Lobak putih tumis ini sangat mudah, tak perlukan bahan yang banyak tapi rasanya cukup sedap dan menyelerakan. Campuran ikan bilis, lada hitam dan bawang menaikkan lagi aroma lauk ringkas ini.
Seringkali dianggap sayur ‘kurang glamor’ dalam masakan harian, namun sebenarnya lobak putih ia sangat berkhasiat dan enak rasanya.
Lobak putih antara sayur yang terkenal dalam membantu menambah susu badan, sebab itu ia sering dimasukkan dalam menu ibu lepas bersalin.
Tapi bukan ibu berpantang saja boleh nikmati khasiatnya, seisi keluarga pun boleh makan. Sayur ini juga bagus untuk sistem penghadaman dan kaya dengan serat serta vitamin C
Kalau sebelum ini tak pernah cuba menyediakan sayur lobak putih cubalah resipi ringkas ini. Confirm jatuh cinta lepas suapan pertama!
1 batang lobak putih – dipotong ikut suka
½ genggam ikan bilis – dibersihkan
Lada hitam – ikut tahap kepedasan yang diingini
4 biji bawang kecil
3 ulas bawang putih
3 biji cili padi
1. Panaskan sedikit minyak dalam kuali, tumis bahan tumbuk sehingga naik bau.
2. Masukkan ikan bilis dan kacau hingga sedikit garing.
3. Tambahkan lobak putih, sedikit air, dan lada hitam.
4. Perasakan dengan garam dan secukup rasa.
5. Masak hingga lobak empuk dan air sedikit kering. Siap dihidang lobak putih tumis dengan nasi.
Tip Ekstra
-Untuk lebih khasiat bagi ibu berpantang, boleh tambah hirisan halia semasa menumis.
-Kalau nak versi lebih pedas, boleh lebihkan cili padi atau guna lada hitam kasar.
Kredit resipi & foto: Izarizayu Idris
Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA