Antara episod Anak Emak Anak Bapak yang dinantikan adalah episod yang menampilkan pelakon drama popular Jasmin Hamid bersama anak bujangnya, Ian Haziq Macquistan. Manakan tidak, Haziq pernah diperkatakan sebagai jejaka hot apabila Jasmin berkongsi gambar berdua dengan anak bujangnya itu di instagram.
Bertubuh sasa dengan wajah tampan, apabila perlu memasak pula di dapur, maka ramailah yang suka tengok. Kali ini dalam episod RASA Anak Emak Anak Bapak, Jasmin ‘mendera’Haziq dengan memintanya masak hidangan siput sedut masak lemak. Menariknya dalam resipi ini, Jasmin tidak menggunakan bawang dan minyak masak.
Menurut Jasmin, tanpa menggunakan bawang dan minyak hidangan itu lebih sihat. Tak perlu tumis pun. Yang penting adalah santan itu perlu dimasak dengan betul supaya tak sakit perut. Selain itu, siput sedut itu pula perlu dipotong dengan betul supaya boleh disedut dengan mudah.
Jasmin turut menasihatkan Haziq supaya memasak dengan penuh kasih sayang.
“Masa masak tu kenalah berselawat supaya hidangan tu bawa berkat pada yang masak dan yang makan. Kasih sayang pun bertambah. Sebab itulah air tangan mak-mak ni jadi pengerat kasih sayang dengan anak-anak,”ujarnya.
Tetamu undangan pada episod ini ialah kawan baik Jasmin sendiri iaitu Liza Abdullah. Memang terhibur dengan celoteh dua sahabat ini. Apatah lagi bila Liza konon-konon terpikat dengan anak bujang Jasmin.
OK, RASA kongsikan resipi hidangan siput sedut masak lemak gaya Jasmin Hamid yang dimasakkan sendiri oleh Haziq. Selamat mencuba korang!
SIPUT SEDUT MASAK LEMAK GAYA JASMIN HAMID
BAHAN-BAHAN
2 inci kunyit
10 tangkai cili padi
1 sudu kecil serbuk kunyit
2 cawan santan
Air secukupnya
1 mangkuk siput sedut | dipotong hujungnya
1 keping asam keping
2 tangkai serai
2 helai daun kunyit | dihiris kasar
Garam dan gula secukup rasa
CARA MEMBUAT
1. Kisar kunyit dan cili padi.
2. Panaskan periuk dan masukkan bahan kisar tadi bersama serbuk kunyit.
3. Masukkan santan. Biarkan santan mendidih seketika.
4. Masukkan siput sedut. Tambahkan air. Biarkan mendidih.
5. Masukkan asam keping, serai dan daun kunyit.
6. Masukkan garan dan gula. Biarkan didih seketika.
7. Matikan api dan sedia dihidang.
Selamat mencuba!
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI