Resipi Kek Marble paling mudah yang boleh dicuba oleh anda yang tidak mempunyai mesin pengadun di rumah. Hanya dengan menggunakan senduk, anda masih boleh menghasilkan kek yang sedap untuk suami dan anak-anak. Aroma bila dibakar, fuhhh…wangi satu rumah. Memang harus cuba resipi perkongsian saudari Noor Irmazai Juhari ni. Pasti puas hati.
CARA MEMASAK: 1. Pukul marjerin dengan gula sampai kembang dan warna bertukar menjadi putih. 2. Masukkan telur satu demi satu diikuti esen vanilla. 3. Seterusnya masukkan tepung gandum. Kacau hingga adunan menjadi sebati.
4. Bahagikan adunan kepada beberapa bahagian yang anda ingin warnakan. Masukkan warna ikut cita rasa. Sebatikan. (empunya resipi guna 3 warna: coklat, warna asli dan hijau)
5. Tuang adunan ke dalam loyang yang telah dioles dengan mentega. Corakkan mengikut kreativiti masing-masing. 6. Bakar kek pada suhu 180°c selama 30-40 mint atau sehingga kek masak. Guna api bawah sahaja.
7. Jika suka kek yang sedikit garing di bahagian atas, bakar sekejap menggunakan api atas selepas kek masak sepenuhnya.
Anda suka makan Char Kuay Teow? Ya..Ini ada resipi untuk membuat kuah kicap, pes cili dan juga cara-cara masak menu ni secara homemade. Resipi perkongsian saudari Azrina Surono ni memang berbaloi untuk dicuba. Lepas ni bolehlah buat sendiri. Lebih bersih, diyakini halal dan sedap! Selamat mencuba.
RESIPI PES CILI, KUAH KICAP & CARA MASAK CHAR KUAY TEOW
RESIPI KUAH KICAP
1 liter air
6 ulas bawang putih -ditumbuk
1 kiub pati ayam
3 sudu makan sos tiram
2 sudu makan kicap pekat
10 sudu makan kicap manis
3 sudu makan kicap sotong
2 sudu makan gula
Garam secukup rasa
CARA MEMASAK:
Satukan semua bahan kecuali garam. Didihkan 20-25 minit.
Kemudian baru letakkan garam secukupnya. Untuk kuah kicap ni, biar kuah rasa masin sedikit.
RESIPI PES CILI
100gm pes cili
1 genggam udang kering – bersihkan
1 labu bawang putih
Minyak masak secukupnya
CARA MEMASAK:
Kisar semua bahan. Kemudian tumis sampai garing dan pecah minyak.
Bila dah siap, sejukkan dan simpan. Guna bila nak masak.
RESIPI MINYAK BAWANG PUTIH: (TIADA DALAM GAMBAR)
BAHAN-BAHAN:
1 labu bawang putih
1 cawan minyak masak
CARA MEMBUAT:
Kisar bawang putih dan rendam dalam minyak.
RESIPI CHAR KUAY TEOW
BAHAN-BAHAN:
1 sudu makan minyak bawang putih
1 sudu makan pes cili
1 senduk kuah kicap
Udang secukupnya – dibersihkan
Tauge & kucai secukupnya
Kuetiau halus
Telur
( boleh juga tambah kerang )
CARA MEMASAK:
Panaskan minyak bawang putih dan goreng udang sebentar. Jika suka, boleh tambah isi kerang bila udang dah masak.
Masukkan pes cili. Kacau sebati.
Seterusnya masukkan kuah kicap. Jumlahnya boleh ditambah jika nak char kuay teow yang berkuah. Biarkan mendidih.
Dengan pantas, masukkan tauge, kucai dan kuetiau. Kacau cepat dan laju. Jangan lama sangat nanti kuah akan kering.
Pecahkan telur, padam api dan kacau laju-laju. Siap untuk dinikmati.
INFO:
Setiap kali buat set char kuay teow ni, masakan yang pertama mesti kena cuba dulu dan adjust masin, manis, pedas semua.sebab setiap bahan yang kita gunakan tak sama. Lain jenama, lain rasanya. Ubah suai rasa dalam kuah kicap tu. Tambah apa yang kurang. Bila dah ok masakan pertama, barulah senang nak masak yang seterusnya.
Udang ikut suka nak kopek kulit atau tak. Kalau kopek,kulitnya jangan buang tapi direbus dan masukkan airnya dalam rebusan kicap tadi.
Buah-buahan antara ramuan istimewa melazatkan kek anda . Selain buah-buahan citrus dan beri, buah-buah tempatan seperti nenas dan durian juga tidak kurang hebat rasanya.
