Datuk Mas Ermieyati Samsudin, ini memang tangkas memasak. Walaupun masakannya ringkas tetapi lauk pauknya memang sungguh sedap sekali.
Khas buat pembaca RASA, beliau berkongsi tiga resipi ‘favorite’ anak-anaknya iaitu Bawal Sweet Sour,Masak Lemak Putih Soo Hoon dan Ikan Bilis Goreng Cili Padi. Ringkas dan mudah tapi memang membuka selera. Jom cuba! Anda pasti sukakannya.
1. IKAN BAWAL MASAK SWEET SOUR
BAHAN-BAHAN :
2 ekor ikan bawal
2 sudu makan serbuk kunyit
1 biji bawang besar
7 ulas bawang putih
2.5 sm halia
1 sudu makan pes cili kering
2 biji tomato/dihiris bulat
3/4 cawan sos tomato
1/2 cawan sos cili
3 sudu makan sos tiram
Gula dan garam secukupnya
BAHAN HIASAN:
Ads
Sayur (lobak merah, kubis bunga dan brokoli)
Saderi
2 biji lada benggala (merah dan kuning)/dipotong kiub
CARA MEMASAK :
Lumurkan serbuk kunyit dan garam secukupnya pada ikan bawal.
Pijarkan minyak di dalam kuali, dan goreng hingga garing. Ketepikan.
Kemudian tumiskan bawang putih, bawang besar dan halia hingga kuning,masukkan pes cili kering.
Selepas itu masukkan sos tomato, sos cili, sos tiram, masukkan pula bawang besar, tomato ,brokoli dan lada benggala biarkan dua minit.
Tutup api dan tuangkan sos ke atas ikan. Hias dengan daun saderi.
INFO CHEF : Jika mahukan kelainan anda boleh menambah kiub nenas dan sedikit air nenas ke dalam lauk ini.
2. IKAN BILIS GORENG CILI PADI DAN BAWANG BESAR
BAHAN-BAHAN :
Ads
300gm ikan bilis
1 biji bawang besar /dihiris membulat
4 biji cili padi
CARA MEMASAK :
Panaskan minyak dalam kuali. Goreng ikan bilis hingga garing dan ketepikan.
Kemudian tumiskan bawang besar dan cili padi dan masukkan ikan bilis ke dalamnya.
Gaul rata dan boleh dihidangkan
INFO CHEF : Supaya ikan bilis kekal garing, tunggu bawang dan cili padi sejuk dahulu baharu dimasukkan ikan bilis
3. MASAK LEMAK PUTIH SOO HOON
Ads
BAHAN-BAHAN :
150gm fucuk/dikerat pendek
2 pek kecil soo hoon/direndam air
1 1/2 biji bawang besar/dihiris
7 ulas bawang putih/dihiris
1 1/2 liter santan cair
400ml pati santan
50gm atau segenggam udang kering/direndam dan ditumbuk kasar
30gm atau segenggam ikan bilis
Garam dan gula secukup rasa
Cili merah sebagai hiasan
CARA MEMASAK :
Panaskan sedikit minyak,di dalam periuk, masukkan bawang dan goreng hingga naik bau.
Kemudian masukkan ikan bilis dan udang kering, dan tumiskan sebentar.
Tuangkan santan cair dalam periuk dan masukkan fucuk hingga lembut
Kacau sekali sekala di atas api yang sederhana
Masukkan soo hoon, toskan airnya dan kemudian tuangkan pati santan.
Kacau perlahan, masukkan garam dan gula secukupnya dan pastikan ia dikacau selalu sehingga mendidih. Kecilkan api dan biarkan mereneh sebentar.
Hidangkan dengan hiasan cili merah jika anda mahukan ia sedikit pedas.
INFO CHEF : Masak lemak putih ini boleh juga dimasak tanpa menumis. Masukkan terus hirisan bawang, udang kering dan ikan bilis ke dalam santan cair dan kemudian baru dimasukkan bahan lain.Pilih fucuk yang berkedut untuk rasa yang lebih sedap.
Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download
sekarang!
Berkunjung di kediaman Datin Sri Eima, memberi peluang kepada penulis untuk mencuba menu autentik Sarawak dan Perak yang sangat sedap, ternyata isteri kepada Datuk Sri Abang Aditajaya, ahli perniagaan dari Sarawak ini pandai memasak dan baking. Cuma semasa kunjungan kami, beliau tidak sempat baking kerana agak kesuntukkan masa.
