Sekarang tengah hangat viral di grup-grup masakan di media sosial tentang resipi kuih Apam yang menggunakan tiga bahan. Resipinya hanya menggunakan telur, tepung gandum dan gula sahaja. Nampak mudah dan senang nak buat kan?
Namun apa yang diimpikan tidak seindah realiti. Ramai yang mencuba tetapi tidak menjadi. Kuantiti bahan, cara-cara pembuatan serta aturan memasak dah sama, tetapi hasilnya, sedih nak cerita. Ada yang leper, ada yang berkedut kematu, ada yang liat. Macam-macam. Bila baca setiap ‘posting’ mengenai Apam 3 bahan yang tak menjadi tu, kesian pun ada malah nak gelak pun ya juga. Ada yang kata dah macam makan getah pemadam dah! Ha…kenapa ya jadi macam tu? Jom baca ulasanChef Imelda Harris(Masterchef).
1. ELAK GUNA BLENDER
Biasanya untuk menyediakan apa-apa sahaja kek atau kuih muih, pemukul sama ada elektrik mahupun manual digunakan untuk menjadikan adunan kembang dan sebati. Bentuk bilah mata pemukul yang bulat, lebar dan direka khas untuk mengadun adunan kek, membantu menjadikan telur dan gula kembang sempurna.
Berbeza dengan mata pengisar (blender) yang direka untuk mengisar dan menghaluskan rempah masakan dan bukannya untuk mengembangkan adunan kuih. Bentuk mata blender yang tajam serta halus tidak sesuai dan tidak membantu proses pengembangan telur. Oleh sebab itu bila anda memukul telur dan gula menggunakan blender, anda akan dapati sangat susah untuk bancuhan ini kembang. Malah, anda juga perlu memukul dengan lama sehingga telur kelihatan berbuih. Kalau nak tahu, bila telur dan gula dipukul lama, teksturnya juga sudah berubah kerana sudah terlebih pukul. Jadi, bila dicampur dan diadun bersama tepung, tiada udara yang terkandung di dalam adunan. Oleh sebab itu, bila dikukus, apam anda menjadi bantat dan tak naik-naik.
2. TELUR TAK SEGAR
Setelah diteliti resipi ini, hanya telur sahaja yang digunakan sebagai agen pengembang. Biasanya untuk membuat apam atau kek, telur disokong oleh agen-agen pengembang yang lain seperti yis, soda bikarbonat, serbuk penaik, eno dan sebagainya. Oleh itu, disebabkan telur ini perlu ‘bekerja keras’ sendirian bagi membina apam, maka ia perlulah betul-betul segar. Jika guna telur lama, memang tak ada ‘power’ lah nak mengembang. Malah, kuantiti telur pun kena cukup. Untuk adunan ini naik gebu, sekurang-kurangnya , 3 biji telur segar bersaiz A perlu digunakan.
3. TEPUNG KENA AYAK
Ads
Penting! Setiap kali membuat apa-apa kuih atau kek, tepung perlu diayak. Proses ini membantu mengisikan udara ke dalam tepung dan menjadikan adunan lebih ringan seterusnya menghasilkan apam yang gebu. Maklumlah, dah lah guna telur je sebagai agen pengembangan. Kalau tepung tu berat, memang keras la apam jadinya. So, lepas ni ayak dulu ya.
4. GUNA GULA KASTOR
Dalam penghasilan kek dan kuih, gula berfungsi untuk memberikan rasa manis, melembutkan adunan serta bertindak sebagai agen pelekat. Dalam proses membuat apam yang gebu dan lembut, Sebaiknya gunakan gula kastor ( halus). Jika anda menggunakan gula biasa, apabila dipukul bersama telur, ia akan jadi lambat sebati seterusnya menjadikan adunan apam tidak halus serta kurang menjadi apabila dikukus.
5. ALAS PENUTUP PERIUK KUKUSAN
Ia bertujuan bagi mengelakkan wap-wap air menitis semasa dikukus. Titisan air tersebut jika terkena pada adunan apam, akan menyebabkan permukaan kuih menjadi berkedut dan bantat. Oleh itu, sebelum mengukus, alas penutup periuk kukusan dengan kain seperti tuala atau tudung lama yang bersih dan menyerap air.
Ads
Jangan sedih-sedih tau kalau tak menjadi. Boleh cuba lagi resipi apam lain yang guna yis. Yang ni pasti menjadi. Jom lihat bahan-bahan yang anda perlukan.
