Selain Penyejuk Badan, Barli Bantu Rendahkan Kolestrol.

Share

Barli atau nama botaninya Hordeum Vulgarie dikatakan bijirin pertama yang telah ditanam di timur tengah kira-kira 9000 tahun dan mungkin juga merupakan bijirin terawal dan paling penting pada ketika itu. Isi rong atau bijirin barli boleh dijadikan tepung, emping dan bran. Batangnya boleh dijadikan kertas dan bahan pembinaan manakala keseluruhan tanaman boleh dijadikan sebagai makanan haiwan ternakan.

Barli adalah gandum yang kaya fiber, vitamin, berprotein tinggi dan mempunyai beberapa mineral penting.

Barli berkhasiat sebagai penyejuk badan. Dikatakan jus barli mengandungi 11 kali kalsium, 5 kali zat besi, 7 kali vitamin C & 80 mg vitamin B12 daripada 100gm barli.

Barli yang mengandungi serat juga berkesan merendahkan kolesterol dalam darah. Serat yang tidak mudah larut adalah penting bagi memastikan usus berfungsi dengan sihat sekali gus berfungsi meredakan sembelit dan baik untuk mengawal nafsu makan.

Barli juga mengandungi tokol yang tinggi, iaitu minyak yang bertindak sebagai antioksida semula jadi. Antioksida ini membantu meneutralkan radikal bebas dan mengurangkan risiko penyakit barah serta jantung.

Selain dibuat minuman, terdapat pelbagai hidangan yang boleh dimasak dengan menggunakan barli. Apa kata anda cuba dua resipi yang RASA kongsikan ini ye.

 

  

SUP BEBOLA DAGING BARLI TIMUN

BAHAN-BAHAN:

  • 2-3 batang timun jeruk
  • 150gm barli
  • 200gm daging lembu cincang
  • 1biji telur
  • 1-2  sudu teh pes bawang putih
  • 3 biji bawang merah | hiris nipis
  • 2-3 biji ubi kentang | potong dadu
  • 2.5 liter air rebusan / stok daging
  • Sedikit daun dill
  • Minyak masak secukupnya
  • Garam secukupnya

 

CARA MEMASAK:

  1. Basuh barli dan rendam semalam. Ketepikan.
  2. Masukkan air rebusan/ stok daging di dalam periuk dan apabila menggelegak, masukkan barli. Masak lebih kurang 20 minit. Ketepikan.
  3. Untuk menyediakan bebola daging; satukan daging cincang, telur, pes bawang putih dan sedikit garam. Gaul sekata dan bentukkan menjadi bebola daging. Ketepikan.
  4. Panaskan sedikit minyak di dalam kuali dan tumis bawang merah hingga terbit wangi dan tuang ke dalam air rebusan/stok tadi. Gaul sekata.
  5. Masukkan ubi kentang dan bebola daging dan masak lagi kira-kira 15 minit atau sehingga bebola daging dan ubi kentang masak sepenuhnya.
  6. Akhir sekali, masukkan hirisan timun jeruk, daun dill dan masak beberapa minit lagi. Perasakan dengan garam secukup rasa. Gaul sekata.
  7. Angkat dan sedia dinikmati ketika panas.

Info chef: Boleh tambah sedikit krim masam jika suka.

 

BAHAN-BAHAN:

  • 1⁄2 cawan barli
  • 2 sudu teh minyak Canola
  • 1 biji bawang besar saiz sederhana | cincang
  • 1 biji cili benggala | buang biji dan cincang
  • 3-4 biji cendawan shiittake | rendam dan hiris nipis
  • 1 batang lobak merah | cincang
  • ¾ sudu teh halia cincang
  • 1⁄2 cawan jus oren
  • 1sudu makan sos teriyaki
  • Garam dan serbuk lada hitam secukupnya
  • Air secukupnya
  • Daun dill untuk hiasan

 

CARA MEMASAK:

  1. Masukkan kira-kira 2 cawan air ke dalam periuk. Masak hingga mendidih.
  2. Masukkan barli dan bila mula mendidih lagi, kecilkan api, tutup periuk dan biar ia mereneh 30-40 minit atau sehingga barli lembut. Ketepikan.
  3. Panaskan minyak di dalam kuali dan tumis bawang merah dan cili Benggala hingga terbit wangi.
  4. Masukkan hirisan cendawan dan lobak merah. Gaul sebati.
  5. Setelah itu masukkan halia cincang dan tumis sekejap.
  6. Tuang barli yang telah siap dimasak ke dalam kuali tersebut, diikuti dengan jus oren dan sos teriyaki. Perasakan dengan garam dan serbuk lada hitam secukup rasa. Gaul sebati.
  7. Angkat dan hiaskan dengan daun dill sebelum dihidangkan. Sedia dinikmati ketika panas.

 

Info chef: Boleh gunakan sos soya menggantikan sos teriyaki.

 

 

IKLAN