4 Hidangan Berasaskan Kismis, Sedap dan Lebih Sihat

Share

 

Dengan sifatnya yang kaya dengan serat, kismis amat bagus untuk diamalkan pengambilannya setiap hari. Kismis sebenarnya adalah anggur yang dikeringkan. Selain serat, kismis turut ada vitamin, mineral dan manfaat antioksidan.

Walau telah dikeringkan, kismis masih tetap manis. Pun begitu kalorinya rendah dan sesuai diamalkan oleh mereka yang mengawal pengambilan kalori dalam pemakanan.

Kismis juga membantu menurunkan tahap kolesterol dalam darah. Ramai juga yang ingin menguatkan daya ingatan dengan mengambil kismis setiap pagi.

Antara kebaikan kismis adalah:

1. Kaya dengan kalsium, zat besi dan zink.
2. Elok diambil bagi mereka yang ada masalah tekanan darah tinggi.
3. Kismis ada vitamin B kompleks.
4. Kismis sesuai dijadikan sebagai snek tanpa merosakkan kesihatan.
5. Sesuai dimakan dengan salad, bubur atau dimasukkan dalam masakan.
6. Rasa manis kismis menjadi pengganti gula dalam penyediaan bakeri dan coklat.
7. Tidak megandungi lemak, sodium dan kolesterol.
8. Mudah dihadam untuk bagi tenaga segera.

MUFIN VANILA KISMIS


Muffin yang membangkitkan selera.

BAHAN A
1 biji telur ayam
1/2 cawan minyak jagung
1 cawan susu segar
1/2 sudu kecil esen vanila

BAHAN B
2 cawan tepung gandum
3 sudu kecil serbuk penaik
1 cawan gula kastor
Secubit garam

BAHAN C
Kismis

CARA MEMBUAT
1. Ayak BAHAN B dan satukan dalam mangkuk. Buat lubang di tengah doh.
2. Dalam mangkuk lain, putar telur, esen vanila. Masukkan minyak masak dan susu. Kacau sehingga sebati. Tuangkan ke dalam BAHAN B.
3. Kacau rata secara kaup balik menggunakan senduk.
4. Biarkan adunan tadi selama 5 minit. Kacau sekejap dan tuang adunan 3/4 muffin cup.
5. Letak kismis di atas dan di dalam mufin tadi.
6. Panaskan oven dan bakar mufin pada suhu 170C selama 20 minit atau hingga masak.

RESIPI ROTI KISMIS


Roti yang mengenyangkan.

BAHAN-BAHAN
1/2 kg tepung gandum
2 sudu makan susu tepung
100 gram gula castor
1 pek kecil yis
1 biji telur ayam gred B
Garam secukup rasa
20 gram shortening
40 gram marjerin
250 ml air sejuk
Kismis secukupnya

CARA MEMBUAT
1. Satukan semua bahan kecuali kismis. Uli sampai doh boleh ditarik.
2. Rehatkan sehingga doh kembang. Tumbuk doh dan keluarkan angin. Kemudian uli jadi leper dan taburkan kismis. Uli dan ratakan kismis.
2. Bentukkan doh ikut cita rasa dan rehatkan lagi. Apabila doh semakin naik, sembur sedikit air pada doh.
3. Bakar doh pada suhu 170 darjah selsius selama 25 minit menggunakan api atas bawah.

BISKUT NESTUM KISMIS


Sedap biskut ni..

BAHAN-BAHAN
250 gram mentega
1 1/2 cawan gula halus
2 biji telur ayam
1/2 sudu kecil esen vanila
3 cawan tepung gandum
3 cawan Nestum
100 gram kismis

CARA MEMBUAT
1. Pukul mentega dan gula halus sehingga kembang.
2. Masukkan telur ayam dan esen vanila. Pukul lagi.
3. Masukkan tepung dan nestum, gaul.
4. Masukkan kismis dan uli adunan ikut bentuk yang digemari.
5. Bakar pada suhu 180 darjah selsius selama 20 minit.

BISKUT COKLAT CIP DAN KISMIS


Sedap weh!

BAHAN-BAHAN
185 gram mentega
185 gram gula kastor
1 biji telur
375 gram tepung gandum
½ sudu teh serbuk soda
¼ sudu teh garam
1 sudu teh esen vanila
90 gram walnut (dicencang)
90 gram kismis
185 gram cip coklat

CARA MEMBUAT
1. Pukul mentega, gula dan telur sehingga sebati.
2. Masukkan tepung gandum, serbuk soda, garam dan esen vanila. Gaul sehingga sebati. 3. Akhir sekali masukkan walnut, kismis dan cip coklat. Gaul sedikit.
4. Sendukkan adunan menggunakan sudu teh dan letakkan atas dulang pembakar dan bakar sehingga masak.

Selamat mencuba!

IKLAN