya mudah!

Cara Buat Nyonya Kari Ayam Kapitan

Bahan-Bahan

½ ekor ayam, dipotong kecil
3-4 sudu besar cili kisar
2-3 sudu besar air asam jawa
¼ kotak santan (kotak kecil)
1 cawan air
Garam dan gula secukup rasa
Daun bawang dan daun ketumbar, dihiris untuk tabur

Bahan Kisar

1 biji bawang besar
5 ulas bawang putih
1 inci halia
1 inci lengkuas
3 batang serai
6 helai daun limau purut
2 tangkai daun dan akar ketumbar

Cara Penyediaan

1. Gaul ayam dengan garam dan kunyit, kemudian goreng hingga masak. Angkat dan ketepikan.

2. Panaskan minyak, tumis bahan kisar hingga wangi.

3. Masukkan cili kisar, tumis hingga pecah minyak.

4. Masukkan ayam goreng tadi, gaul rata.

5. Tuang air asam jawa, kacau. Masukkan santan dan air, kacau hingga kuah mula pekat.

6. Perasakan dengan gula dan garam secukup rasa.Tabur daun bawang dan daun ketumbar sebelum tutup api. Siap untuk dihidang!

Tip RASA

Untuk rasa lebih beraroma, gunakan daun ketumbar segar bersama akarnya waktu kisar.

Kalau suka lebih berlemak, boleh lebihkan sedikit santan.

Sedap dimakan keesokan hari kerana kuah lebih sebati dan rasa rempah jadi lebih padu!

Kredit resipi & foto: Liza Idris

Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA

 

Published by
Rose