Untitled design (24)

Keputusan pihak pengurusan Foodpanda mengekalkan kaedah pembayaran upah baharu walaupun diminta oleh kerajaan untuk mengembalikan kaedah sebelum ini amat dikesali.

Memetik dari sumber Sinar Harian, Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, keputusan tersebut dilihat tidak menemui jalan yang dipersetujui kedua-dua pihak sedangkan pekerja di sektor ‘gig economy’ sewajarnya dibayar upah setimpal sementara syarikat tersebut terus berkembang.

Bye-Bye Foodpanda, Netizen Lancar Kempen #boycottfoodpanda #UninstallFoodPanda.
Penghantar makanan Foodpanda bersiap sedia membuat penghantaran makanan kepada pelanggan. Gambar kecil: Nik Nazmi ( sumber: Sinar Harian)

“Kita perlu memastikan pekerja dalam sektor ini diberi bayaran dengan betul dan bagaimana untuk merangsang pemberian insentif kepada pembangunannya.

“Baru-baru ini di California Amerika Syarikat meluluskan undang-undang bersejarah untuk menghendaki perniagaan termasuk syarikat ride-hailing seperti uber dan lyft untuk menganggap pemandu sebagai pekerja bukan kontraktor bebas dalam kebanyakan keadaan.

“Ini bermakna, pekerja sedemikian akan menerima perlindungan dan manfaat buruh seperti insurans pengangguran, kerja lebih masa, gaji minima dan hak untuk kesatuan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurutnya, semua pihak terlibat diharapkan terus berkomunikasi secara telus dan terbuka demi keadilan.

IKLAN

Terdahulu, ramai netizen melancarkan kempen #boycottfoodpanda dan #UninstallFoodPanda di media sosial kerana berang dengan kenyataan pengarah urusan Foodpanda Malaysia, Sayantan Das.

Sayantan memberitahu, syarikatnya tiada masalah dengan mogok yang dilakukan oleh pekerjanya.

“Jika penghantar tidak mahu kerja, tolong berikan atau tukar awak punya syif pada penghantar lain sebab awak menjejaskan kehidupan mereka,” katanya.

IKLAN

Kemelut tercetus selepas syarikat berkenaan melaksanakan skim pembayaran baharu bermula pada 30 September lalu.

Bayaran bekerja mengikut jam dimansuhkan dengan menggantikan bayaran setiap pesanan dinaikkan antara RM4.50 hingga RM7 berkuatkuasa kepada semua penunggang di luar Lembah Klang.

Pelaksanaan skim pembayaran baharu itu mendapat bantahan penghantar makanan Foodpanda hingga mereka melakukan mogok yang turut mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

IKLAN

Ada juga netizen yang menyifatkan kenyataan pengarah Foodpanda itu sebagai angkuh dan sepakat melancarkan boikot terhadap syarikat itu.

Bye-Bye Foodpanda, Netizen Lancar Kempen #boycottfoodpanda #UninstallFoodPanda.

Kempen #boycottfoodpanda dan #UninstallFoodPanda menjadi trending di Twitter sejak semalam.

 

Sumber: Sinar Harian

Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI