Ikan banyak kat peti sejuk tu, masih cari idea nak masak apa esok. Hidangan ikan berkuah satu pilihan terbaik dan sangat enak untuk dimasak.

Ni ada 10 aneka resipi lauk pauk tradisional berasaskan ikan. Tak kisahlah ikan kembung, tenggiri, ikan merah atau apa jenis ikan sekalipun janji ikannya segar, barulah manis dan lagi lazat lautnya. Jom masak untuk juadah tengah hari.

1. GULAI IKAN MERAH PETAI

BAHAN-BAHAN:

  • 3 keping isi ikan merah |bersihkan
  • 300ml santan
  • 50ml santan pekat
  • 100gm petai
  • 30gm bawang merah |kisar
  • 5gm kunyit hidup |kisar
  • 15gm cili padi |kisar
  • 5gm garam

CARA MEMASAK:
1. Masukkan santan bersama bahan kisar. Kemudian masukkan isi ikan tadi. Biarkan seketika sambil dikacau perlahan.
2. Selepas tiga minit, terbalikkan isi ikan dan masukkan petai. Kacau lagi.
3. Akhir sekali masukkan santan pekat dan perasakan dengan garam secukup rasa. Biarkan selama dua minit dan tutup api.
4. Angkat dan sedia dihidangkan.

Saiz hidangan: 2-3 orang
Waktu memasak: 30 minit
Jenis hidangan : Melayu
Keistimewaan : Rasa lemak santan dan aroma petai
Jenis masakan : Lauk pauk
Cara memasak : Rebus dan reneh
Anggaran kos: RM15

Info chef: Perlu sentiasa dikacau agar santan tidak pecah minyak.

2. SINGGANG PEDAS IKAN KEMBUNG

BAHAN-BAHAN:

  • 2 ekor ikan kembung |bersihkan
  • 30gm lengkuas |dihiris
  • 10gm halia |hiris
  • 1 batang serai |hiris
  • 2 biji bawang besar |belah enam
  • 15gm cili padi
  • 10gm kunyit hidup | dihiris
  • 200ml air
  • 10gm asam keping

CARA MEMASAK:
1. Masukkan kesemua bahan ke dalam periuk kecuali ikan. Biarkan kuah mereneh.
2. Perlahankan api dan masukkan ikan. Biarkan selama beberapa minit, bergantung pada saiz ikan tersebut.
3. Tutup api dan angkat. Sedia untuk dihidangkan.

Saiz hidangan: 2-3 orang
Waktu memasak: 30 minit
Jenis hidangan : Melayu
Keistimewaan : Rasa masam yang membuka selera
Jenis masakan : Lauk pauk
Cara memasak : Rebus dan reneh
Anggaran kos: RM10

Info chef: Boleh masukkan cili padi ketuk untuk sedikit rasa pedas.

3. IKAN KEMBUNG REBUS AIR ASAM 

BAHAN-BAHAN:

  • 3 ekor ikan kembung |bersihkan
  • Air secukupnya

BAHAN UNTUK AIR ASAM:

  • 30gm cili padi
  • 10gm cili besar merah
  • 20gm perahan limau kasturi
  • 100ml air asam jawa
  • 1 biji buah tomato |potong dadu
  • 1 biji bawang besar |potong dadu
  • 5gm garam
  • 5gm serbuk perasa (pilihan)

CARA MEMASAK:
1. Terlebih dahulu, kukus ikan kembung lebih kurang 10 minit. Ketepikan.
2. Untuk membuat kuah air asam; Kisar cili bersama air asam jawa. Masukkan pula perahan air limau kasturi, garam dan bahan perasa secukupnya.
3. Tuang ke dalam mangkuk dan masukkan pula hirisan bawang besar dan tomato.
4. Letak ikan yang siap dikukus di dalam pinggan dan tuang kuah air asam di atasnya ketika menghidang.
5. Boleh hias dengan hirisan limau kasturi jika mahu.

Saiz hidangan: 3-4 orang
Waktu memasak: 30 minit
Jenis hidangan : Melayu
Keistimewaan : Rasa masam dan pedas yang membuka selera
Jenis masakan : Lauk pauk
Cara memasak : Rebus dan reneh
Anggaran kos: RM10

Info chef: Boleh juga gantikan limau kasturi dengan limau nipis jika suka.

