
Siapa sangka Brokoli ‘Super Food’ ini bukan hanya sedap sebagai sayur tetapi juga boleh diolah jadi kudapan seperti digoreng celup tepung dan dijadikan muffin dan banyak lagi. Sebagai sayur kaya dengan pelbagai khasiat, anda manfaatkan brokoli dalam bermacam menu. Antaranya seperti dalam dua resipi yang dikongsikan di bawah ini.
BROKOLI GORENG RANGUP
BAHAN-BAHAN:
500gm brokoli | potong dadu
1/2 cawan tepung goreng serbaguna |sebarang jenama
1 sudu teh serbuk bawang putih
1/2 sudu teh serbuk lada hitam
1cawan tepung tempura | sebarang jenama
Sedikit air
300gm minyak masak | untuk menggoreng
CARA MEMASAK:
- Renehkan air dalam periuk, celur sekejap 3-4 minit brokoli.
- Angkat, tos dan ketepikan.
- Campurkan tepung serbaguna dengan serbuk lada hitam dan bawang putih. Gaul rata.
- Taburkan dalam bekas berisi brokoli tadi, gaul rata. Tambahkan sedikit air untuk memastikan tidak ada tepung berketul.
- Setelah brokoli bersalut tepung sepenuhnya, gaulkan pula dalam tepung tempura. Lakukan hingga habis.
- Panaskan minyak dalam kuali, goreng hingga garing.
- Angkat dan tos.
- Brokoli sedia dihidangkan dengan sos kegemaran anda.
MUFFIN BROKOLI TELUR
BAHAN-BAHAN:
1/2 biji brokoli | potong dadu besar dan rebus 3-4 minit
5 biji telur
1/2 sudu teh serbuk daun Thyme
1/2 sudu teh serbuk bawang putih
1 sudu teh serbuk pati ayam
1 sudu teh serbuk lada sulah
1/2 cawan parutan keju cheddar
CARA MEMASAK:
- Panaskan ketuhar pada suhu 180C.
- Sementara itu, pukul telur hingga kembang.
- Kemudian masukkan ke dalamnya serbuk pati ayam, lada sulah, serbuk bawang putih dan serbuk daun Thyme.
- Kacau rata, baru masukkan brokoli dan 3/4 dari keju. Kacau rata.
- Sediakan loyang muffin. Sapukkannya dengan mentega.
- Tuangkan bancuhan muffin ke dalam loyang hanya 3/4 permukaan acuan sahaja. Taburkan lebihan parutan keju di atasnya.
- Bakar hingga kuning keperangan lebih kurang 20-25 minit.
- Setelah masak, muffin sedia dihidangkan.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Aneka Sambal Yang Enak Dimakan Bersama Nasi Panas. Memang Terbaik!

Salah satu pembuka selera adalah pelbagai pilihan sambal yang sedap bila dimakan dengan nasi panas-panas. Memang membuka selera sehingga menjilat jari. Oleh itu, kami kongsikan 12 resipi sambal pilihan yang dikongsi oleh Puan Afy Al Habibi di grup Masak Apa Hari Ni..(MAHN). Boleh cuba buat untuk makan tengahari nanti.
1. SAMBAL BELACAN KEDAI SIAM
1. Sediakan bahan-bahan di bawah;
- segenggam cili padi merah + hijau
- 1/2 biji bawang merah (saiz besar)
- 1/4 keping kecil nisse / gula melaka
- 1 labu bawang putih jeruk
- 2 inci belacan
2. Masukkan kesemua bahan tadi ke dalam pengisar.
Tambahkan :
- 2 sudu besar cuka
- 1/2 sudu kecil garam
- 1/2 sudu besar gula
- secubit dua ajino
- sedikit air masak ( jangan letak banyak. Nanti cair sangat)
*kuantiti garam gula mungkin perlu ditambah atau dikurangkan mengikut bahan atau cita rasa sendiri
3. Selepas itu, kisar semua bahan hingga lumat. Hidangkan. Perah sehiris dua asam limau nipis.
Siap!
