Gabungan Lazat Ikan Percik & Kerabu Jantung Pisang: Menu Kampung Pembuka Selera

Share

Tak ada yang lebih menggoda selera selain hidangan lauk kampung asli yang segar dan penuh rasa. Resipi gabungan Ikan Percik Terengganu bersama Kerabu Jantung Pisang ini memang pilihan terbaik untuk makan tengah hari atau jamuan santai bersama keluarga.

Resipi asli yang dikongsi oleh Muliadi Ramli ini mudah diikuti dan memberikan hasil yang padu – kuah percik pekat beraroma, ikan kembong bakar yang wangi, serta kerabu segar yang menyegarkan!

IKAN GOLEK @ PERCIK TERENGGANU

BAHAN-BAHAN:

  • 3 ekor ikan kembong saiz besar (dibersihkan, dilumur kunyit & garam)

  • 1 biji kelapa (ambil santan pekat)

  • 1 sudu besar halba

  • ½ keping gula Melaka

  • Garam dan gula secukup rasa

  • Perasa (optional)

  • 2 asam keping

  • ½ sudu besar tepung ubi (penambah kilauan pada kuah)

BAHAN KUAH PERCIK:

  • 4 biji bawang merah

  • 2 ulas bawang putih

  • 2 inci kunyit hidup

  • 1 inci halia

  • 6 cili kering (buang biji, rendam air panas)

  • 2 batang serai (1 diketuk, 1 dimayang untuk kisar)

  • Belacan sebesar hujung jari

CARA MASAK:

  1. Kisar semua bahan kuah kecuali serai yang diketuk. Tuang santan dan panaskan hingga mendidih dengan api sederhana.

  2. Masukkan serai yang diketuk, kacau selalu supaya tidak pecah santan.

  3. Bila mendidih, masukkan bahan kisar, kacau sebati. Tambah gula Melaka, garam, asam keping dan perasa

4. Kecilkan api dan terus kacau hingga kuah menjadi pekat dan berkilat. Masukkan halba, kacau lagi dan tutup api.

5. Bakar ikan kembong (saya sarankan guna dapur arang untuk aroma smoky terbaik) hingga separuh masak.

6. Sapukan kuah percik ke ikan sambil dibalik-balikkan supaya kuah rata dan ikan tidak hangus.

7. Bakar hingga ikan masak sepenuhnya dan kuah pekat menyerap ke dalam ikan.

8. Hidangkan ikan percik bersama kuah untuk celupan extra sedap!

 

KERABU JANTUNG PISANG

BAHAN-BAHAN:

  • 1 biji jantung pisang (dibuang kulit keras, potong dan direndam air garam, rebus dengan asam keping hingga empuk)

  • 2 cawan kelapa parut muda

  • 3 ekor ikan selayang (bakar atau rebus, ambil isi)

  • 1 genggam ikan bilis goreng rangup

  • 3 biji bawang merah

  • 1 ulas bawang putih

  • 1 sudu besar lada hitam (ditumbuk lumat)

  • 1 batang serai (ditumbuk halus)

  • 5 biji cili padi (hiris nipis)

  • 1 biji limau nipis

  • Garam, gula dan perasa secukup rasa

  • 3 batang kacang panjang (potong kecil)

CARA-CARA:

  1. Tumbuk lada hitam, bawang merah, bawang putih hingga lumat. Masukkan isi ikan ke dalam tumbukan, kacau rata.

  2. Panaskan kuali, goreng kelapa parut muda hingga kering airnya, jangan sampai berubah warna.

3. Campurkan isi ikan tumbuk bersama kelapa goreng, aduk rata.

4. Masukkan jantung pisang yang sudah direbus dan kacau hingga semua sebati.

5. Tambah garam, gula dan perasa. Masukkan kacang panjang, gaul sebati.

6. Hidangkan kerabu di dalam mangkuk, taburkan cili padi dan perah limau nipis untuk rasa segar dan pedas.

Jangan tunggu lagi! Mula sediakan bahan dan cuba resipi gabungan Ikan Percik & Kerabu Jantung Pisang ini hari ini juga. Kongsikan pengalaman anda di media sosial dan tandakan kami untuk kami lihat hasil masakan anda! Selamat memasak dan menikmati hidangan lazat warisan kampung.

Kredit resipi: Muliadi Ramli

 

[Sertai Telegram Geng Rasa Share Resipi]

 

Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA:

 

Tonton lebih banyak video masakan mudah & sedap di Dailymotion @Rasa & Youtube @Majalah Rasa Official

 

 

Published by
muaz