Teknik goreng ‘pan seared’ sering digunakan bila anda ingin menggoreng ikan salmon. ‘Pan seared’ bermakna anda menggoreng di kuali yang panas dengan minyak yang sedikit dan masa yang singkat. Goreng ikan salmon ni memang berbeza daripada ikan biasa. Tetapi bagaimana nak kekalkan kepingan isi salmon tu biar berjus, lembut dan kulitnya garing? Ini caranya:
3 CARA UNTUK DAPATKAN KULIT YANG SUPER GARING
Jika filet ikan salmon digoreng ikut teknik ‘pan-seared’ yang betul kulitnya akan menjadi garing, rapuh dan berperisa. Ikuti langkah-langkah ini pasti filet salmon anda lebih lazat dan enak.
1. FILET SALMON PERLU DIBIARKAN KE SUHU BILIK
Ads
Keluarkan dari peti sejuk dan biarkan salmon 15 – 20 minit sebelum mula memasak. Ia bertujuan supaya filet salmon tidak sejuk dan berada dalam suhu bilik.
Foto: Christine Han (https://www.apartmenttherapy.com/authors/christinehan)
2. LAP KERING FILET SALMON
Gunakan tuala atau tisu untuk lap (tepuk-tepuk) filet hingga kering. Jika filet berada dalam keadaan basah atau lembap, ia akan melekat di kuali. Sudah tentulah kulitnya tidak garing dan masak dengan tidak sempurna.
Foto: Christine Han (https://www.apartmenttherapy.com/authors/christinehan)
3. PASTIKAN KUALI PANAS
Pastikan kuali betul-betul panas. Nyalakan api dalam nyalaan sederhana kepada sederhana-besar. Selepas minyak dituang, biarkan ia pijar dan baru masukkan salmon.
Foto: Christine Han (https://www.apartmenttherapy.com/authors/christinehan)
CARA GORENG SALMON
1. Mulakan masak dengan bahagian berkulit di bawah.
Ads
Apabila mula menggoreng, pastikan bahagian kulit diletakkan di sebelah bawah dan isi di atas. Kulitnya boleh menahan permukaan panas kuali tanpa menjejaskan tekstur isi serta melindungi salmon dari terlebih masak.
Foto: Christine Han (https://www.apartmenttherapy.com/authors/christinehan)
2. Bersabar lah ya…
Ini mungkin perkara yang sukar dilakukan. Apabila ikan mencecah kuali, tindakan terbaik yang boleh anda lakukan ialah bersabar menunggu ia masak. Percayalah, ikan itu akan masak, jangan usik atau cuba sentuh isinya semasa ia dalam proses masak. Tunggu filet bertukar warna dan masak, kemudian baru dibalikkan.
Foto: Christine Han (https://www.apartmenttherapy.com/authors/christinehan)
Ads
3. Lihat perubahan filet & jadikan ia petunjuk.
Setelah beberapa minit dimasak, warna filet salmon akan perlahan-lahan berubah. Bermula dari bawah (kulit) ke lapisan isi atas, anda akan nampak isinya akan bertukar dari warna oren terang ke warna yang lebih pucat. Perubahan ini menunjukkan progres bagaimana ikan hampir masak. Apabila warnanya telah bertukar sehingga tiga suku dari bahagian filet ( daripada lapisan bawah ke atas) itu maknanya filet itu sudah sedia untuk dibalikkan (isi ke bawah pula). Masa memasaknya lebih pendek,berbanding proses memasak di bahagian kulit.
Foto: Christine Han (https://www.apartmenttherapy.com/authors/christinehan)
Jika ikut peraturan ini filet salmon anda pasti lembut, tidak terlebih masak atau menjadi keras.Paling lazat, kulitnya yang super garing. – FARIDAH TALIB
Foto: Christine Han (https://www.apartmenttherapy.com/authors/christinehan)
Nama saintifik bagi Cendawan Shiitake adalah Lentinula edodes atau juga dikenali sebagai cendawan Hioko berasal dari Asia Timur yang terkenal di seluruh dunia dengan nama aslinya dalam bahasa Jepun. Shiitake banyak ditanamkan di China, Korea dan Jepun serta sering dijumpai di kawasan liar di pergunungan di Asia Tenggara.