Rahsianya nak hasilkan rasa serupa seperti sambal belacan kedai Siam, bawang dan belacan cikgu tak bakar macam sebelum ini.
Betul-betul sedap!
2. IBU SAMBAL KICAP AWESOME
1. Bahan-bahan yang diperlukan;
- dua genggam cili padi hijau
- 8 ulas bawang putih
* Tips sambal kicap lebih sedap dan tahan lama:
- Goreng seketika dua bahan di atas.
- Cili padi perlu dipatah-patahkan supaya tidak meletup semasa menggoreng.
2. Masukkan bahan tadi dalam bekas pengisar.
3. Tambahkan kicap. Cikgu suka guna kicap Jalen lemak manis. Nak guna kicap cap apa pun boleh. Kuantiti kicap menutupi paras bahan tadi.
4. Cikgu tambahkan juga dua sudu kicap pekat dan kicap cair untuk warna yang cantik.
5. Perasakan dengan sedikit gula mengikut citarasa . Tambahkan juga secubit garam jika perlu.
6. Kisar sehingga lumat. Selepas itu, tuang dalam mangkuk. Kacau sebati. Boleh tambah baik rasa jika perlu.
7. Cara simpan ibu sambal kicap supaya tahan lama:
*masukkan ke dalam bekas yang bertutup. Guna sudu kering setiap kali mengambilnya. Hidang dalam bekas berasingan.*
*kalau simpan terlalu lama dalam peti, sambal kicap akan memekat. Jadi boleh tambah air masak. Kacau sebati. Perasakan lagi sekali jika tidak memadai*
3. IBU SAMBAL BILIS
1. Bahan kisar :
- 1/2 biji bawang besar Holland
- 4 biji bawang merah Bombay saiz bola pingpong
- 1 ulas bawang putih
- segenggam ikan bilis goreng
- secubit belacan
Kisar semua bahan di atas dengan sedikit air.
2 . Panaskan minyak gorengan ikan bilis. Masukkan bahan kisar tadi. Goreng sehingga wangi dan sedikit garing. Guna api perlahan.
3. Masukkan 4 1/2 senduk cili kering kisar. Cikgu guna cili kerinting + cili kering besar. Jadilah sambal pedas-pedas manja.
4. Tumis sehingga cili masak dan pecah minyak. Kena betul-betul masak kalau nak cili tahan lama.
5. Untuk petua sambal nasi lemak yang lebih sedap, tumbukkan 1/2 genggam ikan bilis sehingga lumat.
*Rendam terlebih dahulu dalam air.*
Wajib letak. Rasa sambal lain dari biasa. Pengganti ajino juga.
6. Petua kedua, cikgu lebihkan nisse Kelantan atau gula melaka untuk warna sambal merah maroon. Tambahkan juga gula putih dan garam.
* Untuk rasa sambal yang sedap, rasa manis perlu lebih menyerlah dari rasa masin yang tipis sahaja*
7. Petua ketiga, cikgu masukkan 1 sudu besar cuka untuk sambal lebih tahan lama. Pengganti asam keping. Tambahkan juga 1/2 gelas air asam jawa. ( 1/2 gelas air + secubit asam jawa)
8. Teruskan masak sehingga sambal betul-betul sebati. Guna api perlahan sahaja dari awal menumis lagi kira-kira satu jam lebih. Masukkan segenggam lagi ikan bilis yang telah digoreng sebelum ditutup api.
9. Kalau terlampau banyak lapisan pecah minyak diatasnya, boleh dibuang sedikit. Sebenarnya untuk sambal tahan lama, lapisan minyak itu juga yang membantu.
Cara simpan dan guna:
- Selepas sambal sejuk, masukkan dalam bekas kedap udara. Asingkan ikut kuantiti yang hendak diguna. Simpan dalam peti suhu biasa jika untuk kegunaan dalam tempoh seminggu dua. Simpan frozen untuk masa yang lama.
- Sendukkan sedikit dengan sudu kering. Panaskan tanpa minyak.
