
Air kacang soya merupakan minuman yang sangat popular dan menyihatkan. Kacang soya itu sendiri merupakan makanan seimbang yang sangat baik dan lebih murah berbanding daging, susu atau telur. Ia mengandungi 50% protein bagi setiap 100 gm kacang soya, 11 kali ganda daripada susu dan tiga kali ganda lebih daripada telur. Ia juga kaya dengan bahan mineral seperti kalsium, sodium, magnesium, zat besi dan fosforus serta vitamin A,B,C,D dan lecithin.
Walaupun kecil, banyak makanan yang boleh dihasilkan menggunakan kacang ini. Antara yang popular ialah tauhu, tempe, fucuk dan juga air kacang soya. Ia bukan sahaja enak diminum, malah mempunyai pelbagai khasiat penting untuk tubuh.
Manfaat Air Kacang Soya
Air kacang soya terkenal sebagai minuman yang sangat menyegarkan dan baik untuk kesihatan. Kalau ke pasar malam, memang banyak orang menjual air ini. Nikmati sejuk atau panas, dua-duanya sangat enak. Kandungan air kacang soya terdiri daripada karbohidrat, serat, vitamin E dan K serta asid lemak essensial. Lisin adalah salah satu asid amino yang terkandung dalam air ini.

Selain itu, air soya merupakan sumber protein lengkap yang diperlukan oleh tubuh. Soya mengandungi sembilan asid amino esensial yang membantu tubuh menghasilkan protein baru, termasuk antibodi untuk sistem imun dan enzim untuk penghasilan tenaga. Setiap secawan air soya tanpa gula mengandungi 7 gram protein.
Minuman ini juga kaya dengan vitamin dan mineral penting seperti kalsium, zat besi, riboflavin dan vitamin B12.
Kebaikan Air Kacang Soya Untuk Kesihatan

1. Menjaga Kesihatan Jantung
Penyakit jantung merupakan antara masalah kesihatan yang sering dialami. MayoClinic.com menyarankan diet rendah lemak tepu dan sodium serta tinggi protein bagi mengurangkan risiko kardiovaskular. Satu cawan air soya mengandungi 3.6 gram lemak, 6.3 gram protein, 104 kalori dan hanya 0.5 gram lemak tepu. Nisbah lemak tepu dan tak tepu dalam soya membantu mengawal tekanan darah dan kolesterol.
2. Mengurangkan Kolesterol Dalam Darah
Antioksidan dalam isoflavon pada kacang soya mampu menaikkan kadar HDL (kolesterol baik). Manakala lesitin pula dipercayai dapat menurunkan LDL (kolesterol jahat). Ini menjadikan air kacang soya antara pilihan minuman yang membantu kesihatan jantung.
3. Mengurangkan Risiko Diabetes
Protein di dalam air soya lebih mudah diolah oleh buah pinggang pesakit diabetes berbanding protein haiwan seperti susu lembu. Oleh itu, ia sering dijadikan pilihan lebih sihat bagi yang mengawal gula.
4. Mencegah Osteoporosis
Osteoporosis sering berlaku akibat peningkatan usia dan kekurangan hormon. Fitoestrogen dalam soya membantu mempercepat penyerapan kalsium dan mencegah kehilangan massa tulang. Untuk manfaat tambahan, pilih air kacang soya yang diperkaya dengan kalsium dan vitamin D.
5. Sesuai Untuk Mereka Yang Berdiet
Air kacang soya rendah lemak tetapi tinggi protein. Ia membantu memberi rasa kenyang lebih lama. Namun, seperti makanan lain, pengambilannya perlu bersederhana. Ada juga pendapat mengatakan pesakit kanser payudara perlu mengelakkan pengambilan soya secara berlebihan.
P/S: Info ini hanyalah perkongsian umum. Untuk nasihat lebih tepat, sila rujuk pakar pemakanan atau pengamal perubatan bertauliah.
Resipi Air Kacang Soya Homemade
(Resipi oleh: JJ Pau Mawar)
Bahan-Bahan:
- 250gm kacang soya
- 1 jug air masak
- 2-3 helai daun pandan
- Gula pasir secukupnya – ikut kemanisan yang anda suka
Cara Memasak:
- Basuh dan rendam kacang soya semalaman atau hingga kacang kembang. Buang kulit yang tertanggal.

- Masukkan 1/4 kacang soya ke dalam pengisar bersama 3 cawan air. Kisar hingga hancur.

- Tapis kisaran tadi ke dalam periuk menggunakan kain kasa atau penapis halus. Perah hingga menjadi hampas. Ulang proses sampai habis.

- Masak air soya dengan api kecil bersama daun pandan.

- Tambahkan gula secukup rasa. Jika suka, boleh masak air gula secara berasingan dan tambah sewaktu hendak diminum.
- Masak hingga mendidih dan elakkan daripada membuak keluar.
- Padamkan api, biarkan suam dan sedia untuk dinikmati.
Kredit resipi & foto: JJ Pau Mawar
[Sertai Telegram Geng Rasa Share Resipi]
Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA:
Tonton lebih banyak video masakan mudah & sedap di Dailymotion @Rasa & Youtube @Majalah Rasa Official
Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download
sekarang!





