“Sebenarnya kalau nak ikutkan minat saya lebih suka baking dari memasak. Tetapi memasak ini adalah keperluan rutin, jadi setiap hari kalau tak masak pun saya kena juga sediakan hidangan untuk keluarga, berbanding baking, selalunya bila saya ada masa lapang atau bila birthday anak-anak.
“Hari ni, agak sibuk sikit, saya tak sempat baking, cuma sempat sediakan beberapa jenis lauk untuk RASA cuba. Daging Hitam Gula Apong ni adalah kegemaran suami kerana dia orang Sarawak. Menu ini saya belajar dengan arwah ibu metua sampai menepati rasa seperti diinginkan suami. Jadi ini adalah menu wajib keluarga saya bila Hari Raya atau hari-hari tertentu kami mengadakan keraian,” cerita Datin Sri Eima yang tampil cantik serba putih petang hari itu.
Satu lagi menu yang tidak kurang menariknya, ialah Rendang Jering. Rendang ini adalah menu warisan keluarga Datin Sri Eima yang berasal dari Perak. Ternyata jering yang kuat baunya itu bila diolah menjadi rendang ia sangat sedap, rasa kenyal dan tiada bau, malah lebih sedap dari daging yang dicampurkan bersama.
“Ini adalah menu turun temurun keluarga saya, saya pelajarinya dari ibu. Jering yang sesuai untuk dijadikan rendang mestilah jering tua dan ia perlu direbus lama dan dua tiga kali tukar air sebelum boleh dibuat rendang. Itu sebabnya tak ada bau dan lembut, ternyata bila penulis rasa memang sedap dan rasa macam tak boleh berhenti makan. Memang terbukti sedap. Jika ingin cerita lanjut mengenai Datin Sri Eima boleh dapatkan Majalah Rasa Febuari 2019 ye…
DAGING MASAK HITAM GULA APONG
BAHAN-BAHAN:
1kg daging batang pinang | hiris nipis
4 sudu makan kicap pekat
4 sudu makan gula Apong
5 sudu makan pes cili kering
Sedikit air asam jawa
Garam dan perasa secukupnya
Minyak masak secukupnya | untuk menggoreng
BAHAN KISAR:
2 biji bawang besar
4 batang serai
3cm lengkuas
3cm halia
CARA MEMASAK:
Gaulkan hirisan daging bersama kicap pekat dan gula Apong, perapkan sekurang-kurangnya 30 minit.
Panaskan minyak dalam kuali, kemudian tumiskan cili kering.
Setelah garing masukkan bahan kisar. Kacau rata hingga timbul minyak.
Seterusnya masukkan daging yang telah diperap tadi.
Kacau rata hingga air daging kering.
Akhir sekali perasakan dengan air asam jawa, serbuk perasa serta garam secukup rasa.
Setelah daging empuk, sedikit garing dan cukup rasa tutup api.
Daging masak hitam sedia dihidangkan.
RENDANG JERING
BAHAN-BAHAN:
1kg jering | rebus
1/2kg daging | hiris nipis dan kecil
1 litter santan pekat
4 sudu makan kerisik
Garam, gula dan perasa secukup rasa
1 helai daun kunyit | hiris
3 sudu makan cili serbuk
4 sudu makan minyak masak
BAHAN KISAR:
4 batang serai
2 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
3cm halia
3cm kunyit hidup
20 biji cili padi
CARA MEMASAK:
Panas minyak, tumiskan bahan kisar hingga wangi.
Masukkan daging, kacau rata dan biarkan hingga air daging keluar dan kering.
Tambahkan serbuk cili, gaul rata dan masukkan santan.
Setelah daging empuk masukkan jering yang telah direbus.
Kacau lagi dan masukkan kerisik.
Perasakan dengan garam, gula dan serbuk perasa secukupnya.
Setelah kuah pekat, taburkan hirisan daun kunyit. Kacau rata dan tutup api.
Rendang jering sedia dihidangkan.
UDANG BERLADO
BAHAN-BAHAN:
500gm udang saiz XL | bersihkan
2 batang serai | titik
Garam, gula dan perasa secukup rasa
Minyak masak secukupnya | untuk menggoreng dan menumis
BAHAN KISAR:
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
3 biji cili merah
4 biji cili padi
1 biji tomato
CARA MEMASAK:
gaulkan udang dengan serbuk kunyit dan garam ahalus. Ketepikan.
