Anda masih lagi minum teh tarik ? Minuman kesukaan rakyat Malaysia yang manis ini memang terbukti bukan minuman sihat terutama buat pesakit diabetes. Cubalah beralih kepada minuman teh hijau.
Minuman ini adalah minuman tradisi penduduk Jepun. Kandungan nutrisi yang terdapat dalam teh hijau dipercayai mempunyai banyak khasiat untuk badan. Patutlah rakyat Jepun suka sangat minuman ni dan tergolong dalam negara yang penduduk paling panjang umur.
Anda pun nak sihat? Jom lihat kebaikan-kebaikannya!
KHASIAT & MANFAAT TEH HIJAU
1. TINGGI ANTIOKSIDAN
foto : www.healthywomen.org
Teh hijau mengandungi polyphenos seperti flavonoids dan catechin yang berfungsi sebagai antioksidan yang kuat. Bahan ini boleh mengurangkan pembentukan radikal bebas dalam tubuh, melindungi kerosakan sel dan molekul. Seperti yang diketahui radikal bebas boleh menyebabkan pelbagai penyakit dan penuaan sebelum masa.
Satu sebatian yang paling ‘kuat’ adalah anti oksidant Epigallocatechin Gallate (EGCG) yang menjadi sebab mengapa teh ini mempunyai kesan ubatan. Teh hijau juga mengandung sedikit unsur mineral semulajadi yang bagus untuk kesihatan.
2. RANGSANG FUNGSI OTAK
foto : www.brian3weekdiet.com
Minum teh hijau boleh buat anda bijak ? Kalau nak tahu ia bukan sahaja membuat anda bermaya tetapi juga menjadi bijak. Ia mengandungi kafein, tetapi tidak sebanyak kopi. Kafein memang diakui adalah bahan perangsang minda. Meminumnya akan memberikan mood dan semangat kepada anda. Bukan sekadar kafein, teh hijau juga mengandungi asid amino L-theanine. Gabungan L-theanine dengan kafein berupaya meningkatkan fungsi otak.
3. GALAK PEMBAKARAN LEMAK
IKLAN
Jika anda perhatikan bahan kandungan suplimen menguruskan badan, sering ada bahan teh hijau di dalamnya. Ini adalah kerana teh hijau diyakini boleh meningkatkan pembakaran lemak dan meningkatkan paras metabolisma tubuh. Pun begitu kesannya adalah berbeza mengikut individu.
4. KURANGKAN RISIKO KANSER
foto : www.medicalnews.com
Amalan meminum teh hijau juga dikatakan boleh mengurangkan risiko kanser. Ini kerana kandungan antioksidannya yang tinggi. Antara kanser yang dikenal pasti boleh dikurangkan risikonya adalah kanser payu dara, prostat dan kolorektal (usus).
Mencampurkan susu ke dalam teh boleh mengurangkan kesan antioksidan pada teh. Sebaiknya, minum tanpa menambah bahan-bahan perasa lain untuk mendapat manfaat yang maksimum.
5. KURANGKAN RISIKO NYANYUK & PARKINSON
IKLAN
foto : www.russia-now.com
Teh hijau bukan sahaja memperbaiki dan meningkatkan fungsi otak dalam jangka masa pendek , tapi juga melindungi otak di masa tua. Penyakit alzheimer adalah penyakit ‘neurodegenerative’ (kesusutan neuro) yang boleh mengakibatkan ‘dementia’ nyanyuk.
Parkinson pula adalah penyakit jenis yang sama yang boleh menyebabkan kemusnahan ‘dopamine’ yang menghasilkan neuron di dalam otak. Kedua gangguan ‘neurodegenerative’ ini boleh dikurangkan risikonya dengan sebatian bio aktif yang ada dalam teh hijau.
6. BUNUH BAKTERIA DAN KUATKAN GIGI
foto : youtube.com
Kandungan cathechin di dalam teh hijau dikatakan boleh membunuh bakteria dan mengelakkan virus seperti influenza. Malah ia juga menghalang pertumbuhan bakteria yang dikaitkan dengan kaviti dan kerosakan gigi serta mengelakkan masalah mulut berbau.
7. MENGURANGKAN RISIKO DIABETES TAHAP II
IKLAN
foto :www.wellnesspathcare.com
Kajian mendapati teh hijau boleh memperbaiki sensitiviti insulin dan mengurangkan tahap gula di dalam darah. Kajian di Jepun mendapati peminum teh hijau yang kerap dapat mengurangkan 42% risiko menghadapi diabetes tahap II.
8. RENDAHKAN RISIKO PENYAKIT JANTUNG
foto : www.easyhealthoptions.com
Teh hijau berupaya meningkatkan keupayaan antioksidan di dalam darah yang melindungi partikel LDL kolestrol daripada oksidaksi dan juga mengurangkan tahap LDL kolestrol dalam darah. Ini boleh mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular.
9. MENURUNKAN BERAT BADAN DAN MENGURANGKAN RISIKO OBESITI
foto : www.digitaltrends.com
Jika anda nak menurunkan berat badan, amalkan minum teh hijau. Selain meningkatkan metabolisma, teh hijau juga mampu mengurangkan lemak terutamanya di bahagian abdomen. Wow! Untuk hasil yang lebih menakjubkan, jangan lupa bersenam dan kawal pemakanan. – FARIDAH TALIB
Kenapa perlu membelanjakan kos yang besar atau banyak bagi memenuhi keperluan gaya hidup sihat dengan membeli pelbagai suplimen? Jangan sampai membebankan diri anda, masih ada cara lebih murah dan semulajadi yang boleh membantu anda meneruskan gaya hidup sihat. Hari ini RASA kongsikan rahsia 10 superfood atau makan ajaib yang boleh diperolehi dari dapur rumah anda sendiri.
Hampir kesemua makanan ini ada dalam kebanyakan dapur atau peti sejuk anda semua, Semua makanan ini tinggi kandungan nutrisi dan mempunyai khasiat sangat hebat jika diamalkan makanan ajaib secara seimbang, pasti mampu menurunkan risiko penyakit kronik terutamanya kanser.
TIMUN
Timun sangat baik menjauhi masalah hidrasi kerana kandungan airnya yang tinggi, masa yang sama membantu mengurangan berat badan. Ia juga sumber detox dan agen terbaik mecegah anti penuaan. Kandungan cucubitacins yang tinggi mampu melawan radikal bebas dan menurun masalah keradangan, sakit jantung dan beberapa jenis kanser.
BUNGA KUBIS
Bunga kubis tinggi kandungan antioksidan, kaya Vitamin C dan K serta serat. Malah kandungan glucocinolates di dalamnya membantu melawan kanser dan ia makanan yang rendah kalori.
TELUR
Boleh dikatakan semua rumah ada menyimpan telur, bijaklah memanfaatkannya kerana ia sumber protein dan antioksida yang tinggi. Selain itu, telur juga kaya dengan Omega-3 yang baik untuk fungsi badan normal dan jantung sihat. Sementara kandungan vitamin D membantu mengurangkan risiko tulang rapuh.
BAWANG PUTIH
Bawang putih bertindak sebagai prebiotik dengan menggalakkan mikroorganisma penghadapan yang sihat dalam usus, berkesan menanangi penyakit jantung dan tekanan darah tinggi serta membantu mencegah selesema apabila dimakan selalu.
HALIA
Halia, bahan semulajadi yang membantu masalah angin, loya dan sakit perut. Malah ia turut membanatu melegakan otot yang tegang dan lenguh. Mengurangkan gejala penyakit sendi serta keradangan.
OAT
Makanan kaya dengan serat ini sangat baik membantu proses penghadaman dan menurunkan kadar kolestrol dalam tubuh. superfood yang murah dan boleh dipelbagaikan cara pengambilannya dengan olahan bermacam menu seperti sebagai campuran dalam minuman, biskut, bubur dan banyak lagi masakan.
BAWANG MERAH
Terkenal dengan kandungan antiokidanya yang membantu melawan penyakit kanser. Ia juga membantu melindungi dan memulihkan sel-sel rosak, meningkatkan kadar kolestrol baik dan merendahkan tekanan darah tinggi.
KELEDEK
Ubi ini kaya dengan Vitamin B6 yang boleh mengurangkan risiko sakit jantung. Sumber antioksida yang bagus di samping kaya dengan serat. Sementara kandungan beta karoten yang tinggi membantu meningkatkan kadar Vitamin A dalam tubuh.
TAUHU
Makan yang diperbuat dari kacang soya ini memang diketahui kaya protein, zat besi dan kalsium. Malah ia bebas kolestrol dan rendah kalori, maka rasionalnya ia mengurangkan risiko kegemukan, kencing manis dan penyakit jantung.
TOMATO
Sayuran berwarna merah ini sangat tinggi dengan antioksida lycopene yang mampu melindungi tubuh dari beberapa jenis kanser. Mengandungi Vitamin A,C dan E serta tinggi mineral mangan dan zat besi.
TEMBIKAI
Buah ini tinggi kandungan air dan rendah kalori, sangat baik untuk menjauhi hidrasi, Kaya pula dengan asid amino L-citrulline yang membantu membakar lemak dan bersifat anti penuaan. Ia sama seperti tomato turut mengadnungi lycipene (sejenis antioksida yang melawan kanser).
BERI GOJI
Mengandungi semua jenis asid amino utama yang membantu mengimbangi kadar gula dalam darah dan meningkat sistem imuniasi tubuh.
Bawang goreng memang enak dijadikan penambah rasa dan penyedap dalam hidangan. Rasa manisnya hmmmm..memukau deria. Wangi pulak tu. Namun ada kalanya bawang goreng homemade ini tidak seperti yang dibeli. Cepat lembik dan tidak rangup. Ha..Jom cuba resipi di bawah ini. Pasti bawang goreng anda lebih enak dan sedap!
BAHAN-BAHAN:
1/2 kg bawang merah di hiris nipis
2-3 ulas bawang putih hiris nipis
2 sudu besar tepung jagung
Sedikit garam dan gula untuk perasa
Minyak secukupnya untuk menggoreng
CARA MEMASAK:
1. Bawang merah dan putih yang telah dihiris perapkan dengan tepung jagung, garam dan gula.
2. Biarkan selama 1/2 jam atau lebih.
3. Panaskan minyak agak banyak untuk tenggelamkan bawang kita.
4. Kalau sayang minyak masukkan sikit-sikit bawang tu dalam minyak .
5. Goreng sampai agak kuning saja angkat dan tos kan.
6. Gorenglah sehingga habis .
SEDIKIT TIP MENGGORENG
Tujuan letak bawang putih adalah untuk merangupkan bawang goreng
Masa menggoreng jangan sampai terlalu kuning diatas api sebab bila kita angkat bawang tu akan lebih kuning.
Jadi agak-agak je tau sebab kalau terlalu kuning didalam minyak, bila kita angkat akan menjadi oren kecoklatan dan agak pahit jadinya..
Sedap di ratah kalau yang homemade ni rangup krup krap krup krap
Biarkan sehingga sejuk dan minyak nya kering baru masukkan dalam bekas kedap udara.
Siapa Tak kenal Chef Zam kan. Selain hebat memasak, dia juga seorang selebiriti glamour dan sering muncul di kaca tv dan majlis-majlis hebat. Mungkin ramai kenal dia dengan cara itu. Tetapi misi dan visinya dalam dunia kulinari tidak ramai yang tahu. Dia punya impian yang besar untuk membawa generasi muda yang minat bidang kulinari ke satu tahap yang lebih tinggi.
Seperti diaturkan oleh pembantu peribadinya temu janji bersam Chef Zam akan diadakan di Kolej Antarabangsa Silverspoon(SIC). Namun sebaik tiba Chef Zam masih di salah sebuah dapur SIC bagi menyediakan masakan yang ingin dikongsikan dengan Majalah Rasa.
Sementara menunggu, Nafisz Daniel, Pembantu Peribadi Chef Zam menghidangkan kami minuman sejuk sambil memberikan sedikit penerangan tentang SIC, yang diterajui oleh Chef Zam bersama beberapa orang rakan bisnesnya.
Bila berjumpa ada sahaja cerita yang dibicarakan dan ditanya, namun dalam mesra gurau senda beliau sangat menghormati orang lain. Malah sifatnya yang suka merendah diri dan menghormati orang lain juga menjadikan beliau terus kekal dalam industri dan perjalanan kerjaya juga berkembang mengikut peredaran masa.
Dari seorang chef, kemudian bergelar pensyarah dan kini beliau sudahpun bergelar usahawan. Selain mmpunyai sebuah kolej yang membuka peluang kepada generasi muda menguasai ilmu dan kemahiran dalam bidang kulinari. Beliau juga terus ke hadapan dengan mengusahakan kafe dan terbaru beliau telah pun bergelar penerbit dan pengarah untuk program masakan.
“Sebagai seorang rakyat Malaysia yang ada kemahiran dalam bidang kulinari, saya rasa banyak lagi yang boleh saya sumbangkan kepada negara dan anak bangsa. Cuma kekangan masa untuk merealisasikan idea dan impian saya dalam dunia kulinari. Perjalanan saya dalam industri kulinari masih jauh dan belum berakhir. Banyak lagi yang ingin saya lakukan untuk membantu negara memajukan industri ini dan melahirkan lebih ramai chef serta usahawan muda terutama di kalangan anak Melayu,” ujar Chef Zam tampak serius bila menzahirkan harapan dan impiannya.
