
Anda jenis membeli barang dapur dalam jumlah yang banyak, termasuk kentang. Namun ada ketikanya anda tidak banyak menggunakan kentang dalam masakan sehingga stok kentang terbiar lama dan busuk tanpa disedari. Hal ini merugikan, untuk mengelakkan dari membazir anda boleh amalkan petua yang RASA kongsikan ini supaya kentang tahan lebih lama dan tidak busuk.

1. Pilih Yang Segar
Semasa membeli kentang pilih yang masih segar agar aia tahan lebih lama. Pastikan kentang juga tidak bertunas, teksturnya keras dan tidak ada tanda-tanda busuk. Elakkan kentang berwarna hijau, itu menunjukkan ia masih belum matang dan kurang sedap. Sebaiknya beli kentang berwarna kekuningan dengan permukaan yang licin.
Jika terbeli banyak dan kentang dalam simpanan kelihatan kurang segar, asingkan atau buang yang busuk. Kentang yang tinggal perlu segera digunakan dan jangan simpan lebih dari dua hari. Cara kedua, potong bahagian busuk, sementara bahagian yang elok dikupus dan rendam dalam air sejuk, cara ini kentang masih boleh tahan satu hari.

2. Simpan Di Tempat Kering
Umumnya kentang boleh tahan satu hingga dua minggu jika disimpan pada suhu bilik. Namun agar tahan lebih lama, simpan kentang di tempat kering dan tidak terdedah pada sinaran matahari. Suhu paling sesuai untuk simpan kentang adalah 6-7C, pada suhu ini kentang boleh tahan dua hingga tiga bulan.
Simpan kentang dengan cara memasukkannya dalam bakul plastik yang berlubang-lubang untuk kemudahan kitaran udara dan simpan dalam kabinet kering dan bebas dari cahaya matahari. Elakkan dari menyimpan kentang dalam peti sejuk kerana suhu terlalu sejuk untuk kentang, ia menyebabkan ketang akan berwarna kehitaman semasa di masak

3. Jangan Cuci
Ada orang yang suka mencuci kentang sebelum disimpan. Cara ini akan menyebabkan kentang menjadi lembab dan cepat busuk. Jangan risau tentang kotoran atau kuman pada kulit kentang, sebab anda boleh mencuci kentang semasa ingin menggunakannnya. Ingat kentang mesti sentiasa kering dan tidak berkulat semasa dalam simpanan

4. Sentiasa Pantau Kesegaran
Selain suhu dan kelembapan, banyak faktor lain yang pengaruhi kesegaran kentang. Misalnya serangga dan penyakit. Oleh itu sentiasa pantau kesegaran kentang secara rutin dan pilih kentang yang hampir busuk dan gunakannya terlebih dahulu untuk dimasak.
5. Jangan Simpan Kentang Dengan Buah
Elakkan dari meletakkan kentang bersama buah dalam satu bekas, kerana ada sesetengah buah yang mengeluarkan gas yang boleh menyebabkan kentang lebih cepat busuk.
6. Freezer Jadi Penyelesaian
Freezer memang alternatif jangka panjang menyimpan kentang. Dengan cara ini kentang boleh disimpan 10-12 bulan dalam keadaan beku. Tetapi jika ingin dibekukan ia hanyalah kentang yang telah dimasak, bukan mentah. Oleh itu rebus atau bakar kentang sebelum dibekukan.
Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download
sekarang!
Air Tangan Istimewa Menambat Rasa YM Che Puan Temenggong Perlis Datin Seri DiRaja Farinawati

Kesempatan berkunjung ke kediaman YAM Tengku Temenggong Perlis Dato’ Seri DiRaja Syed Amir Abidin Jamalullail ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dan YM Che Puan Temenggong Perlis Datin Seri DiRaja Farinawati Datuk Mohd Din amat dihargai. Setelah beberapa kali temujanji tertunda dek kerana hal yang tidak dapat dielakkan. Akhirnya pertemuan dengan kedua vip ini berlangsung dengan sempurna. Kala memasuki ke kediaman beliau, sudah terbau bau aroma masakan yang ingin dikongsi bersama majalah RASA.

.

