Apam Balik MN Hafiz, Rangup dan Sedap

Share

 

Salah satu makanan yang menjadi pilihan orang ramai untuk dinikmati sebagai snek adalah apam balik. Menu ini sudah lama ada di pasaran. Namun kini apam balik bagaikan menjadi satu daya tarikan apabila menunya dipelbagaikan sehingga membuat orang tercari-cari menu ini.

Apam Balik MN Hafiz menjadi sebutan ramai orang. Menggunakan warna kuning sebagai warna rasmi, apam balik ini bukan sekadar mendapat perhatian masyarakat awam namun termasuklah golongan artis.

Bermula dengan food truck yang menemui peminat apam balik di sekitar Shah Alam dan juga pusat beli-belah, kini ruang niaga Apam Balik MN Hafiz adalah di gerai tepi jalan depan Pasar Moden Seksyen 6 Shah Alam dan food truck di parkir lot Seksyen 9 di depan Restoran Cili Merah.

DITERAJUI ANAK MUDA

Pada usia baru 29 tahun, Hafiz mengorak langkah dengan bakal menjual apam balik dengan konsep layan diri menggunakan lori jenis caravan tidak lama lagi. Wujudnya caravan ini bagi memudahkan orang ramai membeli apam balik pada bila-bila masa.

“Sebagai pengusaha apam balik, saya akan cuba teruskan kekalkan rasa asli kuih tradisi ni di samping perisa tambahan yang moden. Saya nak tambah cawangan supaya lebih ramai boleh rasa kerangupan Apam Balik MN Hafiz. Sayang kalau perniagaan ayah sejak 1999 ni saya sia-siakan,” katanya

Antara perisa yang ada adalah Rainbow, Nestum, Coklat, Cornflakes, Strawbery, Original dan Oreo. Setiap perisa ini mempunyai peminatnya yang tersendiri.

RANGUP DAN TEBAL

Ada dua jenis apam balik yang ditawarkan. Ada yang nipis dan rangup. Ada juga yang jenis tebal dan penuh isinya. Rata-rata peminat apam balik akan menyukai apam balik di sini kerana rasanya yang sedap, manis dan rangup. Manakala apam balik yang jenis tebal menawarkan inti yang penuh dan diadun dengan sempurna.

Apam balik yang paling mendapat sambutan adalah perisa original yang menggunakan jagung dan kacang tumbuk. Menurut Hafiz, perisa ini tetap menjadi pilihan kerana mengekalkan rasanya yang asli. Harga apam balik nipis RM1 untuk semua perisa. Perisa oreo RM1.50. Manakala saiz tebal RM2.

PEMILIK: Muhamad Norhafiz bin Murtaza
ALAMAT: Pasar Moden Seksyen 6 Shah Alam dan parkir lot Seksyen 9 (depan Restoran Cili Merah)
WAKTU OPERASI: 9 pagi hingga 4.30 petang
WAJIB CUBA: Apam balik original, apam balik coklat dan apam balik nestum

IKLAN