Makan

Ayam Masak Kicap Madu, Sedapnya Naik Satu Level. Ini Resipinya

Share

Ayam masak kicap memang lauk tak pernah gagal pikat selera — tapi bila ditambah madu, rasanya terus naik satu level!

Gabungan manis, pedas dan berempah dalam kuah yang pekat berkilat, memang buat sesiapa pun tak sabar nak letak lauk ini atas nasi panas.

Resipi Ayam Masak Kicap Madu

Bahan Tumbuk/Kisar

4 biji bawang merah
4 ulas bawang putih
1 inci halia

Bahan Lain

6 ketul ayam – digoreng separuh garing
3 sudu besar kicap manis
2 sudu besar kicap pekat (contoh: jenama Jalen)
2 sudu besar sos tiram
2 sudu besar cili kisar
½ cawan air
4 sudu besar madu
Daun kucai atau daun bawang – dihiris
½ biji cili merah besar – dihiris

Cara Memasak

1. Panaskan sedikit minyak (guna minyak goreng ayam tadi untuk lebih rasa). Tumis bahan kisar hingga naik bau.

2. Masukkan cili kisar, tumis hingga pecah minyak dan cili benar-benar masak.

3. Tambahkan kicap manis, kicap pekat, sos tiram dan air. Kacau rata.

4. Masukkan madu dan perasakan secukupnya (boleh tambah garam/serbuk perasa jika suka).

5. Masukkan ayam goreng, gaul hingga kuah rata menyaluti ayam.

6. Biarkan kuah memekat dengan api sederhana. Akhir sekali, masukkan daun kucai dan hirisan cili merah besar.

7. Tutup api dan sedia untuk dihidang bersama nasi putih panas.

Tip Ekstra

  • Boleh tambah bawang holland hiris jika suka rasa manis asli bawang.
  • Kalau nak kuah lebih pedas, tambah lagi 1 sudu cili kisar atau masukkan sedikit lada hitam.
  • Guna madu asli untuk rasa lebih ‘natural’ dan tidak terlalu manis gula.

Kredit resipi& foto: Adilah Razak

Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA

Published by
Rose