Cara Buat Puding Raja. Resipi Istimewa Warisan Pahang Yang Sangat Sedap

Share

Puding Raja atau Puding Diraja Pahang ni memang cukup istimewa sekali dan antara menu istimewa Istana Pahang dan menjadi kebanggaan rakyat negeri Tok Gajah.

Bahan asasnya adalah pisang lemak manis, kacang gajus, susu cair dan yang paling penting adalah jala emas yang dihidangkan bersama sos yang dibuat dari susu, telur, esen vanilla dan bahan lain.

Gabungan pisang yang digoreng menggunakan mentega, jala emas, buah-buahan, kacang gajus dan kuah yang sejuk menjadikan pencuci mulut ini cukup istimewa. Bukan sahaja nampak cantik apabila dihidangkan, rasanya juga memang lain daripada puding biasa.

Jom cuba puding ni.

Puding Raja Pahang

Kalau nak menyediakan Puding Raja Pahang, antara bahagian yang penting tentulah jala emas. Kuning telur digunakan untuk menghasilkan jala yang halus sebelum digandingkan dengan pisang lemak manis dan kuah puding.

Bahan untuk Jala Emas

  • 7 biji telur.
  • 2 senduk gula.
  • 2 cawan air.

Bahan untuk hiasan

  • 3-5 biji pisang lemak manis (Jangan masak sangat).
  • Buah ceri merah dan hijau.
  • Kacang gajus.
  • Buah prune.
  • Strawberi | jika suka.
  • Sedikit mentega untuk mengoreng pisang tersebut.

Pisang lemak manis menjadi antara bahan utama yang membuatkan hidangan ini cukup menarik. Pilih pisang yang elok dan jangan terlalu masak supaya teksturnya masih cantik selepas digoreng menggunakan mentega.

Cara Memasak Puding Raja Pahang

Cara menjala

  1. Masukkan air bersama air gula dalam kuali dan tunggu sehingga gelegak.
  2. Sebatikan kuning telur tadi dan tapis untuk mengelakkan ia daripada susah keluar waktu menjala.
  3. Masukkan dalam botol muncung tiga (botol roti jala) atau kelongsongkan daun pisang dan buat lubang yang kecil pada hujungnya (cara zaman dulu).

Teknik menjala

  1. Untuk menjala pastikan jangan diangkat botol tersebut untuk mengelakkan daripada putus (tak cantik ler) dengan cara picit secara membulat ikut bentuk kuali.
  2. Tunggu dalam 2 minit sedia diangkat dan toskan ia.
  3. Goreng pisang menggunakan mentega (jangan dipotong pisang tersebut).
  4. Air gula jangan dibuang terus masukkan pisang yang digoreng tadi.

Bahagian menjala memang memerlukan sedikit kesabaran. Pastikan aliran kuning telur tidak terputus-putus supaya hasil jala nampak lebih halus dan cantik. Sebab itulah kuning telur perlu ditapis terlebih dahulu sebelum dimasukkan ke dalam botol muncung tiga.

Semasa menggoreng pisang pula, jangan biarkan pisang terlalu lembik. Pisang yang masih elok bentuknya akan membuatkan hidangan akhir nampak lebih menarik apabila disusun bersama jala emas, kacang gajus, ceri dan kuah.

Bahan Kuah Puding

  • 3 biji kuning telur.
  • 1 tin susu cair.
  • 1/2 tin air (guna tin susu tadi).
  • 1 sudu kecil esen vanila.
  • 1 1/2 senduk gula.
  • 1 helai daun pandan.

Kuah juga memainkan peranan penting dalam hidangan ini. Gabungan susu cair, kuning telur, gula, esen vanila dan daun pandan memberikan rasa lemak, manis dan aroma yang cukup menyelerakan.

Cara buat kuah

  1. Masukkan susu cair, kuning telur, gula, esen vanila dan air ke dalam bekas.
  2. Simpulkan daun pandan dan masukkan sekali.
  3. Kukus bahan tadi di dalam periuk yang berisi air panas menggelegak atau nak masakkan terus boleh tapi jangan biar sampai berketul.
  4. Kacau sehingga kuah puding menjadi pekat.
  5. Tutup api dan sejukkan (masukkan dalam peti ais).

Jika memilih untuk memasak kuah secara terus, pastikan sentiasa dikacau dan gunakan api yang sesuai. Jangan biarkan campuran telur menjadi berketul kerana kuah yang elok sepatutnya mempunyai tekstur yang lembut dan pekat.

Selepas siap, sejukkan kuah terlebih dahulu. Kuah yang sejuk memang sedap apabila digandingkan dengan pisang goreng mentega dan jala emas.

Cara Hidang

  1. Bila nak makan, letakkan pisang yang digoreng ke dalam mangkuk puding.
  2. Hiaskan ceri hijau dan merah dan juga kacang gajus atasnya.
  3. Tuang kuah yang sejuk atasnya.

Untuk nampak lebih menarik, susun pisang terlebih dahulu sebelum diletakkan jala emas. Kemudian hiaskan dengan ceri merah dan hijau, kacang gajus, buah prune dan strawberi jika suka. Akhir sekali barulah tuangkan kuah yang telah disejukkan.

Puding Raja Pahang bukan sekadar pencuci mulut yang menarik dari segi rupa, malah gabungan bahan-bahannya menghasilkan pelbagai tekstur dan rasa dalam satu hidangan. Ada rasa lemak daripada susu dan telur, kemanisan pisang, kerangupan kacang gajus serta jala emas yang menjadi tarikan utama.

Kalau belum pernah mencubanya, bolehlah simpan resipi ini dan cuba buat untuk keluarga. Memang menarik kalau dapat hidangkan menu yang cukup sinonim dengan negeri Pahang ini ketika berkumpul bersama keluarga atau pada majlis istimewa.

Kredit: Resepi Sarapan Pagi

 

[Sertai Telegram Geng Rasa Share Resipi]

Tonton lebih banyak video masakan mudah & sedap di Dailymotion @Rasa & Youtube @Majalah Rasa Official

Published by
Nur