Resipi Ikan Siakap Stim Ala Thai Confirm Sedap & ‘Juicy’

Share

Sedapnya Ikan Siakap Stim ala Thai ni. Bagi yang kurang berselera makan atau tak tahu nak masak apa, menu yang dikongsi oleh saudari Zurina Zulkefli ni antara yang mudah, sedap dan membuka selera. Rasa masam, pedas, masin ditambah dengan aroma serai, halia, bawang putih dan cili menjadikan hidangan ini sangat enak sekali. Berbaloi cuba.

 

CARA MASAK IKAN SIAKAP STIM ALA THAI

BAHAN-BAHAN:

  • 1 ekor ikan siakap
  • 2 biji limau nipis
  • 1 batang serai
  • 5 hiris halia
  • 3 tangkai cili padi merah
  • 3 tangkai cili padi hijau
  • 5 ulas bawang putih
  • 1 tangkai daun ketumbar
  • 1/2 kiub pati ayam
  • 4 sudu makan sos ikan
  • 1 sudu teh gula

CARA MEMASAK:

1. Bersihkan ikan dan kelar bahagian badannya.

2. Masukkan halia dan serai yang dihiris ke dalam perut ikan.

3. Kemudian perah jus limau nipis ke atas badan ikan untuk menghilangkan bau hanyir.

4. Kukus ikan dalam periuk kukusan (beli periuk kukusan secara online DISINI) dan biarkan seketika pada suhu api perlahan.

 

CARA MASAK KUAH STIM ALA THAI:

1. Cincang bawang putih secara kasar.

2. Goreng bawang putih yang dicincang tadi sehingga warna keemasan dan rangup. Ia membantu menaikkan aroma ikan siakap stim.

3. Padamkan api dan masukkan sedikit air suam, kiub pati ayam, sos ikan, gula, cili padi hijau, cili padi merah, lebihan serai dan perahan jus limau. Kacau kuah hingga sebati. Rasa kuah terlebih dahulu. Jika masin, tambah air secukupnya.

4. Tuang kuah stim ke atas ikan siakap yang dimasak tadi dan taburkan hirisan daun ketumbar.

5. Kukus lagi ikan bersama kuah selama 3 minit.

 

6. Angkat dan sedia untuk dinikmati.

Kredit resipi & foto: Zurina Zulkefli

 

Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA:

https://www.rasa.my/sangat-sedap-30-menu-harian-masakan-kampung-kena-cuba/

 

Tonton lebih banyak video masakan mudah & sedap di Youtube @Majalah Rasa Official

 

IKLAN