- Masukkan lauk (sotong/ udang ). Biarkan ia mesra dan keluar airnya.
- Kalau sambal terlalu pekat untuk kegunaan lain, boleh tambahkan sedikit air serta penambahan garam gula ikut kesesuaian.
- Tunggu lauk masak sekejap, terus tutup api. Mudah bukan?
4. SAMBAL PENCICAH THAI DAGING BAKAR MERAUNG
1. Sediakan bahan di bawah:
- 3 tangkai cili merah
- 4 tangkai cili padi hijau
- Sehiris nipis halia
- 1 relung kecil nisse / gula melaka
- 4 sudu besar sos ikan
2. Kisar semua bahan di atas dengan sedikit air kosong.
3. Masukkan dalam mangkuk. Tambahkan perahan sebiji asam limau nipis dan sehiris lemon. Juga 2 ulas bawang putih yang diracik halus.
4. Perasakan dengan sedikit perencah secukup rasa. Kacau.
5. Akhir sekali taburkan hirisan daun ketumbar dan bijan yang sudah disangai.
5. AIR ASAM PUSAKA
1. Bakar semua bahan di bawah.
Guna pan/ boleh bakar atas bara api.
- 4 ulas bawang putih
- 1 1/2 inci belacan
- 6 biji bawang merah saiz bola ping pong
2. Sediakan lesung untuk menumbuk.
- Kupas bawang bakar.
- Sediakan beberapa tangkai cili padi
- 2 biji asam limau nipis saiz besar.
* kalau asam kecil guna 3 biji
3. Tumbuk bahan bakar tadi bersama cili sehingga lumat.
4. Perasakan dengan
- 3/4 sudu besar gula
- 3/4 sudu kecil garam
- 3/4 sudu besar perencah Hilal
* segala kuantiti terpulang kepada citarasa masing-masing.
5. Kemudian perahkan 2 biji asam limau nipis tanpa biji untuk dapatkan airnya.
6. Tambahkan 1/2 cawan air kosong. Kacau sebati. Siap!
Sesuai untuk dicicah bersama ikan tuka bakar.
6. SAMBAL HIJAU BERLADO
Bahan kisar
A:
- 4 ulas bawang merah (saiz syiling 20sen)
- 3 ulas bawang putih
- 7 ekor ikan bilis
- Secubit belacan
B:
- 5 tangkai cili hijau
Dua genggam cili padi hijau
(Untuk sambal rasa lebih kick)
Cara-cara:
- Panaskan satu senduk minyak gorengan ikan tadi. (minyak sekali guna)
- Tumis bahan kisar A sehingga wangi. Kemudian masukkan pula bahan kisar B.
- Biarkan cili masak sempurna. Masukkan sekeping asam. Barulah ditambahkan separuh kecil nisse atau gula melaka.
- Masukkan sedikit air jika perlu. Perasakan dengan garam gula atau perasa mengikut citarasa sendiri.
- Tutup api selepas semua rasa sebati dan sambal masak.
7. AIR ASAM KETAGIH
1. Sediakan bahan-bahan berikut.
- 2 biji bawang merah
- 1 biji bawang besar Holland
- 1 biji tomato
- 3 ulas bawang putih
- 2 inci belacan
Belah dua bahan di atas kecuali belacan. Bakar atas pan non stick.
2. Selepas dibakar, sediakan bahan tambahan;
- 1 biji lemon dan sebiji limau nipis. Perah jusnya. Asingkan biji. Ambil sekali sari buah.
- 3 tangkai cili padi hijau
- 3 tangkai cili padi merah
3. Masukkan semua bahan tadi dalam pengisar. Tambahkan sekali 1 1/2 gelas air asam jawa. (Segenggam besar asam jawa + 1 1/2 gelas air)
* Ikut kepekatan yang diingini*
4. Masukkan juga 1 sudu besar garam bukit dan 1/2 sudu besar gula perang. Kemudian kisar selumatnya.
5. Selepas dikisar, masukkan stok air asam ke dalam bekas kedap udara. Simpan dalam peti.
6. Cara hidangan untuk kesegaran berpanjangan.
– Ambil beberapa sudu besar stok air asam. Masukkan dalam mangkuk.Tambahkan potongan bawang merah, tomato dan cili padi. Sedia dihidangkan.