4. ASAM PEDAS IKAN TONGKOL

BAHAN-BAHAN:

  • 2-3 keping isi ikan |bersihkan
  • 100gm cili kering |kisar
  • 50gm bawang besar |kisar
  • 5gm belacan
  • 200ml air
  • 50ml minyak masak
  • 1 tangkai daun kesum
  • 1 batang bunga kantan |racik kasar
  • 5gm garam
  • 3gm serbuk perasa
  • 20ml air asam jawa
  • 1 biji tomato |belah empat

CARA MEMASAK:
1. Panaskan minyak di dalam kuali, tumis bahan kisar dan belacan hingga terbit bau dan memekat.
2. Masukkan air dan air asam jawa. Kemudian masukkan daun kesum dan bunga kantan.
3. Perasakan dengan garam dan serbuk perasa secukup rasa. Biarkan ia mendidih.
4. Setelah itu masukkan isi ikan dan biarkan selama tiga minit sambil dikacau perlahan.
5. Masukkan tomato dan tutup api.
6. Angkat dan sedia dihidangkan.

Saiz hidangan: 3-4 orang
Waktu memasak: 30 minit
Jenis hidangan : Melayu
Keistimewaan : Aroma bunga kantan dan daun kesum yang wangi
Jenis masakan : Lauk pauk
Cara memasak : Rebus dan reneh
Anggaran kos: RM20

Info chef: Tidak perlu masukkan belacan jika tidak sukakan bau dan rasanya atau ada alahan.

5. SIAKAP STIM CENDAWAN

BAHAN-BAHAN:

  • 1 ekor ikan siakap |bersihkan
  • 100gm cendawan tiram |carik kasar
  • 100gm lada benggala |potong
  • 40gm bawang besar |belah enam
  • 5 ulas bawang putih |belah dua
  • 2 inci halia |hiris halus
  • 50ml sos ikan
  • 5gm serbuk perasa

BAHAN SOS:

  • 100ml kicap cair
  • 10gm cili padi |hiris halus
  • 5gm air perahan limau kasturi

CARA MEMASAK:
1. Letakkan ikan ke dalam loyang/aluminium foil. Taburkan kesemua bahan di atas ikan. Balut ikan tersebut.
2. Kemudian kukus ikan tadi selama 15 minit atau bergantung pada saiz ikan.
3. Sementara itu, untuk membuat sos; Satukan kedua bahan sos dan tuang ke atas ikan ketika menghidang.

Saiz hidangan: 3-4 orang
Waktu memasak: 40 minit
Jenis hidangan : Melayu
Keistimewaan : Rasa ikan yang segar
Jenis masakan : Lauk pauk
Cara memasak : Kukus
Anggaran kos: RM20

Info chef: Boleh tambah hirisan cili padi jika mahu pedas.

6. MASAK LEMAK SARDIN NANAS

BAHAN-BAHAN:

  • 1 tin besar sardin makarel |buang sosnya
  • 200ml santan pekat
  • 15gm cili padi
  • 1 batang serai |titik
  • 100gm nanas |potong
  • 5gm kunyit hidup |kisar
  • Garam secukupnya

CARA MEMASAK:
1. Masukkan santan ke dalam periuk. Setelah itu masukkan kesemua bahan kisar. Kacau rata dan masak di atas api yang perlahan.
2. Masukkan hirisan nanas dan serai. Biar seketika dan kemudian barulah masukkan ikan sardin. Perasakan dengan garam secukupnya.
3. Kacau perlahan selama dua minit dan biar ia mereneh. Tutup api.
4. Angkat dan sedia dihidangkan.

Saiz hidangan: 3-4 orang
Waktu memasak: 30 minit
Jenis hidangan : Melayu
Keistimewaan : Rasa masam nanas dan lemak santan serasi
Jenis masakan : Lauk pauk
Cara memasak : Rebus dan reneh
Anggaran kos: RM113

Info chef: Gunakan sardin makarel kerana ia lebih keras dan tidak mudah hancur ketika dimasak.

7. GULAI KUNING IKAN TONGKOL ALA KELANTAN

BAHAN-BAHAN:

  • 3 keping isi ikan tongkol |rebus dahulu bersama asam keping

BAHAN UNTUK GULAI:

  • 300ml santan pekat
  • 10gm cili padi kisar
  • 20gm bawang besar kisar
  • 5gm kunyit hidup |tumbuk halus
  • 7 biji cili padi
  • Garam secukupnya

CARA MEMASAK:
1. Masukkan bahan kisar ke dalam periuk bersama kunyit hidup dan 200ml santan. Kacau hingga mendidih.
2. Masukkan ikan dan perasakan garam secukup rasa. Biar seketika.
3. Masukkan baki santan tadi dan kemudian masukkan cili padi dan kacau kira-kira 2 minit. Tutup api.
4. Angkat dan sedia dihidangkan.

Saiz hidangan: 3-5 orang
Waktu memasak: 30 minit
Jenis hidangan : Melayu
Keistimewaan : Tidak muak
Jenis masakan : Lauk pauk
Cara memasak : Rebus dan reneh
Anggaran kos: RM14

Info chef: Jangan masak terlalu lama kerana takut santan pecah minyak.