Di atas meja sudah tersedia hidangan yang menyelerakan dengan penataan meja yang mewah dan bergaya. Rasa bertuah kerana hidangan pada hari itu sangat istimewa iaitu Siamese Kuey Teow Soup, Tuna Briyani dan Sotong Sumbat (putih) dan dari air tangan Che Puan sendiri.
Menurut Che Puan, Sotong Sumbat dihidangkan pada masa minum petang.” Pada mulanya saya tidak pandai makan,sebab rasanya manis. Selepas Almarhum tiada, suami mahu saya belajar bagaimana untuk membuatnya. Selepas beberapa kali cuba membuat resipi ini, akhirnya berjaya memasak dengan sempurna,” jelas beliau.
Resipi Beriani Tuna pula adalah versi masakan cara beliau. Bosan dengan resipi beriani daging, kambing dan ayam maka beliau mengolah sendiri beriani tuna mengikut caranya. “Anak-anak saya sukakan ikan. Smoked Tuna ini datang dari Maldives. Kebetulan saya mempunyai kawan dari Maldives .
Setiap kali dia pergi ke sana, saya akan mengirimnya. Resipi ini menjadi kegemaran anak-anak kerana Smoked Tuna tiada tulang. Anak-anak menyukai ikan seperti bawal emas, mereka lebih memilih ikan yang tiada tulang,”akui beliau.
Memasak menjadi rutin harian beliau. Hari minggu jadi kemestian saya memasak untuk keluarga.”Hari minggu agak kelam kabut sikit kerana setiap anak mahu menu yang berbeza-beza. Ada yang nak western seperti spagheti, ada yang suka sos bolognese, ada yang suka sos putih.
Jadi saya buatkan kedua sos tersebut.Lasagna adalah kegemaran anak-anak. Suami pula apa yang saya masak semua digemarinya.
Tengku lebih menyukai masakan melayu. Kegemaran beliau ialah Kari Kepala Ikan yang dimasak tipikal Indian style.Saya masak apa yang suami suka. Kalau balik ke Sarawak, memang menghayati sepenuhnya makanan di sana. Begitu juga suami amat menyukai lauk Sarawak. Aroma bau rempah ratus yang kuat baunya,” cerita beliau.

Ilmu memasak lebih didalami beliau selepas berkahwin. Akui beliau banyak belajar sendiri menu yang disukai oleh suami
dan anak-anak. “Saya dan anak pula tak suka makan di luar kerana merasakan bila makan seperti di hotel pun makanannya sama saja.
Jadi kami banyak menghabiska masa di rumah,apa yang anak nak makan saya masakkan,” jelasnya.
Bercerita tentang lauk kenduri di Sarawak, menu wajib ada ialah Daging Masak Hitam. Rasanya agak manis, kerana di dalam ada buah prun. Letak prun lebih pekat berbanding kismis yang ada rasanya kadang ada masam dan manis. Nasi yang dihidang ialah nasi minyak. Ditambah dengan Laksa Sarawak sebagai menu sampingan. Ketika Raya, di mana -mana di Sarawak, pasti ada dihidangkan Laksa Sarawak.



Antara pemanis mulut yang disukai beliau ialah puding karamel. Beliau juga mahir dalam membuat kek lapis Sarawak.”Ibu yang mengajar saya cara membuat kek lapis yang sedap mengikut resipinya. Jadi kami mengikut resipinya dari dulu hingga kini. Biasa yang kami makan ialah Kek lapis Desafair dengan bahan asas ialah horlick dan biskut marie. Ada dua warna hijau dan coklat. selain itu kek lapis Cadbury,”ujarnya.
Mempunyai dua buat restoran, Dayang Sarawak Corner iaitu satu di Putrajaya dan di Ampang dengan hidangan masakan Sarawak. Maka tidak perlu lagi ke Sarawak untuk menikmati Mi Kolok autentik rasa. “Dulu masa mula buka kedai, pukul 6 pagi saya sudah ke pasar ditemani suami.
Mencari barang basah untuk memasak hingga ke pasar borong, rasa lebih puas,” ujar beliau.
Beliau juga berkongsi tip – setiap apa yang dimasak menggunakan santan , sebaiknya letakkan cili padi dan batang supaya santan tidak pecah.

Siamese Kuey Teow Soup
Bahan-bahan:
2kg daging | rebus sampai lembut
4cm halia | dititik
5 biji bawang merah | dicincang halus
Daun bawang | ambil bahagian batang/akar
Fish ball/fish cake
1 sudu makan ikan secukupnyaa
1 sudu makan sos tiram
1 sudu teh kicap manis
Garam
Kiub ayam
Bawang putih-dicincang
1 sudu makan tepung jagung
Kuey teow halus
Cara memasak:
1. Rebus daging bersama halia dan bawang merah.Bila dading empuk, keluarkan dan tos.
2. Masukkan batang atau akar daun bawang dalam air rebusan tadi (boleh masuk berapa banyak ikut cita rasa). Renehkan semula air rebusan hingga batang atau akar daun sup hancur.
3. Letak satu sudu sos tiram, sos ikan, kicap manis dan kiub ayam.
4. Kemudian letakkan sedikit tepung jagung untuk pekatkan kuah dan garam secukup rasa.
Untuk hiasan:
Daging rebus | dihiris halus
Bawang putih | cincang halus dan goreng menggunakan api kecil
Sayur sawi
Taugeh
Perut lembu | rebus dan hiris kecil
Sambal kicap | cili padi + bawang putih
Gula
Cili padi | hiris
Daun sup/daun bawang| hiris


Tuna Briyani
Bahan-bahan:
4 cawan Beras Basmathi | masak 3/4 masak
1 helai daun bay kering
5 ulas bawang putih
2 inci halia
1/2 cawan jus lemon
3-4 keping smoked tuna
4 sudu makan yogurt
2 labu bawang besar | warna merah
3 biji tomato | saiz sederhana
3 pokok daun pudina | ambil daun sahaja
1 pokok daun ketumbar | hiris kasar
Pewarna merah/kuning | boleh juga guna safron
Rempah masala
Garam secukup rasa
3 sudu makan minyak sapi
1 sudu makan mentega
3 biji kentang | dibelah empat
Cara Memasak:
1. Rebus beras tiga perempat masak dan perasakan dengan sedikit garam. Kemudian tos.
2. Tumbuk halus bawang putih dan halia,bawang besar dan tomato dicincang.
3. Panaskan minyak sapi, letak sedikit mentega agar bau wangi, tumiskan bawang, bawang putih dan halia.
Kemudian letak tomato. Tumis sehingga naik bau dan kelihatan hancur.
4. Masukkan rempah masala. ( khas untuk ikan). Untuk sedap tambah rempah beriani.
5. Masukkan air dan juga jus lemon.
6. Masukkan yogurt.Kemudian masukkan kentang.
7. Akhir sekali letak smoked tuna. Sebagai pilihan boleh letak isi ikan tongkol hitam.
8. Kuah tuna tadi letakkan dalam periuk lain pula, untuk satukannya.
9. Dalam periuk lain, letqkkan kuah tuna untuk lapisan bawah sekali. Kemudian tabur daun mint dan daun ketumbar di atasnya.
10. Lapiskan di atasnya nasi yang 3/4 masak tadi, kemudian letak pewarna atau safron dan taburkan kismis.
11. Ulang proses melapis dengan cara langkah yang sama sekurang kurang dua lapisan. Setiap lapisan letak 2 ketul smoked tuna.
12. Masak lagi sehingga 20 minit.
13. Nasi yang sudah dimasak sedia dihidang bersama Smoked Tuna Briani.

Sotong Sumbat
Bahan-Bahan:
2 cawan berat pulut | direndam 4 jam
1 kg sotong
1/2kg santan
4cm halia | dihiris memanjang
4 biji bawang merah | dihiris
1 sudu besar halba
2 sudu makan gula
Cara Memasak:
1. Masukkan santan dalam periuk.
2. Masukkan pula halba, halia dan bawang merah.
3. Beras pulut yang telah direndam digaul dengan sedikit garam.
4. Sumbat pulut dalam sotong. Kemudian rebus.
5. Masukkan sotong yang telah disumbat pulut ke dalam santan.
6. Letak gula untuk melemakkan kuah. Masak dengan api sederhana supaya sotong tidak pecah.
Kek Istimewa Sentuhan Datin Rashidah Yusoff