Pemilik kedai Dill Cakes dari, Apartment Sri Nuang, Taman Bukit Bandaraya Shah Alam Fadzil Md Salleh sudi berkongsi 5 jenis kek buah-buahan yang sungguh enak ini. Cubalah, ya
Pakar Kek Fadzil Mohd Salleh, Pemilik Dill Cakes
1. KEK BUAH PRUN
BAHAN-BAHAN :
200 gm prun yang dibuang biji | rebus prun hancur dan sejukkan
1 cawan air
1 cawan gula hangus @ karamel
8 biji telur
340 gm gula kastor
340 gm tepung naik sendiri | diayak
1 ½ buku mentega
CARA MEMASAK : 1. Putar mentega dan gula hingga kembang. 2. Masukkan telur sebiji sebiji dan putar perlahan hingga kembang. 3. Masukkan prun yang dihancurkan tadi dan putar lagi. 4. Kemudian masukkan pula gula hangus @ karamel dan kacau rata 5. Masukkan tepung dan kacau rata. 6. Masukkan di dalam tin pembakar berukuran 25 sm x 25 sm yang telah digriskan dengan mentega dan ditabur dengan sedikit tepung. 7. Panaskan oven dan bakar dalam suhu 160 darjah celcius (api atas bawah). Bakar selama 60 minit atau sampai masak bergantung kpd oven masingmasing.
Saiz hidangan: 1 tin pembakar empat segi (25 sm x 25 sm) Waktu memasak: 1 jam Keistimewaan: Rasa buah prun yang hebat
INFO :Kek ini menjadi lebih sedap lagi jika disimpan semalaman dalam peti sejuk. Jika suka hiaskan dengan butter cream dan hirisan buah prun.
2.KEK NANAS TERBALIK
BAHAN-BAHAN :
8 biji telur
425 gm gula perang
1 ½ buku mentega
1 kg tepung naik sendiri | diayak
1 tin nenas keping | kisar 2 keping nanas dengan air yang dalam tin
Sedikit ceri merah hiasan :
CARA MEMASAK : 1. Putar mentega dengan gula sampai kembang. 2. Masukkan tepung dan telur sebiji demi sebiji sampai kembang. 3. Masukkan mentega dan putar dengan kelajuan perlahan sampai rata. 4. Masukkan nanas yang telah dikisar tadi dan kacau rata. 5. Masukkan tepung dan kacau rata. Masukkan tepung beransur. 6. Masukkan dalam loyang bulat yang sudah digriskan dengan mentega dan ditabur sedikit tepung, bersaiz 28 sm 7. Panaskan oven pada suhu 160 darjah celcius, dan bakar selama 30 – 40 minit, sehingga kek masak.
Saiz hidangan: 1 loyang bulat bersaiz 28 sm Waktu memasak: 40 minit Keistimewaan: Kek nanas dengan bahan yang ringkas, rasa nanas masam manis
INFO : Kek yang tahan lama dan sedap dimakan ‘plain’ tanpa hiasan krim.
3.KEK KEJU KIWI
BAHAN-BAHAN :
1 kg krim keju
2/3 tin susu pekat
1 cawan krim putar @ whipping cream
1 sudu teh esen vanilla
5 sudu makan pai kiwi ‘filling’ (boleh didapati dari kedai kek)
Bahan dasar kerak :
250gm biskut marie | dihancurkan
125gm mentega | dicairkan
Bahan topping @ permukaan :
1 sudu teh serbuk gelatin
30 ml air30ml air
150 gm kiwi pie filling @ inti pai kiwi
CARA MEMASAK : Dasar kerak : 1. Hancurkan biskut marie, kemudian cairkan mentega. Gaulkan biskut yang telah hancur dengan mentega yang telah dicairkan. 2. Letakkan adunan dalam loyang bulat saiz 25 sm 3. Tekan adunan supaya padat. Masukkan sebentar dalam peti sejuk agar dasarnya lebih padu. Krim keju : 4. Keluarkan krim keju 20 – 30 minit sebelum digunakan. 5. Putar krim keju dan susu serta whipping cream sehingga sebati. 6. Masukkan sedikit pai kiwi dan gaulkan. 7. Tuangkan adunan ke dalam berisi biskut tadi. 8. Panaskan oven dan bakar pada suhu 170 darjah celcius selama 2 ½ jam. 9. Keluarkan dan bila sejuk, masukkan dalam peti sejuk selama 3-4 jam supaya kek benar-benar sejuk untuk dikeluarkan dari loyang pembakar. 10. Hias atas kek dengan kiwi pie dan hirisan buah kiwi mengikut kreativiti anda
Hiasan permukaan /topping :
10. Campurkan gelatin dengan air dan panaskan sebentar sebentar supaya gelatin tadi larut. Selepas itu masukkan kiwi pai filling, kacau. Sedia untuk disapukan atas kek.
Saiz hidangan: 1 loyang pembakar bulat bersaiz 25.4 sm Waktu memasak: 3 jam Cara Memasak : Bakar dengan teknik ‘water bath’ Keistimewaan: Kek keju berkrim dengan rasa kiwi asli
INFO :Sedap dimakan sejuk-sejuk dari peti ais. Keluarkan kek dari Loyang pembakar, hanya selepas ia disimpan lebih dari 4 jam dan benar-benar sejuk.
4. KEK BUTTER VANILLA STRAWBERI
BAHAN-BAHAN:
120 gm gula kastor*
10 gm ovalet*
4 biji telur gred A
130 gm tepung superfine / tepung kek*
1 sudu teh serbuk penaik*
40 ml air
60 gm minyak jagung / mentega cair
1 sudu makan strawberi emulco
Bahan krim frosting: * (Putar satu kotak fresh cream dengan mixer. Putar sehingga ia lembut dan kental dan campurkan sedikit jem strawberi)
CARA MEMASAK : 1. Panaskan oven pada suhu 170 darjah celcius. Siapkan loyang bulat 23 sm, griskan dengan mentega dan alas dengan baking paper. 2. Satukan semua bahan bertanda * dalam mangkuk sederhana besar. 3. Menggunakan mesin pengadun, putar sehingga kembang dan gebu. 4. Masukkan strawberi emulco dan air, putar lagi hingga sebati. 5. Masukkan minyak jagung/mentega cair, Gaulkan hingga sebati. 6. Tuangkan adunan ke dalam loyang pembakar . 7. Panaskan oven pada suhu 170 darjah celcius dan bakar selama 45 min. 8. Selepas kek sejuk boleh sapu dengan frosting fresh cream yang telah diputar. 9. Bahagikan kek kepada 3 lapisan dan lapiskan dengan fresh cream di antaranya. Sapukan ‘fresh cream’ di atas dan keliling kek dan indahkan dengan hirisan buah strawberi.
Saiz hidangan : 1 loyang bulat bersaiz 23 sm Waktu memasak: 45 minit Keistimewaan : Rasa strawberi dan gebu berkrim
INFO : Goncang kotak fresh cream sebelum dituang ke dalam mangkuk mixer. Ini kerana ketika ia dinyahbekukan, kemungkinan kandungan krim dan air yang terdapat di dalamnya telah terpisah . Jika terus tuang anda mungkin hanya menuang airnya dan krimnya tertinggal di dalam.
5. KEK MARBLE DURIAN
BAHAN-BAHANNYA:
425 gm gula kastor
3 cawan tepung naik sendiri | diayak
8 biji telur
1 1/2 buku mentega | cairkan dalam suhu bilik
1 cawan isi durian
Beberapa titik pewarna ikut suka
Bahan krim frosting: * (Putar satu kotak fresh cream dengan mixer. Putar sehingga ia lembut dan kental Campurkan satu cawan durian
CARA MEMASAK : 1. Putar putih telur hingga kembang. Masukkan pula gula dan putar hingga kembang dan pekat. 2. Masukkan pula kuning telur sebiji demi sebiji dan putar perlahan hingga naik kembang. 3. Masukkan mentega dan putar hingga rata. 4. Masukkan pula durian dan putar lagi. 5. Kemudian masukkan tepung dan gaul rata. 6. Asingkan adunan ikut warna yang disukai. 7. Tuang selang seli dalam loyang pembakar yang sudah digriskan dengan mentega untuk jadikan corak marble. 8. Panaskan oven dan dan bakar dalam suhu 160 darjah celcius 40 minit atau sehingga masak. 9. Apabila kek sejuk, potong menjadi 3 lapisan dan lapiskan dengan fresh cream yang telah dicampurkan durian. 10. Letakkan sedikit isi durian sebagai hiasan.
Saiz hidangan : 1 tin pembakar segi empat saiz 17.8 sm x 17.8 sm Waktu memasak: 45 minit Keistimewaan : Rasa dan aroma durian yang enak, sedap dimakan ‘plain’ sahaja.
INFO : Pastikan durian segar digunakan untuk mengelak rasa masam pada kek. Jika ingin kek tahan lama masak durian dengan sedikit gula sehingga menjadi pes.
TERIMA KASIH : DILL CAKES, APARTMENT SRI NUANG, JLN GUNUNG NUANG U 11/37, TAMAN BUKIT BANDARAYA, SHAH ALAM. FB / IG:fadzilmdsalleh. http://dill-cakes.blogspot.com
Kadang lepas makan kita rasa nak makan sesuatu yang manis sebagai pencuci mulut. Nak buat sesuatu yang senang? Cuba buat agar-agar oreo ni. Guna 4 bahan saja. Tak perlu susah-susah. RASA kongsikan resipinya. Nanti boleh cuba buat.
AGAR-AGAR OREO
BAHAN-BAHAN
1 bungkus agar-agar tali
1 tin susu cair
1/2 tin susu pekat
2 peket biskut Oreo
CARA MEMBUAT
1. Masukkan 1200 ml air ke dalam periuk. Masak bersama agar-agar sehingga agar-agar larut.
2. Selepas agar-agar larut, masukkan susu cair dan susu pekat.
3. Kacau selama 5 minit. Biarkan mendidih dan tutup api. Ketepikan.
4. Susun biskut dalam loyang. Tuangkan adunan agar-agar tadi.
5. Tunggu sejuk sekejap dan masukkan dalam peti sejuk.
6. Setelah sejuk, potong ikut cita rasa anda.