Panaskan minyak dalam kuali, goreng udang hingga kemerahan. Angkat dan ketepikan.
Keluarkan minyak dan tinggal sedikit untuk menumis.
Tumiskan bahan kisar dan serai titik hingga wangi dan pecah minyak.
Perasakan dengan garam, gula dan perasa secukupnya.
Setelah cukup rasa dan garing, tutup api dan masukkan udang yang telah digireng tadi.
Berkenalan dengan tetamu vip kali ini hanya di corong telefon. Tiba di kediaman Dato’ Nurul Cynthia Williams, kami disambut oleh pembantu rumah beliau. Tidak lama kemudian muncul wanita ayu lengkap berbaju kurung moden sedondon dengan anak perempuan beliau. “Maaflah dua anak lelaki saya tidak turut serta. Seorang di asrama dan seorang lagi kurang sihat,”jelas beliau.
Tidak kekok berbual dengan beliau biarpun pertama kali bertemu, banyak celotehnya dan sentiasa mengukir senyuman.Beliau mengelola tiga syarikat yang kesemuanya berhubungkait dengan sumber manusia. Salah satunya ialah agensi pekerjaan Priston yang membawa masuk pekerja asing, pembantu rumah dan juga local candidates. Selain itu turut menjadi konsultan sumber manusia serta menawarkan servis pembersihan untuk pejabat.
Sebagai ibu dan wanita bekerjaya semestinya sibuk dengan tugasan harian. “Rutin harian saya bangun seawal pagi jam empat atau lima pagi. Solat dan pastikan hal berkenaan anak-anak sudah tersedia. Saya juga berterima kasih kerana mempunyai dua orang pembantu rumah untuk membantu saya dalam hal kerja rumah. Bila anak-anak ke sekolah maka saya pun memulakan tugasan.
Memandangkan kerjaya saya banyak berhubung rapat dengan pembantu rumah jadi saya pastikan mendapat pembantu yang terbaik untuk menguruskan hal anak-anak dan rumah seandainya saya tidak berada di rumah. Biasanya jika tidak ada hal di luar, jam enam saya sudah berada di rumah,”ujarnya.
Beliau akui tidak arif sangat memasak. “Oleh kerana saya Cina Muslim, anak-anak menggemari masakan fusion iaitu masakan cina dari orang tua saya dan Melayu. Tidak ketinggalan masakan barat seperti spageti dan stik. Jadi kami mempunyai pilihan masakan fusion di rumah iaitu Cina, Melayu dan barat,” jelasnya.
Selain pembantu rumah, beliau juga dibantu chef peribadi iaitu Chef Alwi di mana banyak menu yang dipelajari darinya. Latar belakangnya bekerja di hotel lima bintang sebelum ini dan juga 20 tahun pengalaman dalam dunia masakan memberi keyakinan kepada chef ini untuk mencipta menu enak. Dia juga menjadi konsultan lebih dari 17 restoran hasil pengalamannya sebagai chef dalam bidang F&B. Beliau akui banyak mempelajari menu-menu mudah darinya.
Seperti hari ini dihidangkan dengan resipi Boil Asparagus Bersama Udang dengan sos istimewa iaitu Honey Sesame Oil Lime and Olive Oil. “Saya begitu teliti soal sayuran yang hendak dimakan. Hanya sayuran tertentu yang suka dimakan dan salah satunya ialah asparagus. Anak-anak pula menyukai Spageti Carbonara bersama sosej kambing pedas. Saya amat mementingkan makanan berkhasiat. Sosej ini istimewa kerana dibuat khas oleh Chef Alwi di mana dia mengeluarkan sendiri sosej ini. Ia bebas dari tepung, gluten, gula, pewarna dan bahan pengawet. Ia daging kambing import bersama herba. Anak-anak saya amat menggemarinya. Terdapat juga sosej ayam dan kambing,”ceritanya.
Hidangan pemanis mulut pula dihidangkan Bubur Cha Cha. Semasa percutian di Thailand, beliau merasai Bubur Cha Cha yang sedap di sana. Rasanya berbeza dengan Bubur Cha Cha tempatan. Bubur Cha Cha yang dihidangkan ini adalah olahan resipi mengikut cita rasa Thai. Keenakkannya kerana diletakkan santan segar, laici, nanas, koktel , mangga segar, sago, keladi dan oren mandarin . Pemanis mulut ini adalah kegemaran beliau dan anak-anak.
