Resipi Gulai Ayam Nasi Berlauk Kelantan Yang Sedap. Mudah & Patut Cuba!

Share

Nasi Berlauk Kelantan, selain gulai ikan, ada juga yang gemarkan gulai ayam. Nasi panas, gulai, sambal dan timun. Cukup lengkap untuk sajian makan pagi yang enak. Bagi yang dah lama tak makan nasi berlauk gulai ayam atau ada yang baru nak cuba, resipi perkongsian Cikgu Afy Al Habibi ni antara yang paling mudah.

 

GULAI AYAM KELANTAN

 

BAHAN-BAHAN:

  • 5-6 ketul ayam – basuh dengan tepung gandum dan bilas bersih
  • 1/2 batang kulit kayu manis
  • 3 biji buah palaga
  • 3 biji bunga lawang
  • 1 sudu makan cili kering kisar
  • 3 sudu makan serbuk kari
  • 1 sudu makan serbuk kerutuk – boleh abaikan
  • 3/4 gelas air asam jawa ( secubit asam jawa + ¾ cawan air)
  • 1 1/4 sudu makan garam
  • 1 sudu makan gula putih
  • 1 1/2 sudu makan gula perang
  • Sedikit perasa
  • 1/4 cawan kecil santan kotak
  • 1/3 gelas air
  • 1 sudu makan kerisik

BAHAN PES GULAI ( KISAR LUMAT):

  • 3-4 biji bawang merah ( sebesar syiling 20 sen)
  • 1 ulas bawang putih
  • 1 hiris nipis lengkuas
  • 1 hiris halia
  • 3 hirisan serai
  • 1/2 sudu teh ketumbar
  • 1/2 sudu teh jintan putih

CARA MEMASAK:

1. Panaskan minyak dan tumis kayu manis, buah pelaga dan bunga lawang hingga naik bau. Kemudian masukkan bahan kisar. Masak hingga garing. 

2. Seterusnya masukkan 1 sudu makan cili kering kisar. Biar semua bahan masak sebati.

3. Masukkan serbuk kari. Kacau rata. Tambahkan 1 sudu makan serbuk kerutuk untuk rasa gulai yang lebih sedap. Jika tiada, boleh abaikan. Tuang air asam jawa. Kacau lagi dan tunggu pes hingga pecah minyak.

4. Setelah pecah minyak, masukkan 1/4 sudu makan garam, 1/2 sudu makan gula putih, 1/2 sudu makan gula perang dan sedikit perasa (rasa pada peringkat awal). Kacau rata. Masukkan ayam.

5. Balik-balikkan biar sebati dengan pes. Guna senduk kayu supaya isi ayam tak hancur. Tutup periuk dengan tudungnya dan biar mereneh selama 20 minit.

6. Seterusnya masukkan baki gula perang, gula putih, garam dan 1/2 sudu teh serbuk perasa. Kacau rata. Kuantiti boleh diubah ikut citarasa.

7. Masukkan santan kotak. Jangan terlebih nanti akan mengganggu warna dan rasa gulai. Masukkan juga 1/3 gelas air. Namun jika air waktu mereneh ayam tadi masih banyak, kurangkan jumlah air yang dimasukkan.

8. Akhir sekali, masukkan kerisik. Ia bertujuan untuk menyedapkan lagi rasa gulai.

9. Bila gulai dah mendidih dan rasa dah cukup, boleh padamkan api dan hidangkan.

10. Hidangkan bersama nasi panas, sambal dan hirisan timun.

Kredit resipi & foto: Afy Al Habibi

 

 

 

 

 

 

IKLAN