Berkenalan dengan Datin Rashidah Yusoff seakan mengenalinya lama. Rancak berbual akan minatnya dalam masakan. Jiwa kreatif dan berseni mendorong beliau membuat perniagaan kek secara online.
“Berkecimpung dalam bidang kek ini dari tahun 2014. Sebenarnya saya memang suka memasak daripada awal usia , seingat saya darjah enam sudah boleh memasak. Emak seorang yang garang dan dia mahu kami adik beradik tahu memasak. Kalau hari raya pula kuih nak banyak. Tapi elok juga dia garang secara tidak langsung saya tahu memasak,” ceritanya. Ditanya pada beliau adakah anaknya mempunyai minat memasak. Anak yang paling bongsu suka menolongnya ketika di dapur.
Minat baking
Akui beliau lebih cenderung baking. Saya mula suka buat kek dari tahun 2002. “Ada satu masa saya minta pada suami untuk mengikuti kelas formal khas untuk baking di London. Balik dari sana saya terus buat perniagaan kek secara online di Instagram @missdessertparlour. My speciality is cake,”jelas beliau.

DATIN SHIDA
Beliau juga turut menerima kek yang biasa untuk perayaan seperti kek buah kukus, kek lapis prun , kek masam manis cadburry dan oreo . Kek ini permintaannya tinggi terutama di musim perayaan.
Oleh kerana kesedapan kek yang dihasilkan secara tidak langsung mengundang rantaian pelanggan tetap. Kek yang dihasilkan beliau sungguh menarik perhatian dengan dekorasi yang memukau.
“Seperti kek buah saya mempelajarinya dengan emak. Rahsia jika buat kek, kita tidak boleh overmix , telur tidak boleh terlebih pukul nanti kek akan menjadi kering dan semestinya menggunakan butter premium . Perkara paling penting buat kek ialah dengan menggunakan barang yang berkualiti, sudah pasti kek yang dihasil menjadi gebu dan enak,” jelasnya.
Selain itu menurut beliau membuat kek ini perlukan tahap kesabaran yang tinggi dan minat kerana ia sangat rumit. Masa belajar kek di London , pengkhususan beliau ialah kek fondant.
Akuinya yang sudah berpengalaman lama dalam baking,untuk dekorasi kek tidak mengambil masa yang lama. Proses buat kek bermula dari memasak dan biarkan ia semalaman, itu yang mengambil sedikit masa. Beliau juga menerima tempahan untuk kek kahwin, kek hari jadi dan apa jua majlis. Sekembali dari London beliau juga bertindak sebagai penasihat untuk Restoran Melur & Thyme untuk setup seleksi dessert malah hingga kini.
Khas untuk Majalah RASA , menu dari air tangan beliau dendeng yang popular di kalangan orang Perak di mana arwah ayah berasal dari sana. Rahsia membuat masakan ini, ia mempunyai rempah khas yang dibuat sendiri oleh emak. Bukan hanya keluarga menyukai menu ini malah jiran dan teman rapat juga sukakannya. Sotong stim adalah masakan cara Thai. Ia menu ringkas dan sihat yang menjadi kesukaan keluarga. Keistimewaan kek poppy seed ini dilapisi dengan blueberi dengan dekorasi yang menarik.

Bercerita mengenai rutin memasak , beliau akui setiap hari menjadi kemestian menyediakan hidangan buat keluarga. “Anak -anak saya terlalu memilih, mereka lebih suka saya masak, begitu juga suami,”akuinya.


Orange Poppy Seed with Blueberry Compote & Swiss Meringue
Bahan-bahan kek:
250gm butter
250gm gula castor
250gm telur grade A
250gm Self Raising Flour
I sudu teh vanilla seed
2 sudu makan poppy seed
5 sudu makan susu segar
2 sudu teh parutan kulit orange sunkist
2 sudu makan jus orange sunkist
Cara memasak:
1. Panaskan oven 160’C dan sediakan loyang 8’ x 8” terlebih dahulu
2. Pukul butter dan gula medium to hi speed sehingga betul-betul kembang
3.Kemudian masukkan telur sedikit demi sedikit sehingga habis( low speed)
4. Dengan menggunakan spatula sahaja masukkan tepung yang telah dicampurkan dengan poppy seed berselang seli dengan susu segar sehingga habis
5. Kemudian masukkan esen vanilla, kulit orange sunkist & perahan limau sunkist. Gaul rata
6. Masukkan adunan kek ke dalam loyang dan bakar selama lebih kurang 35 minit atau sehingga masak.
Blueberry Compote
Bahan-bahan: 2 cawan frozen wild blueberries
1 biji parutan kulit lemon
1 biji lemon jus
2 sudu makan gula
1 sudu makan tepung jagung
Cara memasak:
1. Di dalam saucepan campurkan 1/2 cawan frozen wild blueberries, lemon jus, kulit lemon, gula dan tepung jagung.
2. Menggunakan senduk kayu campurkan kesemua bahan-bahan di atas dan masakkan bahan-bahan di atas api yang sederhana. Kacau jangan sampai melekat di periuk dalam 5 minit
3. Selepas itu masukkan kesemua frozen wild blueberries dan masak lagi 2 minit.
4. Tutup api dan biarkan sejuk
5. Jem ini boleh disimpan di dalam bekas kedap udara di dalam peti sejuk selama 1 minggu
Swiss meringue buttercream
Bahan-bahan:
250gm gula kastor
4 bji putih telur
350gm butter
1 sudu vanilla seed
Cara memasak:
1. Masakkan air di dalam periuk sehingga mendidih.
2. Di dalam bekas lain campurkan gula kastor dan putih telur
3. Dengan teknik bain marie masakkan gula kastor dan putih telur lebih kurang 10 minit.
4. Kemudian masukkan bahan-bahan ini ke dalam pengadun dan pukul sehingga berkilat.
5. Masukkan mentega sehingga habis dan pukul lagi hingga betul-betul kembang.
6. Akhir sekali masukkan vanilla seed

Sotong kukus Thai
Bahan-bahan:
5 ekor sotong
1 batang serai (diketuk)
4 hiris lengkuas
4 ulas bawang putih
1 tangkai daun ketumbar bersama-sama akar
2 helai daun limau purut
2 hiris halia
Bahan-bahan Sos:
6 tangkai cili padi merah
1 sudu besar gula pasir
3 sudu besar jus limau nipis
3 sudu besar sos ikan
secubit garam
1 ulas bawang putih
Cara memasak:
1. Masukkan sotong ke dalam bekas bersama-sama serai, lengkuas ,bawang putih, akar daun ketumbar, halia dan limau purut.
2. Kukus hingga masak. Angkat dan keluarkan airnya
3. Susun di dalam pinggan
4. Kemudian masakkan bahan-bahan sos dan curahkan sos di atas sotong

Daging dendeng Perak
Bahan-bahan:
2kg daging lembu |rebus dan hiris tebal dalam 1 inci . Ditumbuk leper dengan lesung batu.Perap dengan kicap manis
Kemudian goreng sampai baunya wangi- tos kan.
Bahan kisar
70-100gm cili kering + 5-10 bij icili merah | kisar halus
1 kg bawang besar
3 labu bawang putih
Halia – 2-3 inci
Bahan tumis
2 mangkuk minyak masak
5 batang serai di ketuk
lengkuas muda (ketuk-ketuk sahaja)
1 cawan kicap lemak manis
1 cawan air asam jawa / asam keping 2-3 keping.
Cara memasak:
1.Tumiskan semua bahan tumis sehingga betul-betul garing. Kemudian masukkan bahan kisar hingga naik minyak.
2. Masukkan kicap, asam, air lebihan rebusan daging dan biarkan mendidih.
3. Masukkan daging dan perasakan dengan garam jika perlu. Masak hingga naik minyak.


Datin Sri Norja Khairayarani Amin, Suka Masak Cara Tradisional

Sebaik diberitahu Rasa ingin mengunjungi kediaman beliau dan merasai air tangannya, Datin Sri Norja Khairayarani Amin memberitahu tidak begitu pakar dalam bab masak memasak. Katanya setakat masak masakan kampung tiada masalah dan mengalu-alu kami datang di kediamannya di Paroi, Seremban, Negeri Sembilan. Seperti dijanjikan, sebaik kami tiba Datin Sri Norja sudap pun menyiapkan Masak Lemak Telur Itik , Sambal Tempoyak Udang dan Sayur Campur, hanya satu menu lagi belum siap.
“Satu lagi menu tu adalah Ketam Masak Telur Masin Cili Padi, ia sedap dimakan panas-panas, sebab itu saya tunggu team Rasa sampai dulu baru saya masak, ujar Datin Sri Norja yang begitu ramah bertanya khabar dan kami saling mengenali, kebetulan ibunya juga ada bersama.
Penulis mengekori Datin Sri ke dapur menyiapkan bahan-bahan menu akhir, sambil berbual beliau terus sahaja menghidupkan api dapur untuk memasak ketam kerana bahan-bahan sudah disiapkan awal. Kelihatannya beliau langsung tidak kekok di dapur, laju sahaja memasukkan bahan tumisan, telur asin cili dan daun kari dan ketam. Tak sampai 10 minit sudah siap.

“Ini masakan paling sempoi yang disukai oleh ahli keluarga saya. Tapi cilia padi kena lebih. Saya orang Negeri Sembilan, cili padi menjadi bahan wajib ada dalam dapur. Kalau tak ada memang rasa macam tak lengkap nak masak, mood pun hilang. Tidak kira gulai, sambal mahu pun rendang, orang Negeri Sembilan termasuklah saya lebih suka menggunakan cili padi. Pendek kata orang Negeri ni memang sinonim dengan cili padi,” ujarnya tertawa sambil mengajak kami ke meja makan bersama anak-anak dan ibunya yang sudah sedia menunggu bagi menikmati hidangan bersama.
Masih Menggunakan Lesung Batu
Sambil menjamu selera, Datin Sri bercerita walaupun banyak gajet dapur seperti mesin pengisar yang boleh membantu memudahkan kerja dapur namun beliau masih menggunakan lesung batu untuk melumatkan bahan tumisan selain daripada cili dan kunyit hidup.
“Rahsia sedapnya masak lemak Negeri Sembilan adalah cara memasak dan campuran cili padi dan kunyit hidup yang ditumbuk lumat menggunakan lesung batu. Sesuai pulak dengan asam garam. Memang terangkat sedapnya.
“Saya sendiri puas jugalah belajar masak Gulai Lemak Cili Padi Telur Itik, nampak senang tetapi tidak kena caranya tak menjadi, kuah tak pekat, santan pecah, telur hancur dan macam-macam. Tapi lama kelamaan baru saya tahu macam mana nak pastikan kuah kuning gulai lemak itu nampak cantik, santan tak jalang (cair) dan bentuk telur sempurna bulatnya. Bunyinya macam kelakar tetapi itulah istimewanya masakan Negeri Sembilan, “ terang Datin Sri yang sudah ke dapur sejak zaman sekolah lagi demi membantu ibu yang sibuk dengan bisnes dan adik-beradik pula ramai katanya.
Disebabkan kesibukan ibu dan adik beradik ramai, Datin Sri Norja terpaksa tolong meringankan tugasan ibu di dapur. Bermula dari itulah timbulnya minat memasak, walaupun pada awalnya selalu sahaja tidak menjadi tetapi berkat usaha dan sentiasa mencuba akhirnya beliau pandai memasak.
“Bayangkan saya ada 10 orang adik beradik, emak sibuk dengan bisnes Tupperwarenya sehingga memaksanya ke serata pelusuk negeri dan kadang-kadang terpaksa ke luar negara. Jadi sebagai anak perempuan saya terpaksalah mengambil alih tugas ibu di dapur. Jadinya sedap tak sedap, adik beradik lain kena makan, tidak ada pilihan. Bila tugas memasak sudah menjadi rutin dan saya belajar dari kesilapan masakan yang pernah saya lakukan akhirnya baru tahu di mana silap dan apa perlu dilakukan. Hasilnya baru masakan yang dimasak menjadi, tidaklah buang begitu saja,” cerita Datin Norja yang memang menjadi ‘chef’ bila keluarga besarnya berkumpul.

