Sedapnya Karipap Kentang Daging homemade ini memang tidak dapat dinafikan. Kulitnya yang rapuh serta inti yang enak menjadikan ia sebagai hidangan minum petang yang sangat sempurna. Bagi anda yang gemar makan karipap, resipi perkongsian saudari SuRiani Rahim ini boleh anda cuba sendiri di rumah.
Gabungan kentang, daging dan telur rebus menjadikan setiap gigitan penuh rasa dan memuaskan. Lebih menarik, cara penyediaannya juga tidak terlalu sukar dan sesuai untuk dicuba oleh semua.
Resipi Karipap Kentang Daging Homemade
Bahan Kulit Karipap
- 1kg tepung gandum
- 1/2 cawan minyak masak (dipanaskan sekejap)
- 3 sudu makan marjerin
- 1/2 sudu teh garam
- Air secukupnya
Bahan Inti
- 15 biji ubi kentang (kupas kulit & potong dadu)
- 100gm daging (potong nipis & kecil)
- 2 paket kecil rempah kari
- 10 tangkai cili kering (kisar halus)
- 1 biji bawang besar (hiris)
- 4 ulas bawang putih (hiris)
- 1-2 tangkai daun kari (hiris)
- Garam dan gula secukup rasa
- Air secukupnya (jika perlu)
- Minyak untuk menumis
- Telur rebus (dibelah empat)


Cara Memasak Karipap Kentang Daging
Penyediaan Inti
- Panaskan minyak dan tumis bawang besar, bawang putih dan daun kari hingga wangi dan sedikit garing.
- Kemudian masukkan daging, cili kisar dan rempah kari. Masak sehingga bahan menjadi garing dan sebati. Daging boleh direbus terlebih dahulu, tetapi jika dihiris nipis, ia boleh terus dimasak.
- Masukkan ubi kentang, kemudian perasakan dengan garam serta gula secukupnya. Jika inti kelihatan kering, tambahkan sedikit air.
- Masak sehingga kentang dan daging empuk. Setelah siap, padamkan api dan biarkan inti sejuk sepenuhnya.


Penyediaan Doh
- Satukan tepung gandum, marjerin, minyak masak dan garam. Gaul sehingga sebati.
- Masukkan air sedikit demi sedikit sehingga doh menjadi tidak melekat di tangan. Jika doh terlalu lembik, tambahkan sedikit tepung.


Membentuk dan Menggoreng
- Bahagikan doh kepada beberapa bahagian kecil dan canai sehingga leper.
- Letakkan inti secukupnya di tengah doh dan masukkan sepotong telur rebus.


3.Kelim tepi doh dengan kemas mengikut kreativiti anda.


4. Panaskan minyak dalam kuali dan goreng sehingga keemasan dan garing.
5. Angkat dan toskan minyak sebelum dihidangkan.


Tips Karipap Lebih Rangup & Tahan Lama
Untuk mendapatkan hasil Karipap Kentang Daging yang lebih rangup, pastikan minyak cukup panas sebelum menggoreng. Selain itu, jangan terlalu padatkan inti kerana ia boleh menyebabkan karipap pecah semasa digoreng.
Jika ingin menyimpan, karipap ini juga sesuai untuk dibekukan. Susun dalam bekas dan simpan dalam peti sejuk beku. Apabila ingin memasak, goreng terus tanpa perlu dinyahbekukan terlebih dahulu.
Resipi ini bukan sahaja sesuai untuk minum petang, malah boleh dijadikan hidangan untuk majlis atau jualan. Rasanya yang kaya dengan rempah pasti membuatkan sesiapa sahaja jatuh cinta.
Kredit resipi & foto: SuRiani Rahim
[Sertai Telegram Geng Rasa Share Resipi]
Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA: