Pernah tak rasa pelik? Dah makan makanan sihat, tapi badan tetap rasa lesu, berat, atau cepat penat? Sebenarnya, bukan semua makanan boleh dimakan “ikut suka”. Ada cara betul makan makanan, dan kalau salah, khasiatnya boleh hilang begitu saja!
Jangan risau, RASA dah himpunkan panduan mudah dan logik. Cara sebenar untuk makan makanan harian kita supaya khasiat kekal, badan pun lebih sihat!
Ramai antara kita suka makan nasi, betul tak? Tapi sebenarnya, nasi putih elok dimakan pada waktu siang sahaja. Kenapa? Sebab waktu siang badan kita aktif dan boleh guna tenaga daripada karbohidrat tu. Tapi kalau makan nasi putih waktu malam, tenaga tak digunakan, akhirnya bertukar jadi lemak tersimpan. Nak lebih sihat, tukar kepada nasi perang atau beras perang. Ia kaya serat, buat kenyang lebih lama dan kawal paras gula dalam darah. Jadi, nasi bukan musuh. Yang penting, masa dan jenis nasi yang kita pilih!
Kopi memang penyelamat pagi ramai orang tapi kalau berlebihan, boleh jadi punca jantung berdebar, susah tidur dan dehidrasi. Disarankan 2 cawan sehari sahaja. Lebih dari tu, badan boleh ‘terkejut’ dengan dos kafein.
Nak lagi sihat? Pilih kopi tanpa gula tambahan. Kalau nak manis, guna madu (tapi jangan campur madu dalam air panas ya nanti enzim baiknya musnah!). Minum kopi dengan sederhana, dan badan pun akan rasa lebih segar, bukan menggigil!
Nampak jagung rebus di tepi jalan pun dah terliur, kan? Tapi tahukah anda, jagung lebih selamat dan berkhasiat bila dimasak.
Jagung mentah mungkin masih mengandungi bakteria yang belum mati dan boleh ganggu sistem penghadaman.
Apabila dimasak, nutrien seperti lutein dan zeaxanthin (baik untuk mata) akan lebih mudah diserap oleh tubuh. Jadi, rebuslah jagung tu dan bukan mentah kunyah macam salad ya!
Buah tembikai memang menyegarkan, tapi elakkan makan waktu malam. Sebabnya? Ia tinggi kandungan air dan gula semula jadi. Bila dimakan malam, perut boleh ‘berombak’ sepanjang tidur. Selain itu, tembikai juga boleh menyebabkan anda kerap buang air kecil dan ganggu kualiti tidur. Waktu terbaik makan tembikai? Tengah hari atau petang, waktu panas. Barulah nikmatnya terasa, bukan gangguan di tengah malam!
Ramai suka jadikan timun sebagai ulam sebelum tidur, kononnya nak ‘sejukkan badan’. Tapi sebenarnya, timun boleh menyebabkan perut kembung dan sejuk melampau bila diambil sebelum tidur. Kalau nak makan, ambillah waktu siang atau tengah hari.
Ingat, ‘cool’ tak semestinya sejuk ya!
Kentang ni bahan makanan versatile. Ia boleh jadi snek, boleh jadi lauk. Tapi bila digoreng, minyak berlebihan akan serap dalam isi kentang. Nak lebih sihat? Masak cara panggang atau rebus.
Kentang bakar lebih rendah kalori dan mengekalkan vitamin C serta kalium yang baik untuk jantung. Sihat, sedap, dan tak rasa bersalah kalau terlebih makan!
Ramai suka minum madu panas konon nak sihat, tapi sebenarnya madu kehilangan enzim bermanfaat bila kena suhu tinggi. Cukup campur dalam air suam saja. Madu panas bukan je hilang khasiat, tapi boleh hasilkan bahan toksik (Hydroxymethylfurfural – nama saintifiknya). Jadi, kalau nak guna madu untuk kesihatan, pastikan airnya suam-suam, bukan mendidih!
Bayam memang sumber zat besi terbaik, tapi ramai masak terlalu lama sampai zatnya hilang ke dalam air rebusan. Cara betul masaknya hanya sekejap sahaja, cukup sekadar 1-2 minit. Ini bantu badan serap zat besi dengan lebih efektif. Lepas ni, jangan ‘overcook’ sayur hijau ya!
Ramai sangka lobak merah mentah paling sihat, tapi sebenarnya lobak merah yang dimasak lebih mudah diserap oleh badan. Sebabnya, memasak bantu lepaskan beta-carotene, bahan yang ditukar jadi vitamin A untuk penglihatan dan kulit.Tak rugi pun kalau rebus atau tumis sekejap sebab khaisatnya baik untuk badan.
Bawang putih ni ‘superfood’ sebenar. Nak kuat imuniti? Kunyah seulas kecil bawang putih mentah atau campur dalam masakan di hujung masa memasak. Sebab bila dimasak terlalu lama, bahan aktifnya (allicin) akan hilang. Makan sikit pun dah cukup bagi tenaga dan lawan virus.
Makan keju waktu malam boleh buat perut rasa berat dan ganggu tidur sebab lemak susah hadam bila badan sedang rehat. Waktu terbaik untuk makan keju adalah semasa sarapan atau tengah hari! Campurkan dengan roti atau salad, barulah tenaga tahan lama dan mood pun ceria.
Ramai suka minum air banyak selepas makan, tapi sebenarnya ia boleh ganggu proses pencernaan. Bagi masa 30 minit – 1 jam selepas makan baru minum air.
Hasilnya badan akan lebih selesa, tak cepat buncit dan sistem hadam pun lebih lancar!
Kadang-kadang, bukan apa yang kita makan yang salah tapi cara betul makan makanan. Semua makanan ada khasiatnya, cuma perlu tahu waktu, cara masak, dan jumlah yang sesuai. Bila makan dengan betul, badan lebih cergas, kulit lebih sihat dan perut pun ‘bahagia’!
[Sertai Telegram Geng Rasa Share Resipi]
Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA:
Tonton lebih banyak video masakan mudah & sedap di Dailymotion @Rasa & Youtube @Majalah Rasa Official