Hebat Dalam Bisnes
Menariknya, wanita bisnes yang menerajui tiga perniagaan dan bertindak sebagai, Ketua Pegawai Eksekutif (Beauarti) Getthiss Sdn Bhd, Lembaga Pengarah Kyra Gold & Jewellery Sdn Bhd dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Kolej Antarabangsa Murni, Nilai, Negeri Sembilan ini masih sempat masuk dapur untuk menyediakan hidangkan suami dan anak-anaknya.
“Sebagai isteri dan ibu yang sibuk, walaupun tidak sempat memasak, saya akan pastikan pembantu boleh menyediakan masakan mengikut menu yang saya tetapkan. Atau pembantu siapkan bahan, balik rumah saya yang akan memasak. Soal menu, kami sekeluarga memang suka masakan kampung yang ringkas, lebih bersyukur suami dan anak-anak tidak cerewet soal makan. Kalau rasa nak makan western atau yang lain kami makan di luar bersama,” cerita Datin Sri Norja lagi.
Isteri kepada Dato’ Sri Muhhammad Dzulnun bin Huraira dan ibu kepada Nurkhaira Maisarah, Nurkhira Marissa, Khaira Mariah dan Umar Khair, memang jenis wanita yang tidak tahu duduk diam. Biarpun kini sedang hamil enam bulan masih lagi sibuk dengan urusan bisnesnya.Terbaru beliau mengusahakan produk kecantikan sendiri di bawal label Beauarti, produk kecantikan yang diperbuat dari bahan-bahan organik yang diimpot dari negara Korea Selatan.
“Sebagai permulaan kami memperkenalkan produk skin care. Menariknya rangkaian produk penjagaan kulit ini mampu meremajakan kulit wajah tanpa proses pengelupasan dan paling penting sekali produk kami mendapat sijil halal dari JAKIM. Jadi pengguna muslim boleh menggunakan tanpa was-was , ia juga boleh digunakan oleh semua wanita di semua peringkat usia,” ujarnya mengakhiri perbualan.
RESIPI:

TELUR ITIK MASAK LEMAK CILI PADI
BAHAN-BAHAN:
- 6 biji telur itik
- 1000ml santan
- 2 keping asam gelugor
- 1 helai daun kunyit | mayang halus
- Garam Secukup rasa
BAHAN KISAR:
- 15 biji cili padi
- 3cm kunyit hidup
CARA MEMASAK:
- Masukkan santan bersama bahan kisar di dalam periuk, kacau rata.
- Didihkan atas api sederhana, kemudian masukkan asam gelugor dan garam
- Apabila kuah lemak sudah mendidih, kecilkan api dan pecahkan telur dalam mangkuk satu persatu dan masukkan dalam Lakukan hingga habis.
- Terus didihkan hingga telur keras.
- Sebelum tutup api, masukkan hirisan daun kunyit.
- Sedia dihidangkan.
INFO CHEF: Jika suka boleh tambahkan hirisan mangga muda di dalamnya.

SAMBAL TEMPOYAK UDANG PETAI
BAHAN-BAHAN:
- 500gm udang | buang kepala dan belah belakang
- 150gm petai yang telah dibuang kulit
- Garam dan gula secukup rasa
- 3 sudu makan tempoyak | bancuh dengan sedikit air
- Minyak masak secukupnya untuk menggoreng dan menumis
BAHAN TUMBUK
- 20 biji cili padi
- 4 ulas bawang merah
- 1 biji bawang besar
- 3 ulas bawang putih
CARA MEMASAK:
- Panaskan minyak, goreng udang seketika, bila kulit bertukar warna kemerahan angkat. Ketepikan.
- Kemudian goreng pula petai seketika. Angkat dan ketepikan.
- Keluarkan minyak, tinggal sedikit dan tumis bahan tumbuk hingga wangi.
- Seterusnya masukkan tempoyak, kacau hingga rata.
- Bila timbul minyak masukkan udang dan petai, kacau rata.
- Perasakan dengan garam dan gula secukupnya.
- Setelah cukup rasa, angkat dan hidangkan.
INFO CHEF: Jika suka boleh sahaja tambah cili merah. Tetapi orang Negeri Sembilan lebih suka menggunakan cili padi.

KETAM CILI PADI TELUR MASIM
BAHAN-BAHAN:
1kg ketam | bersihkan dan belah dua
6 biji kuning telur asin | hancurkan
1 cawan susu cair
15 biji cili padai | hiris
5 ulas bawang putih | titik
3 tangkai daun kari | lurutkan dari tangkai
3 sudu makan mentega
Garam dan gula secukup rasa
Minyak masak secukupnya untuk menggoreng ketam
CARA MEMASAK:
- Panaskan minyak, goreng ketam separuh masak. Angkat dan ketepikan.
- Menggunakan kuali lain, panaskan minyak dan tumiskan bawang putih bersama daun kari hingga wangi.
- Seterusnya masukkan kuning telur, kacau seketika dan masukkan ketam.
- Kacau rata dan tambah susu cair.
- Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
- Kacau lagi seketika dan tutup api dan sedia dihidangkan.
Jika anda suka masaklemak, boleh cuba yang ini juga.
10 Resipi Masak Lemak Paling Ringkas & Sedap Yang Geng Mak-Mak Boleh Siapkan Kurang Dari 30 Minit.