Anak-anak sukakan spageti dan nuget. Masakan Cina mesti ada sayuran juga ikan masam manis. Chef akan datang dua atau tiga kali seminggu untuk buat penyediaan makanan dalam masa yang sama mengajar pembantu rumah dan secara tak langsung beliau juga belajar memasak dengannya.
“Biasanya hari minggu saya luangkan masa untuk memasak. Sebolehnya saya akan sediakan makanan yang berkhasiat untuk anak-anak. Di rumah memang tidak ada snek juga minuman ringan. Minuman bergula juga sangat minima. Jadi anak-anak tiada pilihan. Mereka buka peti sejuk nampak buah, jadi mereka kenalah makan buah. Hanya kadang kala kalau keluar makan di luar ada cheat day untuk makan snek dan makanan manis. Makanan manis ini tidak bagus untuk kesihatan dan silent poison. Semua penyakit datang daripada pemakanan. Malam pula saya makan sedikit dan anak-anak makan seperti biasa,”ujarnya menutup bicara.
Asparagus with grill prawn
Asparagus stim dihidang bersama udang panggang yang ditabur bijan dan bawang putih goreng. BAHAN-BAHAN:
Minyak zaitun
Minyak bijan
Madu
Limau nipis
Udang|dibuang kulit tinggal kulit ekor dan dibelah belakang
Asparagus |dibuang kulit tua
CARA MEMASAK:
1.Panaskan minyak guna kuali tebal
2.Udang dipanggang dengan lada hitam dan ditabur dengan garam. Jangan terlalu masak, biarkan ia masak sendiri.
3.Setelah diangkat dari kuali,biarkan udang sejuk.
4.Rebus air, letak garam sehingga rasa masin.Tujuan agar asparagus menyerap rasa garam.Guna garam bukit.
5.Apabila asparagus bertukar warna terang angkat dan rendam dengan air sejuk
Dressing
Limau nipis |diperah ambil air nya
Biji bijan |digoreng tanpa minyak sehingga keperangan
Minyak zaitun
Jus limau nipis
Madu
Sedikit minyak bijan
Kacau semuanya.
Spaghetti Carbonara Sosej Kambing Pedas BAHAN-BAHAN:
1/2 ketul mentega
Sedikit minyak zaitun
4 ulas bawang putih | cincang
1/2 pek sosej kambing pedas
1 tin sup cendawan
1 kotak kecil susu segar
Bawang besar
Serbuk lada hitam
Spageti
Garam secukup rasa
Keju Parmesan
CARA MEMASAK:
1.Panaskan kuali, masukkan sedikit minyak zaitun dan ½ ketul mentega. Masukkan bawang putih yang diketuk dan cincang (bawang besar potong dadu, jika suka) hingga kekuningan. Masukkan sosej dan angkat.
2.Guna kuali yang sama, masukkan 1 tin sup cendawan dan 1 tin air. Kacau rata dan bila tak berketul, baru buka api.
3.Masukkan satu kotak kecil susu segar, masukkan serbuk lada hitam dan garam secukup rasa.
4.Tuang sosej tadi dalam sos cendawan.
5.Tuang sos atas spageti apabila hendak makan, tabur keju parmesan.
Bubur cha-cha
BAHAN-BAHAN:
Santan kelapa
Keladi cina | potong dadu
Buah kabong
Longan
1 tin laici
Sago
Kurma cina (merah)
Koktel buah
Nanas dalam tin | potong dadu
Gula Melaka
Secubit garam
Daun pandan
CARA MEMASAK:
1. Perah kelapa, ambil yang pekat dan dicampur garam.
2.Gula Melaka dimasak dengan daun pandan,masuk secubit garam
3.Laici dan nanas dipotong dadu
4.Masukkan semua bahan ke dalam mangkuk, tuangkan santan kelapa dan gula Melaka.
5.Siap untuk dihidang.
Siapa yang tak kenal dengan Datin Furyna yang jelita dan kecil molek ini, beliau seorang pengasas produk kecantikan dan kesihatan Syarikat AuraWhite Global Sdn Bhd. Dah tentulah jadual hariannya sentiasa sibuk. Tapi bila RASA sempat menjengah dapur beliau, Tuuu diaaa… atas meja makan dan penuh dengan juadah yang sudah siap dimasak dan masih panas lagi. Ada Ayam Masak Merah, Udang Masak Lemak, Sayur Campur, Sambal Paru, Sambal Belacan dan ulam-ulaman.