PROGRAM MASAKAN SENDIRI
Terbaru, Chef Zam khabarnya, telah menerbitkan program masakannya sendiri yang diberi nama Dapur Chef Zam. Program ini sudah pun memulakan pengambaran untuk beberapa episod, di mana Chef Zam sendiri yang menjadi pengacara.
“Saya ingin mencuba sesuatu yang baru, tetapi pembabitan ini hanya dalam program masakan sahaja atau apa sahaja berkaitan dengan kulinari sahaja. Ia disebabkan saya terbabit dengan program masakan sudah lama dan terbabit dengan pelbagai program masakan.
“Sebelum ini saya hanya sebagai pengacara, tetapi kini sebagai pengacara dan terbabit secara langsung dengan kerja-kerja di belakang tabir, ia bukan mudah tetapi saya suka mencuba. Kerja-kerja ini juga ada kaitan dengan kulinari. Masa yang sama, saya ingin memberikan mood yang lebih realisitik bila seseorang chef berada di dapur.
“Sebagai penerbit, saya dapat menzahirkan apa yang saya inginkan dalam program masakan mengikut kehendak semasa. Saya juga ingin tunjukkan suasana sebenar bila seorang chef berada di dapur dari penyediaan bahan sehingga masakan siap dimasak,” luah Chef Zam sambil menujukkan kitchen studio yang digunakan untuk pengambaran program masakannya.
Sambil mata penulis memerhati setiap ruang kitchen studionya, mata tertumpu kepada tiga pekakasan dapur yang lama menghiasi Island kitchen. Menyedari kami sibuk membelek barangan tersebut, beliau memberitahu itu sebahagian koleksi dapur yang dibeli setiap kali keluar negara.
“Namanya pun chef, ke mana pergi periuk belangga, pinggan mangkuk dan segala perkakasan dapur mesti menjadi barang wajib beli. Tak dapat banyak satu dua pun cukup. Barang-barang ini amat berharga dan setiap satu ada cerita di sebaliknya dan telah ditempatkan dalam satu bilik yang saya jadikan galeri. Dengan adanya geleri, barang-barang ini dapat dijaga dengan baik dan ia boleh dilihat oleh generasi muda, dan kebanyakan barangan ini juga ada ceritanya sendiri dalam sejarah kulinari,” ujar Chef Zam seronok bercerita dengan koleksi pekakasan dapurnya.
HARAPAN DAN IMPIAN
Demi cintanya terhadap dunia masakan, Chef Zam yang mendapat pendidikan awal kulinari di UiTM pada tahun 1990, kemudian menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Amerika Syarikat, dan seterusnya ke perirngkat Sarjana di University of West London.
Selepas melalui pelbagai pengalaman sebagai chef profesinal dan pensyarah dalam bidang kulinari, anak kelahiran Terengganu ini mengakui akan terus mendalami ilmu dalam kulinari. Masa yang sama ilmu yang ada ingin dikongsikan dengan umum agar dapat dimanfaatkan untuk kebaikan bersama.
“Saya suka berkongsi ilmu kerana perkongsian itu amalan yang baik kerana ia dapat dikembangkan dan dimanfaatkan oleh lebih ramai orang. Masa yang sama, saya sedia bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan jika inginkan khidmat saya asalkan ia ada kaitan dalam bidang kulinari.
“Sebenarnya, dunia kulinari ini sesuatu mempunyai masa depan yang sangat baik, dan ia juga seling berkaitan dengan industri lain seperti, pelancongan, perniagaan, kebudayaan dan banyak lagi, yang penting kita harus kreatif dan rajin merebut peluang yang ada, “ luah Chef Zam penuh semangat.
BEEF STEW
BAHAN-BAHAN:
250 gm daging lembu | potong dadu 2 1/2 cm
30 gm minyak masak
40 gm bawang besar /Holland | potong dadu
15 gm bawang putih | cincang
30 gm tepung gandum
20 gm tomato puri
160 ml air rebusan tulang lembu
1 helai daun bay
1 sudu besar serbuk thyme
40 gm seleri |potong kiub
20 gm tomato plum (tin)
500 g m kentang | potong kiub
Garam secukup rasa
Serbuk lada putih secukup rasa
Minyak masak secukupnya
CARA MEMASAK:
Gaulkan daging lembu bersama tepung gandum, sedikit garam dan serbuk lada putih.