Cendawan Shiitake juga banyak digunakan di dalam masakan Cina. Boleh didapati sama ada dalam bentuk segar mahu pun yang telah dikeringkan. Namun di pasaran, cendawan yang telah dikeringkan lebih mudah didapati. Antara khasiatnya seperti sumber protein dan asid amino, mengandungi pelbagai vitamin dan mineral seperti vitamin A, B, B1, B2 dan niasin. Ia juga dikatakan membantu menurunkan paras kolesterol dalam darah.
Di Malaysia, cendawan ini boleh diperolehi dengan mudah di pasaraya sama ada dalam bentuk segar ataupun kering. Cendawan berbentuk kering lebih mudah untuk disimpan dan jangka hayatnya lebih lama. Malah, ia juga enak dimasak dengan pelbagai gaya hidangan seperti sup, kacau goreng dan sebagainya. Untuk menyediakannya, anda hanya perlu bersihkan dan rendam seketika di dalam air panas. Kemudian masaklah mengikut resipi anda. Mudah kan?
foto: umamimart.com
Nak cuba masak cendawan ni? Boleh cuba resipi di bawah.
SUP AYAM BERSAMA CENDAWAN SHIITAKE
BAHAN-BAHAN:
800gram isi ayam } dipotong kecil memanjang
8 biji cendawan Shiitake } rendam semalam hingga kembang.
1 sudu teh serbuk lada hitam
1 kiub ayam
1sudu makan perahan limau nipis
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya
Sedikit minyak untuk menumis
Sedikit daun bawang untuk hiasan
BAHAN TUMIS:
1 batang kulit kayu manis
3 ulas bawang putih } ditumbuk
3 biji bawang merah } ditumbuk
1.25cm halia } diketuk atau boleh dihiris nipis
1 bunjut sup tulang
CARA-CARA MEMASAK:
Terlebih dahulu, cendawan Shiitake yang telah direndam sehingga kembang dibelah dua atau empat. Ketepikan.
Kemudian, dalam sebuah periuk, panaskan minyak dan tumis kulit kayu manis,sup bunjut, bawang putih, bawang merah dan halia yang telah ditumbuk halus. Kacau sehingga naik bau.
Setelah itu, masukkan potongan isi ayam dan kacau supaya ayam sebati dengan tumisan. Tutup periuk dan biarkan ayam mereneh di atas dapur selama 10 minit dengan api yang perlahan.
Kemudian baru dimasukkan air secukupnya, kiub ayam, serbuk lada hitam, dan garam serta gula secukup rasa. Masukkan cendawan Shiitake dan biar sup mendidih dan masak sehingga ayam empuk.
Masukkan perahan air limau nipis dan kacau beberapa saat dan kemudian bolehlah dipadamkan api.
Semasa menghidang bolehlah ditaburkan dengan daun bawang.
Info chef: Sedap dimakan ketika masih panas dengan nasi putih. Boleh tambah sayuran lain seperti lobak merah dan kentang jika suka. Cili padi boleh diketuk-ketuk jika anda gemarkan sup lebih pedas.
Buat adik-adik lepasan PT 3 Kolej Vokasional beri peluang kemahiran tinggi bagi mereka yang berminat dengan kulinari. Sistem pengajiannya 70 peratus kemahiran dan cuma 30 peratus sahaja akademik. Kolej Vokasional Gerik, Perak adalah antara kolej vokasional yang membuka peluang ini.
Ditubuhkan pada tahun 2000 dahulunya dikenali sebagai Sekolah Menengah Teknik Gerik . Pada 2014 ditransformasikan menjadi Kolej Vokasional Gerik. Pengarah Kolej ialah Hamid Jumhari. Waktu pembelajaran pula dari pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang.
Jabatan Hospitaliti Kolej Vokasional Gerik diwujudkan pada tahun 2105 dengan penawaran dua program iaitu Seni Kulinari dan Bakeri & Pastri. Pelajar pengambilan pertama adalah seramai 30 orang bagi setiap program. Jumlah terkini bagi program Seni Kulinari lebih 80 orang dan program Bakeri & Pasti lebih 80 juga dengan 12 pensyarah.
Jangkamasa kursusnya adalah selama empat tahun lima bulan (dua tahun-Sijil Vokasional Malaysia) dan Diploma Vokasional Malaysia (dua tahun-Diploma Kemahiran Malaysia dan lima bulan Latihan Industri ‘on job trainning’.
Cara pembelajaran adalah teori dan praktikal mengikut Kurikulum Standard Kolej Vokasional. Di kolej ini juga disediakan kemudahan bengkel yang lengkap.Kelebihan memilih kursus di sini adalah pembelajarannya sepenuhnya ditanggung oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.
Suasana pembelajarannya juga adalah kondusif dan menekankan kemahiran bagi melahirkan pekerja mahir dalam memenuhi permintaan yang tinggi daripada pihak industri. Paling ‘best’ Kolej Vokasional ini juga sentiasa mengadakan kursus-kursus yang membabitkan chef dan penggiat industri.
Pelajar juga diberi peluang menyertai pameran untuk mempromosikan program dan memberi pendedahan kepada pelajar menyertai pertandingan.Pelajar juga terlibat dalam kerja kemasyarakatan bagi meningkatkan keyakinan diri dan menggunakan kemahiran yang dipelajari.
Maklumat lanjut layari www.kvgerik.com
Alamat : KM 4, Jalan Kuala Rul, 33300, Gerik, Perak
Walaupun namanya tidak gah seperti chef selebriti yang lain, namun anak muda yang hanya mahu dipanggil Fendi Dapur Bujang ini sebenarnya begitu popular di kalangan mereka yang menonton di Youtube. Pengacara program masakan Dapur Bujang, Dapur Western dan Selera Bajet ini ternyata seorang anak muda yang cukup sederhana, humor, bersahaja dan sangat kreatif orangnya.
Kini Fendi mula sibuk menyediakan beberapa masakan untuk buku resipinya. Dalam kesibukan itu, Fendi sempat mencuri masa untuk berkongsi pengalaman sebagai tukang masak secara serius sehingga berjaya menjadi tukang masak. Kini layak digelar chef kerana beliau sudah menghasilkan banyak resipi sendiri hasil dari pengalamannya sebagai tukang masak.
“Saya hanyalah seorang tukang masak, bukan seorang chef. Jadi saya lebih selesa dipanggil Fendi sahaja. Cuma saya suka masak dan mencuba resipi-resipi baru. Lama kelamaan, melalui pengalaman, pemerhatian, penyelidikan, bacaan dan menoton program-progaram masakan dalam dan luar negara melalui Youtube, menjadikan saya yakin untuk menghasilkan resipi sendiri. Sekarang tak sangka memasak sudah menjadi kerjaya saya, “ ujar Fendi
Menceritakan pembabitan dalam dunia masakan secara serius, Fendi yang pernah menyertai Maharaja Lawak tidak menyangka dunia masakan telah membuka lembaran baru sebagai kerjaya yang menyeronokkan.
“Semuanya bermula, bila saya gagal menyertai Masterchef, kemudian ada seorang produser menawarkan saya untuk jadi hos sebuah program masakan dengan konsep bajet bawah RM10 untuk dua resipi. Tapi selepas berbincang dan kebetulan saya pulak bujang, jadi kami namakan program tersebut sebagai Dapur Bujang. Kalau tidak silap saya pada tahun 2013.
Fendi yang kini telah menghasilkan lebih dari 150 resipi di Youtube.
Bangga Bujang Ke Dapur
Sepanjang bergelar tukang masak secara aktif, sesuatu yang membangga dan menyentuh perasaannya, bila ada orang yang berjumpa dengannya mengatakannya mereka sudah cuba resipinya di Dapur Bujang dan ada juga yang terkejut anak bujangnya boleh memasak dengan dek kerana menoton Dapur Bujang.
“Saya seronok mendengar maklum balas positif sedemikian, sekurang-kurangnya selain boleh kongsi resipi dengan rakan-rakan bujang. Malah ada juga yang sudah rajin ke dapur memasak sendiri. Konsep bajet, bahan murah, senang dapat, mudah masak dan sedap hasilnya sangat sesuai dengan orang bujang sekarang yang semuanya nak mudah dan cepat.
