Karnival Pendidikan Sinar Bestari Bakal Berlangsung September Ini

Share

Karnival Pendidikan Sinar Bestari bakal berlangsung bermula 8 hingga 10 September 2023, jam 9 pagi hingga 7 petang di Dataran Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam sekaligus menjadikan ia karnival pendidikan terbesar di Selangor.

Karnival yang mengetengahkan konsep memacu pendidikan generasi digital ini memberi peluang dan pendedahan kepada pelajar dan guru mengenai pembelajaran luar bilik darjah.

Menurut pengarah projek, Meen Tahrin, karnival ini merupakan karnival pendidikan terbesar yang pernah dianjurkan di negeri Selangor. Tambahnya lagi, karnival ini merupakan kerjasama di antara Sinar Harian, Sinar Bestari dan juga Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor.

“Karnival ini terbuka kepada orang ramai dan paling penting, masuk adalah PERCUMA. Para pengunjung terutama pelajar sekolah boleh menyertai pelbagai pertandingan yang bakal diadakan nanti.

“Pada masa yang sama, penglibatan pelbagai agensi kerajaan pastinya memberi sedikit kelainan dalam karnival pendidikan ini kerana ia dapat melihat dengan lebih dekat peranan masing-masing,” ujar Meen Tahrin yang juga merupakan Editor Eksekutif Gaya Hidup dan Hiburan Sinar Harian.

Karnival ini dilihat turut menjadi platform kepada ibu bapa dan juga masyarakat dalam mengenali lebih dekat dunia pendidikan yang berasaskan digital pada hari ini. Karnival Pendidikan Sinar Bestari yang bakal berlangsung selama tiga hari ini pastinya menyediakan pelbagai aktiviti menarik kepada para pengunjung.

Antaranya, demo Unit Beruniform daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Bomba; Pameran Digital Skil dan Kerjaya serta 60 pempamer yang lain seperti Planetarium Negara, Farm Fresh, AirAsia Academy, Grup Buku Karangkraf, Petrosains, Les’ Copaque dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).

Selain itu, turut berlangsung SinarPlus Makan Fest, rumah hantu, uji bakat TV Pusat Sumber Sekolah (TV PSS) serta zoo mini dan kereta kuda yang disediakan kepada orang ramai yang hadir.

Untuk maklumat lanjut, layari sinarbestari.sinarharian.com.my.

IKLAN