Cara buat cempedak goreng rangup tapi tak berminyak, boleh guna resipi yang dikongsi oleh Ahmad Shukri Amiruddin. Resipi ini katanya turun temurun dari keluarga malah menjadi jualannya di gerai yang terletak di Setia Alam Selangor.
Setiap kali musim cempedak tiba, resipi inilah yang akan digunakan untuk menggoreng cempedak yang menjadi kegemaran pelanggannya.
Menariknya, resepi ini tidak menggunakan soda bikarbonat, sebaliknya hanya mempraktikkan petua orang kampung untuk memastikan cempedak goreng kekal rangup, tak menyerap minyak dan berkerak cantik di luar.
Paling utama campuran tepung kena tepat, teknik menggoreng kena betul selain pemilihan buah yang sesuai.
1 biji cempedak (sebaiknya jenis Cempedak Madu)
1 peket tepung beras
3 sudu besar marjerin atau minyak masak
2 sudu makan air kapur makan
1 sudu kecil kunyit
2 cawan air suam
Garam secukup rasa
1. Satukan semua bahan (kecuali cempedak) dan bancuh hingga menjadi adunan yang agak pekat. Jangan cair.
2. Panaskan minyak dalam kuali.
3. Celup cempedak dalam bancuhan tepung hanya ketika hendak digoreng. Jangan rendam awal!
4. Goreng hingga keemasan dan garing di luar. Angkat dan toskan atas tisu dapur.
Kredit resipi & foto: Ahmad Shukri Amiruddin
Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA