
Nasi semalam ada lebih? Jangan dibuang! Inilah masa paling sesuai untuk tukarkannya menjadi sepinggan nasi goreng panas yang cukup menyelerakan. Ada banyak resipi nasi goreng mudah yang boleh dicuba hanya menggunakan bahan yang tersedia di dapur.
Setiap 20 September, National Fried Rice Day diraikan untuk meraikan antara hidangan nasi paling versatil dan digemari ramai. Sambutan ini diperkenalkan oleh Benihana pada 20 September 2018 dan terus diraikan sehingga hari ini.
Kalau di Malaysia, nasi goreng memang bukan menu asing. Boleh dikatakan setiap kedai makan ada versinya sendiri, daripada Nasi Goreng Kampung, Nasi Goreng Cina, Nasi Goreng Belacan sampailah Nasi Goreng Tom Yam.
Paling menarik, hidangan ini tak perlukan bahan terlalu banyak. Dengan nasi sejuk, telur, bawang dan beberapa bahan yang ada dalam peti sejuk pun dah boleh jadi satu hidangan lengkap.
Jadi sempena National Fried Rice Day, apa kata cuba enam resipi nasi goreng ini.
1.Nasi Goreng Kampung


Pedas, wangi ikan bilis dan ada sayur kangkung. Memang menu yang susah nak ditolak!
Bahan-bahan:
- 2 mangkuk nasi putih sejuk
- ½ cawan ikan bilis
- 1 cawan kangkung
- 1 biji telur
- 3 ulas bawang merah
- 2 ulas bawang putih
- 5 biji cili padi
- 1 sudu besar sos tiram
- Garam secukup rasa
- Minyak masak secukupnya
Cara memasak:
- Tumbuk bawang merah, bawang putih dan cili padi.
- Panaskan minyak dan goreng ikan bilis sehingga garing. Ketepikan sedikit untuk hiasan.
- Tumis bahan tumbuk sehingga harum.
- Pecahkan telur dan kacau hingga masak.
- Masukkan nasi, sos tiram serta garam. Gaul rata.
- Akhir sekali masukkan kangkung dan ikan bilis. Goreng seketika sebelum dihidangkan.
2. Nasi Goreng Cina


Tak pedas tetapi tetap cukup rasa. Sesuai untuk seisi keluarga terutama anak-anak. Antara resipi nasi goreng yang boleh dicuba kalau mahukan rasa lebih ringan.
Bahan-bahan:
- 2 mangkuk nasi putih sejuk
- 2 biji telur
- ½ cawan isi ayam
- ½ cawan sayur campur
- 3 ulas bawang putih, cincang
- 1 sudu kecil minyak bijan
- 1 sudu besar sos tiram
- Sedikit lada sulah
- Garam secukup rasa
Cara memasak:
- Panaskan sedikit minyak dan tumis bawang putih sehingga wangi.
- Masukkan ayam dan masak sehingga berubah warna.
- Pecahkan telur lalu kacau sehingga menjadi berketul-ketul.
- Masukkan sayur campur dan nasi.
- Tambahkan sos tiram, minyak bijan, lada sulah dan garam.
- Goreng menggunakan api besar sehingga nasi berderai dan harum.
3. Nasi Goreng Belacan


Kalau suka nasi goreng yang aromanya kuat dengan rasa pedas yang membuka selera, resipi ini memang kena cuba.
Bahan-bahan:
- 2 mangkuk nasi putih
- 1 sudu kecil belacan
- 4 biji cili padi
- 2 biji cili merah
- 3 ulas bawang merah
- 2 ulas bawang putih
- ½ cawan ikan bilis
- 1 biji telur
- Sedikit sayur kangkung
- Garam dan gula secukup rasa
Cara memasak:
- Tumbuk cili padi, cili merah, bawang merah, bawang putih dan belacan.
- Tumis bahan tumbuk sehingga pecah minyak dan naik bau.
- Masukkan ikan bilis dan masak seketika.
- Ketepikan bahan tumisan di tepi kuali dan pecahkan telur.
- Masukkan nasi lalu gaul semuanya hingga sebati.
- Tambahkan kangkung, garam dan sedikit gula. Goreng sehingga cukup rasa.
4. Nasi Goreng Tom Yam


Masam, pedas dan harum dengan aroma tom yam. Sesuai untuk yang sukakan nasi goreng dengan rasa lebih ‘kick’.
Bahan-bahan:
- 2 mangkuk nasi putih
- 1½ sudu besar pes tom yam
- ½ cawan udang
- ½ cawan sotong
- 1 biji telur
- 1 batang serai, hiris halus
- 2 helai daun limau purut
- 3 biji cili padi
- ½ biji bawang Holland
- 1 sudu besar sos ikan
- Sedikit perahan limau nipis
Cara memasak:
- Tumis bawang Holland, serai dan cili padi sehingga harum.
- Masukkan pes tom yam dan daun limau purut.
- Tambahkan udang serta sotong. Masak sebentar sahaja.
- Pecahkan telur dan kacau rata.
- Masukkan nasi bersama sos ikan.
- Goreng menggunakan api besar dan akhir sekali tambahkan sedikit perahan limau nipis.
5. Nasi Goreng Ikan Masin


Bahan tak banyak tetapi aromanya boleh buat satu rumah rasa lapar. Kalau ada ikan masin di dapur, ini antara resipi nasi goreng
yang mudah untuk disediakan.
Bahan-bahan:
- 2 mangkuk nasi putih
- 2 sudu besar isi ikan masin, potong kecil
- 1 cawan kailan
- 3 ulas bawang putih
- 2 biji cili merah
- 1 biji telur
- 1 sudu besar sos tiram
- Sedikit lada sulah
- Minyak masak secukupnya
Cara memasak:
- Goreng ikan masin sehingga sedikit garing. Angkat dan ketepikan.
- Menggunakan minyak yang sama, tumis bawang putih serta cili merah.
- Pecahkan telur dan kacau.
- Masukkan nasi, sos tiram dan lada sulah.
- Tambahkan kailan serta ikan masin.
- Gaul rata dan rasa dahulu sebelum menambah garam kerana ikan masin sudah mempunyai rasa masin.
6. Nasi Goreng Seafood


Udang dan sotong memang pasangan terbaik kalau nak nasi goreng yang terasa lebih istimewa.
Bahan-bahan:
- 2 mangkuk nasi putih
- ½ cawan udang
- ½ cawan sotong
- 1 biji telur
- 3 ulas bawang putih
- ½ biji bawang Holland
- 1 sudu besar sos tiram
- 1 sudu kecil kicap cair
- ½ cawan sayur campur
- Sedikit lada sulah
- Garam secukup rasa
Cara memasak:
- Tumis bawang putih dan bawang Holland sehingga harum.
- Masukkan udang serta sotong dan masak seketika.
- Pecahkan telur dan kacau.
- Masukkan nasi bersama sos tiram, kicap cair dan lada sulah.
- Tambahkan sayur campur lalu goreng menggunakan api besar.
- Perasakan secukupnya dan terus hidangkan ketika panas.
Tip Resipi Nasi Goreng Lebih Sedap
Nak nasi goreng yang cantik berderai seperti di kedai, sebaiknya gunakan nasi yang sudah sejuk atau nasi semalaman
. Teksturnya lebih kering dan tidak mudah melekat ketika digoreng.
Pastikan juga kuali benar-benar panas sebelum memasukkan nasi. Goreng menggunakan api sederhana tinggi atau besar dan jangan terlalu banyak menggunakan sos kerana ia boleh menyebabkan nasi menjadi lembik.
Lebihan lauk dalam peti sejuk seperti ayam goreng, daging, sayur atau sambal juga boleh dimanfaatkan. Campak saja dalam nasi dan jadilah resipi nasi goreng versi sendiri.
Tak kiralah Nasi Goreng Kampung, Belacan, Tom Yam atau Seafood, menu ini memang antara hidangan paling mudah apabila tak tahu nak masak apa.
Jadi sempena National Fried Rice Day, bolehlah pilih satu daripada enam resipi ini untuk dicuba. Lagi-lagi kalau ada nasi semalam memang rugi kalau tak dibuat nasi goreng!
[Sertai Telegram Geng Rasa Share Resipi]
Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA: