Nasi Lemak Sambal Ekspres, Guna Microwave Je Hasilnya Sedap

Share

Nak buat nasi lemak sambal ekspres boleh guna cara ini. Guna microwave pun boleh, mudah dan hasilnya pun sama seperti menggoreng. Kalau hidang, orang pun tak tahu nasi lemak ni resipi ekspres. Lagi-lagi kalau hias macam ni gayanya.

Sambal ni teksturnya tak beza sangat dengan sambal yang gunakan cili kisar. Rasanya ada umami dari belacan, manis gula melaka dan bawang Holland dan pedasnya tak melampu. Resipi sambal ni juga boleh digunakan untuk buat sambal udang, ikan bilis, petai dan sebagainya. Cuma saya sarankan guna “serbuk cili kasar” supaya teksturnya tak macam air.

Resipi Kamarul Ariffin Nor Sadan dikongsinya ketika belajar di Ukraine dahulu. Biasalah student, duit terhad, masa terhad, peralatan terhad.Maka terhasilah resipi kreatif ini.

 

Nasi Lemak Sambal Microwave

 Bahan-bahan:

½ pot nasi

4 sudu besar santan kotak

2 sudu besar empingan cili

¼ biji bawang Holland

¼ sudu kecil pes asam jawa

2 sudu besar gula Melaka

1 sudu kecil belacan/kiub ikan bilis

2 sudu besar ikan bilis

1 ulas bawang putih

1 butir telur ayam

Bahan-bahan “optional”:

¼ batang timun Jepun

3 sudu besar kacang tanah

3 ketul ayam goreng sejuk beku

1 helai daun pandan

Cara membuat:

1.Basuh beras, letak dalam mangkuk, letak santan. Sukatannya; 1 pot beras + 4 sudu besar(sb) santan kotak. Saya masak ¾ pot, maka + 3 sudu besar santan. kalau guna santan segar atau serbuk, pandai-pandai agak.

  1. Kalau ada daun pandan, halia dan halba letaklah. Kalau tak ada, tak apa. Masih boleh buat nasi lemak ni. Yang penting ada beras, santan dan garam. Dalam gambar ni saya letak pes halia.

3.Tambah air. Sukatan air yang biasa saya guna 1 pot berat + 1½ pot air. Takut ada yang keliru, pot yang saya maksudkan tu bukan periuk tau. Pot = cawan (seperti dalam gambar).

4.Masukkan air dalam periuk nasi. Kalau tambah 1 pot air dalam pada beras di dalam mangkuk, maka tambah 1 pot air dalam periuk. Nisbah kena sama. Biasanya air dalam periuk kering, ngam nasi pun masak.

5.Masukkan mangkuk berisi beras, santan dan air tadi ke dalam periuk nasi elektrik. Saya masak dalam mangkuk sebab tak nak ada kerak nasi. Kalau kalian nak masak banyak, tak payah guna mangkuk.

6.Ada orang buat telur rebus, dia letak sekali telur dalam beras yang hendak ditanak. Lepas tu kena kecam oleh netizen sebab kulit telur kadang-kadang ada najis. Saya biasa kukus telur dalam mangkuk macam ni.

7.Maksudnya, tanak nasi di bawah. Di pengukus tingkat atas, saya kukus telur dalam mangkuk. Jadi tak bercampur. Lebih selamat dan bersih. Kulit telur pun saya dah cuci sehingga bersih.

8.Sementara tunggu nasi siap. Kita buat sambal. Saya gunakan empingan cili (chili flakes) macam ni. Beli di pasar raya tulis “serbuk cili kasar”. Saya guna yang ini sebab akan lebih cantik dari serbuk halus.

9.Serbuk cili ni saya campurkan dengan air 3-4 sudu besar, belacan, asam jawa, gula Melaka, bawang putih (ditimbuk/disagat/pes), garam. Gaul sampai sebati. Kalau nak letak halia atau bahan lain, silakan.

10.Lepas tu saya letak minyak 4 sudu besar. Kita akan tumis campuran ini dalam mangkuk ini, menggunakan microwave. Tak yakin?

11.Masuk dalam microwave, set selama 1 minit. Tunggulah dengan debaran. Peringatan, gunakan mangkuk yang tahan microwave.

12.Selepas satu minit, keluarkan untuk diperiksa. Dah pecah minyak nampaknya. Tapi belum masak lagi sambal ni. Kena gaul-gaul dan masuk dalam microwave lagi. Biasanya kena ulang 2-3 kali. Baru masak.

13.Saya suka sambal yang ada bawang Holland. Jadi saya letak ke dalam sambal sebelum saya sambung microwave lagi. Waktu ni kalian boleh letak udang, ikan bilis atau petai jika mahu.

14.Ada orang suka letak santan dalam sambal biar ada rasa lemak sikit sambal tu. Maka boleh letak sekarang. Hari tu Cik Nah (mak-nya Mahathir Zainol) pesan suruh letak, maka saya letak.

15.Microwave lagi seminit. Periksa, gaul. Kalau belum masak tambah lagi seminit. Bergantung kepada jumlah sambal yang kalian buat, biasanya perlukan 3-5 minit untuk sambal masak sepenuhnya.

16.Ni sambal yang dah masak. Empingan cili tadi dah tak rasa cili mentah, bawang dah layu dan saya dah tambah apa-apa yang kurang. Warna pun dah cantik. Ada bau gula terkaramel juga.

17.Nasi belum masak, jadi saya nak goreng ikan bilis dalam microwave juga. Letak ikan bilis dalam pinggan dan curah minyak dalam 2-3 sudu besar. Masuk microwave, set 1 minit.

18.Ni hasilnya. Ikan bilis rangup. Tak payah kuali, tak bazir minyak, tak lama nak masak. Tak percaya ikan bilis ni rangup?

19.OK, periuk nasi bunyi “keletek”. Maknanya dah siaplah nasi dan telur ni. Bila saya buka penutup periuk, nampaknya telur ni masih belum menetas.

20.Nasi nampak OK. Mungkin nampak macam sedikit tak bermaya, tapi jangan risau, bila kita gemburkan dia, dia akan nampak bertenaga.

21.Nasi yang telah digembur. Nampak tak sebutir-sebutir. Tak melekat, tak lembik, tak hancur. Rasa pun cukup berlemak, ada masin dan ada aroma halia serta daun pandan yang saya letak.

  1. Kalau nak ayam boleh “air fry” sekejap. 5-10 minit dengan suhu 200°C. Saya tak ada letak minyak tambahan. Saya masukkan kacang tanah sekali dalam ni, tapi tak ambil gambar pula.

23.Gabungkan semua komponen tadi, maka terhasillah nasi lemak ayam dalam masa 15-20 minit.

Kredit: Kamarul Ariffin Nor Sadan

 

[Sertai Telegram Geng Rasa Share Resipi]

 

Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA:  

 

Tonton lebih banyak video masakan mudah & sedap di Dailymotion @Rasa & Youtube @Majalah Rasa Official

 

 

IKLAN