* Untuk kelainan rasa air asam versi Thai, boleh juga masukkan hirisan daun ketumbar dan bunga kantan.
Jika ingin tambahkan sekali hirisan lemon, kawan perlu terus menikmati air asam. Tak boleh biar lama. Sebab pahit kulit lemon akan merosakkan rasa air asam.
8. SAMBAL CILI KERING LAKSO LOMAK KELANTAN
1. Sediakan bahan-bahan di bawah:
- 8 tangkai lada kering besar ( direbus dan dibuang biji terlebih dahulu) cili kering ni tak pedas.
- 4 tangkai cili padi merah + 2 tangkai cili padi hijau
- 1 1/2 sudu besar gula
- 3/4 sudu besar garam ( atau masukkan sikit-sikit)
- 2 sudu besar cuka
- 1/2 cawan kecil air suam
Kisar semua bahan di atas hingga lumat dan sedia untuk dimakan.
9. SAMBAL NASI KAK VOUGE
- Segenggam kecil cili padi merah
- 5 tangkai cili kering ( dibuang biji dan direbus terlebih dahulu)
1. Kisar dua jenis cili di atas dengan:
- Dua sudu cuka
- Sedikit air kosong
- 1 sudu besar gula
- 1/2 sudu kecil garam
- 1/2 biji bawang merah, 1 ulas bawang putih, 1/4 bawang Holland (dibakar seketika)
2. Masukkan dalam mangkuk. Tambahkan hirisan bawang Holland dan bawang merah. Kacau sekata.
3. Tambahkan garam gula dan garam jika perlu disesuaikan.
4. Perah sebiji limau kasturi. Campurkan sekali kulit limau kasturi yang dihiris.
5. Sedia untuk dihidangkan.
10. SAMBAL JANTAN
Sediakan bahan-bahan di bawah:
- Segenggam cili padi merah
- 2 sudu besar gula
- 1/2 sudu kecil garam ( atau masukkan sikit-sikit)
- 2 sudu besar cuka
- 1/2 cawan kecil air suam
Kisar semua bahan di atas hingga lumat dan sedia untuk dimakan.
11. COLEK AIR LADA
1. Kisar bahan di bawah hingga hancur lumat.
- 6 tangkai cili merah
- 2 labu bawang putih jeruk saiz kecil
- Sedikit air
2. Masukkan bahan kisar tadi dalam periuk. Tambahkan 1/2 senduk cuka. Masukkan 1 gelas besar air.
3. Perasakan :
- 1 senduk gula putih
- 2 sudu besar gula Melaka / sekeping nisse
- 1/2 sudu kecil garam.
* kuantiti terpulang kepada citarasa sendiri.
4. Masak atas api perlahan. Kacau sesekali.
5. Tutup api selepas colek sudah beberapa kali mendidih dan cukup segala rasa.
6. Biarkan colek sejuk pada suhu bilik. Kemudian tambahkan 1 sudu bijan yang telah disangai.
Sesuai untuk dicicah bersama keropok.
12. COLEK BUAH
1. Sangai bahan di bawah hingga sedikit kekuningan:
- 1/2 genggam udang kering
- 1 inci belacan
* Kemudian terus kisar udang hingga halus.
* Nak pedas boleh tambah cili padi kisar.
2. Masukkan 2 senduk gula putih dan sekeping nisse/ gula melaka dalam periuk.
*Jangan buka api lagi*
3. Kemudian tambahkan 1 senduk besar kicap pekat. Tambahkan pula 1/2 cawan kecil air.
4. Boleh buka api perlahan dan kacau. Masukkan udang kering yang telah dikisar halus tadi. Juga sedikit belacan yang telah dibakar.
5. Masukkan untuk tambahan rasa iaitu 1 sudu besar penuh serbuk asam boi. Juga 3/4 sudu besar asam jawa.
6. Akhir sekali, tambahkan 1/2 sudu besar cili flakes untuk seimbangkan rasa. Kacau sebati semuanya.
7. Tambahkan bancuhan air tepung jagung. Masaklah sehingga kuah colek yang dikacau semakin memekat barulah ditutup apinya. Perasakan dengan secubit dua garam.
8. Setelah kuah colek betul-betul sejuk, taburkan dengan kacang tanah tumbuk dan bijan yang telah disangai.
Boleh follow fb cikgu untuk resepi lain yang semestinya menarik.
Selamat mencuba.
Kredit Resipi & Foto: Afy AL Habibi
Gulai Ikan Aye Merecik Rasa

Hari tu pergi kenduri kat Kelantan. Pastu makan satu lauk tu, Gulai Ikan Aye. Memang terbaik. Terus minta resepi kat mak pengantin.
Makan dengan nasi putih, sambal cili dan gulai ni ,alahai sedapnya. Makan pasti bertambah kena penangan lauk yang satu ni.
Bahan-bahan:
Ikan Aye Kurik (utaqa panggil ikan kayu putih)
Asam keping
Gula Nise/kabung
Lengkuas
Garam
– rebus malam, masak esok pagi baru sedap.
Cili kering 10 tangkai (gunting buang biji, rebus)
Lengkuas 1-2 inci
Bawang merah 5-7 ulas
Bawang putih 3 ulas
1 camca makan biji ketumbar
2 inci kunyit hidup
– kisar bahan ni.
Santan – 1 mangkuk- nak lemak boh lebih
Kacang panjang
Lada solok
Cara memasak:
1. Satukan santan, bahan kisar.
2. Masak seketika. Masa ni saya dah masukkan garam + gula nise.
3. Masukkan ikan aye kurik yang dah direbus.
4. Akhir sekali kacang panjang + lada solok.
Resepi ni tak tumis. Kalau yang tumis tu ada rempah dan selalunya makan dengan nasi dagang. Saya buat ni makan pagi sarapan.
Kredit : Muhammad Syazwan Ahmad
#mahn
Cara Buat Pau Homemade Yang Mudah, Sedap & Gebu

Pau kampung atau pau homemade ni memang sedap lebih-lebih lagi jika dimakan panas-panas. Kini, tak perlu pun beli kerana anda boleh hasilkan sendiri pau sedap pelbagai inti secara homemade. Caranya sangat mudah. Jom cuba resipi perkongsian saudari Mawar Berduri. Pasti puas hati.
RESIPI DOH PAU HOMEMADE
BAHAN-BAHAN:
- 2 ½ cawan tepung gandum
- 2 sudu makan susu pekat manis
- 5 sudu makan minyak masak
- ½ paket yis (mauripan) – campur dengan satu cawan air. Kacau dan tunggu hingga naik buih
- Inti pilihan secukupnya – inti kacang merah ( boleh beli di kedai bahan bakeri)
CARA MEMASAK:
1. Satukan tepung gandum, susu pekat manis, minyak masak dan bancuhan mauripan. Uli hingga jadi doh yang tidak melekat di tangan.
2. Rehatkan doh dalam bekas bertutup dan biarkan selama 30 minit.
3. Bila cukup masanya, ambil doh dan bahagikan kepada beberapa bahagian. Bulatkan doh dan letak inti kacang merah dengan secukupnya. Lapik dengan kertas minyak supaya tidak melekat pada periuk.
4. Susun pau tadi di dalam periuk kukusan dan kukus selama 4 minit.
5. Untuk adunan ini, boleh dapat 15 biji pau.
INFO RASA: Selain inti kacang merah, anda juga boleh guna inti coklat, kaya, kastad, kentang, daging, sambal bilis atau sardin. Terpulang pada cita rasa masing-masing.
Kredit resipi & foto: Mawar Berduri
JANGAN LUPA CUBA RESIPI NI JUGA YA