Makanan

Pulut Kuning Rendang Daging Paling Sedap Untuk Aidiladha, Mudah & Menyelerakan

Share

Pulut kuning dan rendang daging sememangnya kombinasi yang cukup enak. Sesuai sangat dihidangkan di pagi Hari Raya Aidiladha nanti. Walaupun tak semeriah hari raya puasa, namun kehangatan musim perayaan tetap dirasa. Jom cuba resipi pulut kuning rendang daging ini! Sangat mudah dan memang sedap.

Resipi Pulut Kuning Rendang Daging Untuk Aidiladha

Bahan-Bahan Pulut Kuning

  • 1.5kg beras pulut susu
  • 1 kotak kecil santan
  • 10 helai daun pandan
  • 2 sudu makan serbuk kunyit
  • Garam secukup rasa
  • 1 mangkuk air

Cara Memasak Pulut Kuning

  1. Rendam beras pulut bersama serbuk kunyit selama 3 hingga 4 jam supaya warna kuning lebih cantik dan sekata.
  2. Panaskan pengukus sambil susun daun pandan di atas pengukus. Bau pulut kuning akan jadi lagi sedap. Letakkan beras pulut di atas daun pandan dan kukus sehingga sedikit lembut. Anggaran masa sekitar 1 jam.

3. Bila pulut agak lembut, keluarkan dari periuk kukusan dan masukkan ke dalam bekas lain.

4. Ambil santan dan campurkan bersama 1 mangkuk air serta sedikit garam.

5. Tuang campuran santan ke dalam bekas berisi pulut dan gaul hingga rata serta sebati. Kukus semula pulut selama 15 hingga 30 minit sehingga masak sempurna.

6. Angkat pulut kuning dan sedia dinikmati bersama rendang daging yang pekat dan berempah.

Cara Masak Rendang Daging Sedap

Bahan-Bahan Rendang Daging

  • 1.5kg daging
  • 2 kuntum bunga lawang
  • 2 batang kulit kayu manis
  • 3 helai daun kunyit
  • 2 sudu makan serbuk kari daging
  • 2 bungkus kerisik
  • 2 kotak kecil santan
  • Garam secukup rasa
  • 3 cawan air
  • 1 cawan minyak untuk menumis

Bahan Kisar

  • 15 biji bawang merah saiz sederhana besar
  • 10 ulas bawang putih
  • 2 inci lengkuas
  • 1 inci halia
  • 1 inci kunyit hidup
  • 5 batang serai saiz besar
  • 20 tangkai cili kering mengikut tahap kepedasan disukai

Cara Memasak Rendang Daging

  1. Panaskan minyak dan masukkan bunga lawang serta kulit kayu manis. Kemudian masukkan semua bahan kisar dan tumis sehingga pecah minyak.
  2. Masukkan serbuk kari daging dan kacau sentiasa supaya rempah tidak hangus.
  3. Bila rempah sudah pecah minyak, masukkan daging. Gaul sebentar kemudian tambahkan air. Masak sehingga daging lembut dan empuk.

4. Apabila daging betul-betul lembut, masukkan santan, kerisik dan daun kunyit.

5. Perasakan dengan garam serta perasa lain mengikut citarasa masing-masing.

6. Bila rendang daging mencapai kepekatan yang anda suka, matikan api dan hidangkan bersama pulut kuning.

Pulut Kuning Rendang Daging Memang Pilihan Terbaik Aidiladha

Resipi pulut kuning rendang daging ini memang sesuai dijadikan menu istimewa ketika Aidiladha. Gabungan pulut yang lemak bersama rendang daging berempah menjadikan hidangan ini cukup menyelerakan. Bukan sahaja mudah dimasak, malah sesuai dihidangkan untuk keluarga dan tetamu yang datang beraya.

Kalau anda sedang mencari idea menu Aidiladha yang mudah tetapi sedap, resipi pulut kuning rendang daging ini memang wajib dicuba. Aroma daun pandan pada pulut serta rendang yang pekat pasti membuatkan semua tambah berkali-kali.

Kredit resipi & foto: Noor Hamidah 

 

[Sertai Telegram Geng Rasa Share Resipi]

Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA:    

Published by
Nur