APAM NASI
BAHAN-BAHAN A (TAPAI NASI):
1 cawan nasi sejuk
400ml air
200gm gula pasir
11gm yis
BAHAN B:
Ads
200gm tepung beras
200gm tepung gandum
BAHAN KELAPA PARUT:
Kelapa parut secukupnya
Garam secukupnya
BAHAN LAIN:
Air secukupnya
Minyak masak secukupnya
CARA MEMASAK:
1. Kisar halus kesemua bahan A. Ketepikan.
2. Kelapa parut dan garam digaul sebati. Ketepikan.
3. Kemudian masukkan bahan A ke dalam adunan bahan B (tepung). Gaul sekata dan perap selama 3 jam. Ketepikan.
4. Didihkan air di dalam kukusan. Sediakan acuan apam dan oleskan sedikit minyak masak di permukaan dalamnya. Tuang adunan yang telah diperap tadi dan kukus selama 15 minit.
5. Setelah masak, keluarkan apam dan masukkan ke dalam pinggan. Tabur kelapa parut di atasnya.
6. Sedia dinikmati.
Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download
sekarang!
Memasuki usia 30-an, wajah seorang wanita akan mula memperlihatkan tanda-tanda penuaan, dimana mula kelihatan garis-garis kedutan di bahagian mata dan juga bibir. Sebahagian wanita pula mungkin lebih jelas bila pipi yang dulu tegang kelihatan kendur atau jatuh.
Oleh itu pastikan sebaik saja usia mencecah 30 tahun, anda mengamalkan enam makanan berikut yang terdiri daripada sayur dan buah-buahan. Khasiat dalam makanan ini membantu menegang dan menganjalkan kulit wajah sekali gus membuatkan anda kelihatan kekal muda ibarat tak dimamah dek usia.
Delima
Kulit dapat mengekalkan keanjalannya jika kolagen di dalam tubuh diproses dengan baik. Buah delima kaya dengan vitamin C yang berfungsi sebagai antioksidan dan seterusnya menghalang kehadiran garis halus, kedutan dan kekeringan kulit.
Tembikai
Tembikai mengandungi air yang membantu menjadikan kulit lebih elastik. Paling penting buah ini mengandungi lycopene yang memberi warna merah pada tembikai. Bahan ini bertindak sebagai antioksidan mencegah kerosakan kulit akibat kesan sinar UV. Khasiat yang sama juga ada pada buah tomato.
Bayam
Salah satu khasiat bayam adalah membantu memberi kulit yang sihat kerana kandungan vitamin A yang tinggi. Ia juga dikatakan memberi kelembapan yang tepat pada epidermis sekali gus membantu mencegah jerawat, kedutan dan masalah kulit yang lain.
Brokoli
Sayuran ini dapat meningkatkan kualiti kesihatan kulit kerana kandungan vitamin C, E, dan B6. Ia membantu mengelakkan kesan kerosakan pada kulit akibat radikal bebas.
Avokado
Buah ini kaya dengan asid lemak omega dan asid oleic untuk membantu lapisan luar kulit mengekalkan kelembapannya hingga membuatkan kulit lembut dan anjal.
Kiwi
Buah kiwi mengandungi banyak vitamin C yang mampu mencerahkan kulit tubuh. Buah kiwi berkesan dalam memperbaharui sel-sel kulit yang akan menjadikan kulit cerah, tampak segar dan muda.
Sebenarnya lagi awal anda mula mengamalkan enam makanan ini lebih baik. Ia akan mengurangkan kos anda membeli krim atau serum anti penuaan. Selain itu amalan sayur dan buah-buahan ini juga baik untuk kesihatan tubuh secara menyeluruh.
Pasti ramai yang gemarkan buah tembikai. Jusnya manis dan lazat. Selain itu, buah ini juga boleh dijadikan salad atau dimakan begitu sahaja. Jika musim panas, memang enak menikmati tembikai kerana kandungan airnya yang banyak mampu menghilangkan dahaga.
foto: jessicainthekitchen.com
Tahukah anda tembikai ni sebenarnya banyak khasiat. Antara manfaatnya ialah:
KHASIAT & MANFAAT BUAH TEMBIKAI
1. KAYA VITAMIN & ZAT
Tembikai yang kaya dengan vitamin A dan C, asid folik, magnesium, zink dan pelbagai jenis galian yang lain turut mempunyai manfaat yang tinggi dalam perubatan.
2. MAMPU MENYEMBUHKAN MASALAH KESIHATAN
Tembikai dikenali sebagai Citrullus vulgaris dikatakan amat mujarab untuk menyembuhkan pelbagai jenis penyakit antaranya sakit kepala, penyakit paru-paru dan masalah kulit.
3. MENURUNKAN TEKANAN DARAH & KAWAL KALORI
Selain itu, antara kebaikan memakan tembikai ialah dapat membantu menurunkan tekanan darah. Ini kerana tembikai kaya dengan kalium. Pengambil setengah biji buah tembikai membolehkan badan manusia memperoleh kira-kira 825 mg kalium, iaitu zat logam penting yang berperanan merendahkan tekanan darah. Kalium juga berfungsi menghalang kolesterol jahat daripada melekat dan menyempitkan pembuluh darah arteri.
4. BANTU CEGAH ASMA
Selain itu, ia juga dikatakan dapat membantu mencegah penyakit asma. Kandungan vitamin C dalam buah tembikai adalah salah satu nutrien yang dapat mencegah penyakit ini dari menyerang.
5. JAGA SISTEM PENGHADAMAN
Tembikai juga dapat membantu penghadaman. Kandungan air dan gentian dalam tembikai dapat membantu mencegah sembelit dan menggalakkan kekerapan untuk saluran penghadaman yang sihat.
Pendek kata, ada pelbagai sebab yang boleh dijadikan alasan mengapa anda perlu memasukkan tembikai ke dalam makanan harian anda. Banyak kebaikannya! Untuk kanak-kanak, biasanya mereka kurang gemar makan buah tembikai dalam bentuk yang biasa. Jadi, anda boleh hasilkan Aiskrim Tembikai di bawah ini untuk memikat selera si kecil.
AISKRIM TEMBIKAI MERAH
BAHAN-BAHAN:
500gm isi tembikai
1 sudu makan jus lemon
115gm gula putih
100gm rasberi segar
Acuan ais krim
Batang ais krim secukupnya
CARA MEMASAK:
Masukkan isi tembikai, jus lemon, gula dan rasberi ke dalam pengisar dan kisar hingga gula hancur dan bertukar lembut.
Masukkan adunan itu ke dalam acuan ais krim dan masukkan batang ais krim.
Setelah itu, sejuk dan bekukan di dalam peti sejuk selama beberapa jam atau semalaman.
Goreng kacang tanah, dengar macam senangkan, tapi sebenarnya ia bukan senang yang pro pun kerap juga gagal, sebabnya menggoreng kacang ada tekniknya supaya ia tidak pahit atau liat sebab kurang masak. Nak tahu macam mana cara yang sempurna goreng kacang tanah, korang kena baca tip yang RASA kongsikan ini:-
Pilih Kacang Tanah Yang Elok
Ini penting, kualiti kacang yang elok mempunyai kulit ari yang terang dan saiz biji kacang adalah sama. Jangan beli kacang yang tak sama saiz, ia akan menyebabkan kacang tidak masak sekata bila digoreng.
Gunakan Minyak Banyak Semasa Menggoreng
Semasa menggoreng pastikan semua kacang tenggelam dalam minyak masak yang panas. Oleh itu korang perlu menggunakan minyak lebih banyak dari kacang. Seperkata lagi korang perlu sentiasa kacau supaya kacang masak sekata. Tidak ada istilah menyambil semasa menggoreng kacang tanah.
Angkat Kacang Sebelum Kacang Betul-Betul Masak
Perhatikan betul, bila kacang tanah yang digoreng bertukar warna kuning muda atau rasa hampir masak, segera angkat kerana ia akan betul-betul masak dan garing dalam beberapa saat semasa proses mengangkatnya. Jangan tunggu kulit kacang sudah berwarna kecoklatan atau masak sepenuhnya. Akibatnya kacang akan berasa sedikit pahit kerana terlalu ‘over cook’. Atau biarkan kacau dalam kuali walaupun api sudah ditutup. Kuali panas akan jadikan kacang anda hangus.
Rendam Dalam Air Mendidih
Jika korang ingin menggoreng tanpa kulit arinya, sebaiknya rendam kacang dalam air mendidih lebih kurang 10 minit supaya kulit arinya lembut dan senang dibuang. Kemudian tos sebelum sedia digoreng. Pastikan semua kulit ari dibuang, jika tidak ada sisa kulit ia akan cepat hangus dan menjadikannya pahit.
Guna Api Sederhana
Jika anda goreng kacang tanpa minyak (sangai) pastikan anda menggunakan api sederhana dan sentiasa kacau supaya kacang masak sekata. Cara ini agak lambat berbanding menggoreng menggunakan minyak.
Nak tahu ayam segar atau tidak? Rahsianya ada pada warna buntut ayam! Ketahui cara mudah bezakan ayam segar, ayam tak halal, dan ayam bangkai sebelum beli di pasar.