Panaskan minyak masak dalam periuk bersesuaian. Setelah minyak panas, masukkan daging.
Goreng daging hingga keperangan, kemudian angkat dan ketepikan.
Menggunakan minyak yang sama, masukkan bawang putih dan bawang merah. Tumis sehingga naik bau.
Kemudian masukkan tomato plum dan air rebusan tulang lembu ke dalam periuk. Kacau dan biarkan air rebusan mereneh atas api sederhana.
Masukkan seleri, lobak merah, kentang, daun bay dan serbuk thyme ke dalamnya.
Kemudian masukkan daging yang telah diperangkan tadi ke dalam periuk. Kacau supaya semuanya sebati. Tutup periuk dan pindahkan ke dalam ketuhar bersuhu 170°C dan masak selama 40-60 minit sehingga daging lembut.
Pindahkan semula ke atas dapur, perisakan dengan garam dan serbuk lada putih.
Tutup api dan masukkan stew ke dalam mangkuk yang bersesuaian dan hidangkan.
INFO CHEF: Beef Stew enak dihidangkan panas-panas dengan roti bawang putih.
Saiz hidangan: 5 orang.
Waktu memasak: 1 jam 30 minit.
Cara memasak : Tumis dan reneh.
Keistimewaan: Enak dan lembut dagingnya.
Anggaran perbelanjaan: RM20
Kalau Suka Sajian Daging Anda Juga Boleh Cuba Resipi Ini: http://www.rasa.my/bebola-daging-sos-mentega-keju-hidangan-ala-kafe-mahal-yang-boleh-dihasilkan-di-rumah/
APPLE TARTE TATIN
BAHAN-BAHAN
Bahan Pastri:
320gm tepung gandum
225gm butter | dadu kecil
110gm gula aising
3 biji kuning telur
Air sejuk secukupnya
Bahan Inti:
6 biji epal | kupas, dibuang biji dan potong 8-12
1/4 lemon
110gm gula kastor
110gm mentega
CARA MEMASAK:
Panaskan ketuhar kepada 250C
Cara membuat pastri. Dalam mangkuk adunan, campurkan tepung, mentega dan gula aising sehingga menyerupai serbuk roti. Tambah kuning telur dan kacau sehingga sebati.
Keluarkan doh dari mangkuk pengadun dan bahagi kepada dua keping. Balut dalam plastic wrap, kemudian masukkan dalam peti sejuk dan rehatkan sekurang-kurangnya satu jam.
Untuk inti pula, letakkan hirisan epal dalam mangkuk, perahkan jus lemon ke atas epal.
Masukkan gula dalam kuali, masak atas api sederhana dan kacau gula dan pastikan tidak hangus.
Biarkan gula caramelise dan jadi sedikit kekuningan, Kemudian susunkan kepingan epal yang telah ditoskan .
Seterusnya masukkan di dalam oven dan bakar sehingga epal telah lembut sedikit dan jus epal tersebut keluar sedikit. (kira-kira 10 minit)
Keluarkan dari ketuhar dan taburkan masukkan sebahagian lagi gula yang tinggal dan letakkan mentega di atas.
Keluarkan pastri dari peti sejuk dan canai menjadi lapisan pastri lembut dengan ketebalan sekurang-kurangnya 2.5cm / 1 inci. Dan letakkan pastri dibahagian atas apel. Pastikan ia meliputi keseluruhan bahagian atas peruk karemel epal tadi.
Masukkan semula dalam ketuhar dengan kepanasan 220C dan bakar sehingga pastri berwarna perang keemasan kira-kira 20 minit.
Keluarkan dari ketuhar dan biarkan rehat selama satu atau dua minit. Kemudian terbalikkan di dalam pinggan.
Hidangkan panas dengan krim berganda, crème fraiche, ais krim vanilla, atau marshmallow
INFO CHEF: Semasa membuat karemel selain api sederhana, pastikan anda tidak memasukkan air di dalam gula. Sebaliknya sentiasa kacau sehingga menjadi karemel sepenuhnya.
Saiz hidangan: 5 orang.
Waktu memasak: 1 jam.
Cara memasak : Reneh dan bakar.
Keistimewaan: Masam manis berkaremel.
Anggaran perbelanjaan: RM15
Ini video masakan yang dikongsi di laman FB dan Instagram Chef Zam :