Makan

Ayam Masak Kuah Lada, Menyesal Tak Cuba Dari Dulu. Sedap Sungguh!

Share

Ayam masak kuah lada, mungkin ramai yang tak pernah dengar. Kalau belum, wajib cuba supaya tak menyesal. Resipi ini nampak asam pedas, tapi rasa dan cara memasaknya memang berbeza.

Rasanya sedap malah baunya pun menggoda. Gabungan lada hitam, belacan, daun limau dan rempah buat kuah jadi pekat beraroma. Sampai jiran sebelah pun boleh terbau! Cara memasaknya dikongsi oleh Syalfarina Razali

Resipi Ayam Masak Kuah Lada

Bahan-bahan

7 ketul ayam – cuci bersih
6 biji bawang merah kecil
1 sudu kecil lada hitam biji
1 inci belacan
5 ulas bawang putih
½ inci halia
½ sudu kecil halba
2-3 sudu besar cili kisar
½ sudu kecil serbuk kunyit
5 helai daun limau purut
½ sudu besar serbuk jintan manis
½ sudu besar serbuk jintan putih
Bendi secukupnya (boleh tambah kentang ikut selera)
Air asam jawa secukupnya
½ sudu kecil kerisik (jika ada kelapa bakar lagi umph)
Garam, gula & perasa secukup rasaMinyak untuk menumis

Cara Memasak

1. Kisar bawang merah, bawang putih, lada hitam, belacan & halia sampai halus.

2. Panaskan minyak, tumis halba sekejap, masukkan bahan kisar. Tumis hingga naik bau.

3. Masukkan cili kisar & serbuk kunyit. Tumis sampai pecah minyak, ulang tambah air dua kali supaya rempah masak elok.

4. Seterusnya masukkan serbuk jintan manis dan jintan putih. Kacau rata. Masukkan daun limau purut, biar wangi kuah.

5. Kemudian masukkan ayam, biarkan air ayam keluar & ayam kecut sikit. Masukkan bendi. Kalau suka kentang, boleh tambah.

6. Tuang air asam jawa secukupnya, biarkan kuah didih dan ayam empuk.

7. Akhir sekali masukkan kerisik, garam, gula dan perasa ikut cita rasa.

Siap! Sedia dihidangkan dengan nasi panas.

Tip Ekstra

  • Jika nak lebih sedap, boleh tambah kelapa bakar sebagai ganti kerisik.
  • Lada hitam biji lebih sedap dikisar berbanding serbuk, rasanya lebih kick.
  • Kuah boleh ikut citarasa sama ada pekat atau cair tapi kuah pekat-pedas memang lagi padu makan dengan nasi.
  • Selain ayam, boleh juga guna ikan duri, pari atau sotong.

Kredit resipi & foto: Syalfarina Razali

Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA

 

Published by
Rose