
Bila sebut tentang makanan Mexico, ramai mungkin terus terbayangkan taco, nachos dan burrito. Namun sebenarnya, dunia masakan Mexico jauh lebih luas daripada tiga hidangan popular ini. Masakan Mexico terkenal dengan penggunaan tortilla, cili, tomato, kekacang, avokado, jagung dan pelbagai jenis rempah yang menghasilkan rasa cukup tersendiri.
Apa yang menarik, kebanyakan hidangan Mexico mempunyai gabungan rasa pedas, masam, savoury, segar dan berkrim. Sebab itu, tidak hairanlah makanan Mexico semakin mudah diterima oleh penggemar makanan di seluruh dunia, termasuk di Malaysia.
Daripada hidangan ringkas yang boleh dimakan dengan tangan sehinggalah menu berkeju yang dibakar, ini tujuh makanan Mexico popular yang patut anda kenali dan cuba.
1. Chicken Quesadilla

Kalau sukakan keju, quesadilla memang antara hidangan yang wajib dicuba. Secara asasnya, quesadilla menggunakan tortilla yang diisi dengan keju sebelum dilipat dan dipanggang sehingga bahagian luarnya sedikit garing manakala kejunya mencair.
Kini terdapat pelbagai jenis inti quesadilla dan antara yang popular ialah ayam. Chicken quesadilla biasanya menggabungkan ayam yang dimasak bersama rempah, keju dan sayuran seperti bawang serta capsicum.
Selepas dimasak, ia dipotong kepada beberapa bahagian dan boleh dinikmati bersama salsa, guacamole atau sour cream. Kombinasi tortilla yang sedikit rangup dengan keju cair memang cukup membuka selera.
2. Beef Taco

Taco boleh dikatakan sebagai salah satu makanan ikonik Mexico yang paling dikenali di seluruh dunia. Hidangan ini mempunyai pelbagai variasi bergantung pada jenis tortilla, inti dan topping yang digunakan.
Untuk beef taco, daging lembu yang dimasak bersama rempah dijadikan inti utama. Kemudian, ia dilengkapkan dengan bahan seperti bawang, tomato, daun ketumbar, salsa dan perahan limau.
Ada juga versi yang ditambah keju, jalapeño atau guacamole. Setiap gigitan memberikan gabungan rasa daging yang savoury, sayuran segar serta sedikit rasa masam dan pedas daripada salsa. Ringkas tetapi penuh rasa!
3. Chicken Burrito

Jika mahukan sesuatu yang lebih mengenyangkan, burrito memang pilihan tepat. Berbanding taco, burrito biasanya menggunakan tortilla tepung bersaiz lebih besar yang boleh memuatkan lebih banyak inti.
Chicken burrito boleh diisi dengan ayam berempah, nasi, kekacang, sayuran, salsa dan keju sebelum semuanya digulung kemas.
Apa yang membuatkan burrito menarik ialah ia boleh diubah mengikut selera. Nak lebih pedas, tambahkan jalapeño atau sos cili. Kalau sukakan rasa berkrim, boleh tambah guacamole, keju atau sour cream. Dengan gabungan karbohidrat, protein dan sayuran, satu burrito sahaja sudah cukup mengenyangkan.
4. Loaded Beef Nachos

Loaded beef nachos pula sesuai untuk dinikmati beramai-ramai. Hidangan ini bermula dengan kerepek tortilla yang rangup sebelum ditambah pelbagai topping.
Antara topping yang biasa digunakan ialah daging lembu berempah, keju cair, tomato, jalapeño, kekacang, salsa dan guacamole.
Tarikan utama loaded nachos adalah kombinasi teksturnya. Ada kerepek yang rangup, daging lembut, keju berkrim serta sayuran dan salsa yang memberikan rasa segar.
Ia sesuai dijadikan snek ketika menonton filem, hidangan untuk parti ataupun menu yang santai bersama keluarga dan rakan-rakan.
5. Chicken Enchiladas

Sekali pandang, enchiladas mungkin kelihatan seperti tortilla gulung biasa. Namun cara penyediaannya menjadikan hidangan ini berbeza daripada burrito atau taco.
Untuk chicken enchiladas, tortilla diisi dengan ayam sebelum digulung dan disusun di dalam bekas pembakar. Kemudian, ia disiram dengan sos enchilada dan ditaburkan keju sebelum dibakar.
Apabila keluar dari ketuhar, keju yang cair bersama sos menjadikan tortilla lebih lembut dan kaya rasa. Hidangan ini paling sedap dimakan ketika masih panas. Kalau anda sukakan hidangan cheesy dan saucy, enchiladas memang patut masuk dalam senarai.
6. Mexican Chicken Fajitas

Mexican chicken fajitas terkenal dengan warnanya yang menarik kerana menggunakan campuran ayam, bawang dan capsicum pelbagai warna.
Ayam biasanya dihiris sebelum diperap atau diperisakan dengan campuran rempah. Kemudian, ayam dimasak bersama bawang dan capsicum sehingga harum dan sedikit keperangan.
Fajitas biasanya dihidangkan bersama tortilla secara berasingan. Jadi, anda boleh mengambil tortilla dan memasukkan sendiri ayam serta sayuran mengikut jumlah yang disukai.
Tambahkan salsa, guacamole, perahan limau atau sour cream untuk memberikan lebih banyak rasa. Hidangan ini juga antara pilihan makanan Mexico yang menarik untuk disediakan ketika makan bersama keluarga.
7. Churros

Selepas menikmati hidangan menyedapkan, apa kata akhiri dengan sesuatu yang manis? Churros merupakan antara hidangan yang sering dikaitkan dengan dunia masakan berbahasa Sepanyol dan sangat popular di Mexico.
Churros diperbuat daripada doh yang dibentuk memanjang sebelum digoreng sehingga keemasan. Bahagian luarnya rangup manakala bahagian dalamnya kekal lembut.
Anda mungkin berminat dengan
Selepas digoreng, churros biasanya disalut dengan gula dan kayu manis. Ia boleh dimakan begitu sahaja, tetapi lebih nikmat jika dicicah bersama sos coklat atau karamel.
Banyak Lagi Makanan Mexico Boleh Diterokai
Tujuh hidangan ini hanyalah sebahagian daripada kepelbagaian makanan Mexico. Setiap hidangan mempunyai karakter tersendiri, daripada taco yang segar dan ringkas, burrito yang mengenyangkan, enchiladas yang kaya dengan sos sehinggalah churros yang manis dan rangup.
Menariknya, banyak hidangan ini juga boleh disesuaikan mengikut selera dan bahan yang mudah didapati di Malaysia. Nak lebih pedas, tambahkan cili. Nak lebih kejuan, lebihkan keju. Kalau mahukan rasa segar, hidangkan bersama salsa, avokado dan perahan limau.
Jadi kalau teringin nak buat Mexican food night di rumah, tujuh makanan ini boleh dijadikan permulaan. Persoalannya sekarang, nak cuba taco, quesadilla atau burrito dulu?
[Sertai Telegram Geng Rasa Share Resipi]
Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA:
Avokado: Fakta Mengejutkan & Rahsia Sebenar Yang Ramai Salah Faham!
Resipi Taco Berkeju Daging Dendeng & Cheesy Mini Prata Sambal Udang Yang Wajib Dicuba

sekarang!
