Makan

Kuih Kaswi Gula Merah Paling Sedap, Lembut Bergoyang & Confirm Jadi!

Share

Sedapnya Kuih Kaswi Gula Merah. Lembut, lemak manis dan makan pula dengan kelapa parut, memang buka selera. Bagi anda yang nak cuba belajar buat kuih ni, resipi Kuih Kaswi Gula Merah perkongsian opah Mas Cotek tentunya antara yang terbaik yang boleh dicuba.

Resipi ni hasilnya memang lembut dan bergoyang. Bila dah sejuk pun masih lembut. Pasti puas hati. Tekstur yang kenyal lembut dengan rasa manis gula merah menjadikan Kuih Kaswi Gula Merah antara kuih tradisional yang tak pernah jemu dimakan.

Cara Masak Kuih Kaswi Gula Merah Paling Sedap

Bahan-bahan:

  • 2 cawan tepung gandum
  • 1/2 cawan tepung ubi
  • 3/4 cawan gula
  • 1 cawan gula merah atau gula perang
  • 5 cawan air
  • 3/4 sudu teh kapur makan – campur dengan 3 sudu makan air

(Guna cawan metrik untuk sukatan yang tepat)

Cara Memasak:

  1. Daripada 5 cawan air, panaskan sekejap 2 cawan air untuk larutkan gula dan gula perang. Bila semua dah larut, tapis dan sejukkan.
  2. Dalam bekas yang besar, masukkan air gula dan baki air tadi bersama bahan-bahan lain. Kacau sebati dan barulah dimasukkan air kapur yang telah dicampur air.
  3. Jangan terlebih guna air kapur. Nanti kuih akan rasa pahit dan juga keras.
  4. Didihkan air dalam periuk kukusan dan alas penutup pengukus dengan kain tuala untuk elakkan air menitik ke atas permukaan kuih yang akan dikukus nanti.
  5. Oles acuan dengan sedikit minyak masak dan barulah dituangkan adunan kuih.
  6. Kukus kuih guna api sederhana selama 30-40 minit bergantung pada saiz loyang yang digunakan.
  7. Bila kuih masak, sejukkan terlebih dahulu sebelum dipotong.
  8. Gaul potongan Kuih Kaswi Gula Merah dalam kelapa muda parut yang telah digaul dengan sedikit garam dan gula (jika suka). Boleh juga gaul dengan kelapa parut kosong kerana kuih sudah mempunyai rasa manis.

9. Sedia untuk dinikmati.

Tips Penting Supaya Kuih Kaswi Gula Merah Jadi Lembut

Untuk mendapatkan hasil Kuih Kaswi Gula Merah yang lembut dan tidak keras, pastikan sukatan air dan tepung adalah seimbang. Jangan tergesa-gesa ketika mengacau adunan supaya tidak berketul.

Selain itu, penggunaan air kapur perlu dikawal. Terlalu banyak akan menyebabkan tekstur menjadi keras dan rasa sedikit pahit. Teknik kukusan juga memainkan peranan penting untuk memastikan kuih masak sekata.

Kenapa Kuih Ini Jadi Kegemaran Ramai?

Kuih Kaswi Gula Merah bukan sahaja mudah dibuat, malah bahan-bahannya juga ringkas dan mudah didapati. Rasa lemak manis yang seimbang menjadikannya sesuai dimakan pada bila-bila masa, sama ada untuk minum petang atau hidangan santai bersama keluarga.

Kombinasi gula merah yang harum dengan kelapa parut segar memberikan pengalaman rasa yang klasik dan memuaskan. Tidak hairanlah kuih tradisional ini masih menjadi pilihan ramai hingga ke hari ini.

Kredit resipi & foto: Mas Cotek

 

[Sertai Telegram Geng Rasa Share Resipi]

Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA

Published by
Nur