Resipi Turun Temurun, Begini Cara Buat Kuah Kacang Sedap

Share

Kuah kacang enak dimakan bersama nasi impit, sate, ataupun cucur udang. Ada juga yang dimasukkan ke dalam lontong. Hidangan pada Hari Raya juga seakan-akan tidak lengkap tanpa adanya kuah kacang.

Kali ini, resipi kuah kacang turun temurun yang telah puluhan tahun diwarisi daripada ibu kepada Yatt Ismail ini kini dikongsikan pula kepada kita. Menurutnya, resipi ini ibunya peroleh daripada seorang Chef di hotel dan pernah membuat rancangan memasak di kaca tv suatu ketika dahulu.

Jom cuba resipi kuah kacang yang terlajak sedap ini.

BAHAN-BAHAN:

1kg kacang tanah (disangai atau dipanggang dalam oven)

Segenggam cili kering kurang pedas – Boleh beli online di sini

2 biji bawang besar medium (dimayang)

1/2  inci halia

1 inci lengkuas

6 batang serai 

2 ulas bawang putih – Boleh beli online di sini

2 mug santan pekat

5 kerek manisan

3 sudu besar gula – Boleh beli online di sini

Sedikit garam

2 liter air

CARA MEMBUAT:

Panggang atau sangai kacang tanah dalam oven suhu 150C selama 25 minit. Sesekali buka oven dan kacau.

Dah siap panggang, buang kulitnya. Ramas-ramas kacang dan tampi untuk buang kulit. Kuah kacang lebih sedap tanpa kulit kacang.

Hiris bawang nipis-nipis.

Panaskan minyak dan tumis.

Kisar lengkuas, halia, serai dan bawang putih bersama dengan cili kering.

Cili kering dipotong-potong dan dibuang bijinya.

Kisar hingga lumat.

Goreng bawang sampai kuning dan garing. Hati-hati jangan sampai hangus.

Bawang dah garing, masukkan bahan kisar tadi.

Kisar kacang panggang dengan air. Kacang jangan terlalu hancur. Kiranya 50 peratus hancur.

Masukkan ke dalam bahan tumisan. Tambah baki air. Masak dalam 20 minit sampai kacang dah lembut.

Masukkan manisan kerek, gula dan garam. Garam letak sedikit dulu ye. Nanti boleh rasa.

Selepas 20, minit masukkan santan pekat. Kalau kuah terlalu pekat, tambahkan lagi air dan masak lagi selama 30 minit.

Bila dah naik minyak macam ni, kuah dah cukup masak. Boleh rasa dulu. Kuah ni mesti ada rasa lemak manis.

Dah siap. Selamat mencuba.

Kredit: Yatt Ismail

[ Sertai Telegram Geng Rasa Share Resipi ]

Dapatkan lebih banyak resipi di laman web RASA:

Tonton lebih banyak video masakan mudah & sedap di Dailymotion @Rasa & Youtube @Majalah Rasa Official

 

IKLAN