Ada yang suka makan laksam ke? Laksam ni makanan masyarakat Pantai Timur yang kuahnya rasa lemak-lemak. Memang sedap. Boleh dijadikan sarapan atau minum petang. Banyak dijual di pasar pagi dan pasar malam. Tapi kalau buat sendiri, lebih sedap dan puas makan. Kuah tu, buat pekat-pekat sikit.

Di samping kuah, laksam tu sendiri pun kena sedap. Nak tahu cara buat laksam? RASA kongsikan resipi laksam homemade. Jom cuba.

LAKSAM

BAHAN-BAHAN
3 cawan tepung beras
1/2 cawan tepung gandum
1/2 sudu teh garam
5 cawan air suam
Sedikit minyak masak

CARA MEMBUAT
1. Satukan semua bahan adunan sehingga sebati. Pastikan tepung tidak berketul.
2. Masukkan sedikit minyak masak dan sebatikan.
3. Panaskan pengukus. Sapu minyak masak pada talam.
4. Apabila pengukus sudah panas, letak talam dalam pengukus dan masukkan adunan laksam. Jangan masukkan semua sekali. Masukkan sedikit-sedikit. Tipis saja. Kalau tebal nanti laksam susah hendak digulung.
5. Tutup pengukus dan biarkan seketika. Lebih kurang 2 minit atau sehingga adunan tadi naik gelembung. Itu menandakan laksam sudah masak dan boleh diangkat.
6. Adunan ini cukup untuk lapan batang laksam. Kalau nak lebih, gandakan adunan.

TIP LAKSAM LEBIH CANTIK

a) Gulung laksam ketika laksam masih suam-suam kuku. Jangan gulung ketika panas. Kalau digulung ketika panas, laksam jadi menggerutu dan melekat-lekat pada talam.
b) Tak perlu oles minyak pada talam setiap kali hendak mengukus. Oles minyak hanya apabila talam sudah kering.

Selamat mencuba!

Kredit: SukaSokmo Kitchen