Tanpa disangka Fendi yang mula belajar memasak seawal usia 10 tahun, apabila beliau tidak ada pilihan lain selain masak sendiri bila balik dari sekolah.
“Mak saya pesan, dalam peti ais ada macam-macam, ada ikan, udang, ayam, daging dan sayur, balik sekolah masak. Kalau mak masak nanti sejuk, tak sedap bila nak makan. Mahu tak mahu saya terpaksa masak untuk mengisi perut saya dan dua orang lagi adik.
“Setiap hari bila balik dari sekolah saya terpaksa mengadap peti ais, tengok apa yang ada di dalamnya. Kemudian ambil dan masak ikut cara sendiri, sedap atau tidak soal kedua. Kebanyakan menu saya adalah yang ringkas dan mudah dimasak. Kalau nak tunggu mak balik, memang lambat, “ cerita Fendi mengakui pengalaman itu adalah guru terbaiknya dalam bidang masakan.
Impian Dan Harapan
Selepas mengambil masa lebih dari tiga tahun mencipta nama dalam dunia masakan, kini Fendi yang berkebolehan sebagai pengacara majlis, hos program TV dan juga belakon. Kini mahu lebih fokus kepada bidang masakan.
Anak mudah yang petah bercakap ini juga kelihatannya cekap di dapur untuk menyediakan dua resipi yang sangat sempoi katanya. Sambil berseloroh, dia memberitahu dua resipi yang dikongsikan dengan RASA bukan hanya sesuai untuk si bujang tetapi juga seisi keluarga.
AYAM BAKAR SOS KICAP
BAHAN-BAHAN:
2 belah paha ayam | bersih dan toskan
1 sudu makan serbuk lada hitam
Sedikit garam
BAHAN SOS:
1 sudu makan kicap manis
1 sudu makan kicap masin
1 biji bawang besar | dihiris bulat
1 keping gula Melaka
1 biji limau nipis
1 sudu makan serbuk lada hitam
Garam jika perlu
Minyak masak | untuk menumis
1/2cawan air
CARA MEMASAK:
1.Gaulkan ayam dengan sedikit garam dan serbuk lada hitam. Perapkan selama 30 minit.
2.Sementara itu, panaskan sedikit minyak, tumiskan bawang besar hingga layu.
3.Kemudian masukkan air, gula Melaka, kacau sehingga gula cair.
4.Seterusnya masukkan kicap manis dan masin. Biarkan sos mereneh seketika dan ketepikan.
5.Bakar ayam di atas pemanggang atau di dalam ketuhar hingga masak.
6.Setelah ayam masak, tuangkan sos kicap di atasnya.
7.Ayam Panggang Sos Kicap sedia dihidangkan,
INFO CHEF:
Resipi ini sesuai untuk ibu dalam pantang.
…..
AYAM MERAH BUJANG
BAHAN-BAHAN:
1kg ayam | potong dan bersihkan
1 biji bawang besar | hiris
2 ulas bawang putih | ketuk
2 batang serai | hiris
2 sudu makan pes cili kering
2 sudu makan sos tomato
2 sudu makan sos cili
Garam, gula secukup rasa
Minyak masak secukupnya
Serbuk kunyit secukupnya
1 cawan air
CARA MEMASAK:
1.Gaulkan ayam dengan serbuk kunyit bersama sedikit garam.
2.Sementara itu, panaskan minyak dan goreng ayam sehingga tiga perempat masak. Angkat dan ketepikan.
3.Keluarkan minyak, tinggalkan sedikit untuk menumis, tumis hirisan bawang besar, bawang putih dan serai hingga naik bau.
4.Seterusnya masukkan cili kisar, sos cili, sos tomato, kacau dan masukkan sedikit air.
5.Akhir sekali, masukkan ayam, garam dan guka secukupnya, kacau rata. Kecilkan api dan biarkan mereneh seketika sebelum diangkat dan dihidangkan.
INFO CHEF:
Jika suka boleh masukkan hirisan kentang yang telah digoreng.
Resipi ayam masak kicap kenduri ini boleh dicuba jika teringin menikmati ayam kicap yang sedap. Paling enak dimakan dengan nasi panas dan segelas sirap...