Makan

Buat Sendiri Kuih Ang Ku Supaya Tak Waswas Makan

Share

Kuih Ang Ku atau kuih kura-kura merah ini antara kuih tradisi Cina yang popular. Malah ia turut digemari oleh ramai rakyat Malaysia tak kira bangsa.

Cuma bagi kaum Melayu dah tentu mementingkan pembuatan dari sumber yang halal. Bagi yang teringin menikmatinya boleh cuba buat sendiri. Inti paling popular adalah kacang, biasanya dihidang dalam bentuk leper bulat di atas daun pisang memang klasik!

Resipi ini menggunakan bahan mudah seperti tepung pulut, kentang lenyek dan pewarna merah untuk doh, manakala intinya pula dibuat daripada kacang tanah goreng yang dikisar halus. Teknik kukusan dan tip supaya kuih tidak melebar juga dikongsi untuk hasil kuih Ang Ku yang cantik dan tahan lama. Jom cuba!

Resipi Kuih Ang Ku

Bahan-Bahan Inti

200g kacang tanah (digoreng tanpa minyak, kemudian dikisar halus)
3 sudu besar gula kastor
1 sudu besar minyak jagung
½ sudu teh garam

Bahan-Bahan Doh

100g kentang (direbus, ditos dan dilenyek halus)
200g tepung pulut
2 sudu besar gula kastor
1 sudu besar minyak jagung
½ sudu teh pewarna merah
135g air

Cara Penyediaan

1. Satukan semua bahan doh, gaul dan uli hingga sebati dan boleh dikepal. Timbang doh seberat 15g setiap satu untuk hasil yang sekata.

2. Gaul kacang tanah kisar bersama gula, garam dan minyak jagung hingga menjadi inti yang boleh dikepal.

3. Ambil seketul doh, leperkan dan isikan inti. Bulatkan semula dan tekan sedikit leper. Susun atas daun pisang yang telah dipotong ikut saiz dan dioles sedikit minyak.

4. Panaskan kukusan hingga air mendidih. Kukus kuih selama 10 minit dengan api sederhana. Setiap 3 minit, buka penutup kukusan untuk elak kuih melebar terlalu banyak.

5. Setelah masak, terus sapukan minyak jagung pada permukaan kuih agar kelihatan berkilat dan tidak melekat antara satu sama lain.

Tip Ekstra
  • Pastikan kacang tanah disangai hingga betul-betul rangup untuk hasil inti yang wangi dan tahan lama.
  • Boleh simpan kuih dalam bekas bertutup pada suhu bilik jika mahu makan dalam masa sehari. Jika lebih lama, simpan dalam peti sejuk dan panaskan semula sebelum makan.

Kredit resipi & foto: Rahel

Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA

 

Published by
Rose