Ada hari-hari tertentu, walau dah berpengalaman memasak, kita tetap boleh tersilap. Sedang sibuk di dapur, garam pun masuk dua kali tanpa sedar — hasilnya, lauk jadi terlalu masin. Tapi jangan risau, lauk anda masih boleh diselamatkan!
Berikut lima cara mudah dan berkesan untuk kurangkan rasa masin dalam masakan:
Kalau masakan berkuah terasa terlalu masin, keluarkan bahan utama seperti ayam, daging atau sayur-sayuran dan bilas di bawah air paip. Kemudian, masukkan semula ke dalam kuah yang telah dicairkan dengan sedikit air kosong. Teknik ini boleh membantu mengurangkan rasa masin secara menyeluruh.
Kentang, beras (dibungkus dalam kain bersih) atau tepung boleh membantu menyerap lebihan garam dalam masakan. Tambahkan ke dalam kuah atau sup dan biarkan mendidih beberapa minit. Karbohidrat ini akan menyerap sebahagian garam, sekaligus mengurangkan rasa masin.
Dalam masakan seperti sambal atau tumisan, rasa masin boleh diseimbangkan dengan sedikit gula atau madu. Gunakan dalam jumlah kecil dan rasa dahulu. Gula bukan sahaja menyeimbangkan rasa, tetapi boleh menaikkan kelezatan hidangan.
Masakan berkuah boleh ‘diselamatkan’ dengan menambah air, stok tanpa garam, atau bahan cecair lain yang sesuai seperti susu (untuk masakan berkrim) atau sos tomato. Tambah perlahan-lahan sambil rasa hingga capai tahap kemasinan yang seimbang.
Asid dari jus lemon atau limau nipis mampu menyeimbangkan rasa masin dalam masakan. Perah sedikit sahaja, terutamanya untuk hidangan seperti tomyam atau asam pedas. Ia bukan sahaja kurangkan rasa masin, tapi beri kesegaran tambahan.
Tersalah masukkan garam bukan bermakna lauk perlu dibuang. Dengan lima langkah mudah ini, anda boleh selamatkan hidangan dan mungkin juga menjadikannya lebih sedap dari biasa. Selamat mencuba!