“Kami suami isteri memang suka masakan kampung yang ringkas, macam hari ni. Tetapi menu paling istimewa kami adalah Ayam Masak Merah. Menu ni, lain dari yang lain sebab menu ini ditambah santan dan badam kisar supaya ia lebih pekat dan berkuah. Resipi ini adalah menu wajib Hari Raya, kenduri kendara atau bila keluarga semua berkumpul.
” Wakil RASA wajib cuba sebab ini adalah warisan keluarga kami turun temurun,” ujar Datin Furyna tak kekok di dapur dan cukup suka ke pasar.
Ujarnya lagi sudah menjadi kebiasaannya, kalau ke pasar terlebih beli barang sebab rambang mata tengok ikan, seafood atau sayur-sayur segar, namun ia tidak membazir, sebab semuanya akan disimpan dalam frezer, kerana Datuk suka menjemput rakan-rakan bisnes dan sanak saudara datang makan di rumah mereka. Dah tentulah Datin yang akan masak dan segala pesiapan bahan pembantu akan tolong, sebab memasak di dapur menjadi satu terapi bagi Datin.
“Saya memang suka masak sejak zaman remaja lagi, malah keluarga saya dan Datuk pun memang jenis yang pandai masak. Cuma sebagai iseri saya tak suka suami masuk dapur, biarlah saya sorang yang masak dan dia menikmati apa yang isteri masak. Untung saya kerana Datuk jenis makan tak cerewet dan suka hidangan yang ringkas tapi sedap. Anak-anak pun sama,” cerita Datin Furyna yang ramah melayani kami menikmati juadah air tangannya sedap sekali.
Sebagai buah tangan pada anda semua, berikut Datin kongsikan dua resipinya:-
SAMBAL PARU
BAHAN-BAHAN::
500gm paru | rebus dan hiris nipis
1 sudu makan air asam jawa
1 biji bawang Holland | hiris bulat
5 sudu makan pes cili kering
Garam, gula dan perasa secukupnya
Minyak masak secukupnya | untuk menggoreng dan menumis
BAHAN KISAR:
5 ulas bawang
3 ulas bawang putih
2cm halia
2 batang serai
CARA MEMASAK:
Panaskan minyak, goreng paru yang telah direbus (jangan terlalu garing). Angkat dan ketepikan.
Menggunakan kuali lain, panaskan sedikit minyak, kemudian tumis bahan kisar hingga wangi dan pecah minyak.
Masukkan pes cili kering, kacau rata hingga pecah minyak.
Seterusnya masukkan air asam dan perasakan dengan garam, gula dan perasa secukup rasa.
Apabila kuah agak garing masukkan hirisan bawang Holland bersama paru.
Gaul rata kemudian tutup api.
Sambal paru sedia dihidangkan.
AYAM MASAK MERAH
BAHAN-BAHAN:
1 ekor ayam | potong sederhana
100gm buah badam | kisar
1 biji bawang besar | hiris bulat
3 biji cli merah | hiris serong
2 sudu makan puri tomato
2 sudu makan sos cili
1 sudu makan air asam jawa
4 sudu makan cili kering kisar
2 cawan santan
Garam dan gula secukup rasa
BAHAN KISAR:
1 biji bawang besar
5 biji bawang merah
3cm halia
2cm lengkuas
3 biji buah keras
CARA MEMASAK:
Ayam digaul dengan sedikit serbuk kunyit dan garam, perap sekejap dan goreng hingga 3/4 masak.Angkat dan toskan.
Panaskan minyak dalam kuali, tumis bahan kisar halus hingga harum, masukkan cili kisar dan tumis hingga cili garing.
Tambah puri tomato dan sos cili, kacau rata.
Tambah ayam tadi dan gaul rata, kemudian tambah air asam jawa dan santan.
Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
Biarkan mereneh atas api sederhana hingga kuah pekat.
Resipi Udang Sambal Kantan yang padu, beraroma dan menggoda selera! Gabungan udang galah segar, bunga kantan, dan kuah sambal pekat menjadikan hidangan ini lauk kampung yang wajib dicuba.