8. IKAN SIAKAP TUMIS SERAI

BAHAN-BAHAN:

  • 1 ekor ikan siakap |bersihkan
  • Sedikit serbuk kunyit
  • Sedikit garam

BAHAN TUMISAN:

  • 1 biji bawang besar |belah enam
  • 10 biji cili padi |belah dua
  • 3 ulas bawang putih |belah dua
  • 1 batang serai |hiris kasar
  • 1 biji tomato |belah enam
  • 200ml air asam jawa
  • 5gm serbuk perasa
  • Minyak untuk menumis

CARA MEMASAK:
1. Ikan yang dibersihkan disapu sedikit garam dan kunyit. Panaskan minyak di dalam kuali dan goreng hingga garing. Angkat dan ketepikan.
2. Menggunakan minyak yang sama, tumis bawang besar, cili padi dan bawang putih hingga terbit bau wangi.
3. Masukkan pula hirisan serai bersama air asam jawa. Perasakan dengan garam secukup rasa. Biarkan mereneh. Masukkan tomato dan tutup api.
4. Tuang sos ke atas ikan yang telah digoreng tadi.
5. Sedia dihidangkan.

Saiz hidangan: 3-4 orang
Waktu memasak: 30 minit
Jenis hidangan : Melayu
Keistimewaan : Rasa dan aroma serai yang wangikan masakan
Jenis masakan : Lauk pauk
Cara memasak : Goreng dan reneh
Anggaran kos: RM20

Info chef: Enak dimakan bersama nasi putih.

9. IKAN KELI SALAI MASAK KENCUR

BAHAN-BAHAN:

  • 3 ekor ikan keli |bersihkan dan kelar

BAHAN TUMIS:

  • 10gm bawang besar kisar
  • 5gm ubi kencur dikisar halus
  • 10gm cili padi dikisar
  • 200ml santan
  • 15gm daun kencur |hiris halus
  • Garam secukupnya

CARA MEMASAK:
1. Ikan keli disalai biasa di atas dapur menggunakan api perlahan. Angkat dan ketepikan.
2. Satukan kesemua bahan kisar termasuk hirisan bunga kencur bersama santan di dalam periuk. Masak ia sehingga pekat sambil dikacau perlahan, menggunakan api yang kecil.
3. Apabila kuah mula pekat, tutup api.
4. Tuangkan kuah di atas ikan keli ketika menghidang.

Saiz hidangan: 3-5 orang
Waktu memasak: 30 minit
Jenis hidangan : Melayu
Keistimewaan : Bau dan rasa kencur yang unik
Jenis masakan : Lauk pauk
Cara memasak : Panggang, rebus dan reneh
Anggaran kos: RM13

Info chef: Cuci ikan keli dengan limau nipis untuk menghilangkan bau hanyir.

10. FILET IKAN TIGA RASA ALA CINA

BAHAN-BAHAN:

  • 400gm isi ikan siakap |cuci bersih
  • Sedikit garam
  • Sedikit kunyit
  • Sedikit tepung gandum

BAHAN TUMIS:

  • 10gm cili kering kisar
  • 40gm sos cili
  • 15gm gula
  • 20gm timun dipotong dadu
  • 20gm nanas dipotong dadu
  • 1 biji bawang besar dipotong dadu
  • Garam secukupnya
  • Minyak masak secukupnya

CARA MEMASAK:
1. Isi ikan dilumur dengan sedikit garam, serbuk kunyit dan tepung gandum. Gaul sebati dan goreng isi ikan menggunakan api sederhana. Angkat, tos dan ketepikan.
2. Untuk membuat sos; panaskan minyak di dalam kuali dan masukkan bahan yang telah dikisar. Tumis sehingga sedikit garing.
3. Masukkan pula hirisan nanas, timun dan bawang. Gaul dan kemudian masukkan gula dan garam secukup rasa. Kacau sehingga pecah minyak.
4. Sekiranya kuah terlalu pekat, boleh tambah sedikit air dan biar seketika.
5. Tutup api dan curahkan sos ke atas isi ikan ketika menghidang.

Saiz hidangan: 3-4 orang
Waktu memasak: 30 minit
Jenis hidangan : Melayu
Keistimewaan : Rasa masam dan pedas yang membuka selera
Jenis masakan : Lauk pauk
Cara memasak : Goreng dan tumis
Anggaran kos: RM17

Info chef; Boleh gantikan gula dengan madu.

Resipi: Terima kasih Chef Nor Azizah Razali, Shah Alam Selangor.