Kunjungan kami di kediaman Datin Fatimah Binti Shuib disambut mesra oleh adik dan anak ketiga beliau. Kami diberitahu Datin masih di dapur menyiapkan juadah, seketika kemudian Datin Fatimah muncul dengan penampilan ringkas.Datin Fatimah mempersilakan kami ke ruang tamu untuk melepaskan lelah seketika sambil kami berbual santai sebelum memulakan sesi foto dan rakaman video seperti dirancang. Beliau memberitahu dua tiga juadah sudah siap dimasak. Hanya tinggal Tauhu Sumbat Sayur Berdaging belum siap kerana menu tersebut akan dikongsikan secara live di Facebook Rasa.
Cerita Datin Fatimah, memang dari kecil beliau minat dan suka memasak. Ditambah pula dapat suami yang jenis suka makan di rumah berbanding di luar. Malah Dato’ Noorazhar Nurdin juga kerap menjemput rakan serta saudara mara makan-makan di rumah.
“ Arwah suami jenis yang tidak suka makanan diperangatkan. Sebab itulah setiap hari menjadi rutin saya masuk dapur tidak kurang daripada empat kali. Pagi sediakan sarapan, tengahari makan tengahari, petang minum petang dan malam sediakan makan malam. Kalau dengan arwah macam cerewet makan. Sebenarnya tidak, cuma beliau mahukan setiap kali makan hidangan itu masih segar dan panas biarpun masakan itu ringkas. Tidak mengapa,” imbau Datin Fatimah akan arwah suaminya.
TANGKAS DI DAPUR
Bila melangkah ke ruang dapur, Datin segera menggenakan apron sambil dibantu oleh adiknya Mimi . Beliau memulakan demo dengan memasak pulut lemak untuk ketupat palas, kemudian menyediakan bahan untuk tauhu sumbat sambil menunggu pulut itu sejuk untuk dibungkus.
Ternyata beliau cekap di dapur membuat kerja dua tiga kerja dalam dalam satu masa. Malah dalam kesibukan itu Datin Fatimah sempat melayan segala pertanyaan anak perempuan ketiganya Afriena Irdina, yang sentiasa mengekorinya sepanjang di dapur.
“Jom saya tunjukkan macam mana nak bungkus ketupat palas. Saya belajar balut ketupat ni sejak zaman sekolah lagi kerana inilah menu wajib keluarga saya di Kedah. Kalau di utara, menu raya mesti ada Ketupat Palas, Laksa, Nasi Daging dan Bihun Sup. Lauknya Gulai Daging atau Udang.
“ Selepas berkahwin, barulah saya pandai makan Rendang Daging, Sambal Goreng Jawa, Sambal Kacang, Masak Lodeh, Lontong, Soto dan segala macam makanan. Sebagai isteri, saya belajar masak masakan kegemaran suami,” cerita Datin Fatimah yang juga pandai menyediakan hidangan masakan Jawa.
Selepas berkahwin, Datin Fatimah secara automatik juga bertanggungjawab menyediakan ketupat palas yang turut digemari oleh suami dan keluarga sebelah suami kerana setiap kali raya beliau, suami dan anak-anak akan beraya di Klang, dahulu sebelum balik beraya di Kedah.
Sambil menunggu ketupat palas yang dikukus masak, Datin Fatimah kembali ke dapur untuk menyediakan tauhu sumbat. Tidak sampai lima minit inti siap ditumis. Sambil memanaskan minyak, Datin Fatimah segera menyumbat tauhu dengan inti, kemudian dicelup dalam telur dan digoreng. Ternyata ia mudah dan ringkas.
“Anak-anak suka tauhu sumbat inti sayur tapi khas untuk hari ini saya sediakan tauhu sumbat inti daging kisar. Tauhu sumbat ini sedap dihidangkan dengan sos cili,” cerita Datin Fatimah sambil menyumbat dan menggoreng tauhu sumbatnya.
Habis sahaja menggoreng tauhu, saya mencuba satu, makan panas-panas dengan sos pedas manis yang disediakan sendiri oleh beliau. Ditambah pula dengan tauhu yang ranggup, memang terbaik sebagai kudapan apptizer.
KEMBALI BERNIAGA
Selesai segala urusan memasak, penulis sempat makan semeja bersama Datin dan anak-anak, Afreal Idris,10, Afrieyan Idris,8, Afriena Irdina, 5 dan Afriessa Irdina,3 tahun. Sambil melayan anak-anak makan, Datin Fatimah memberitahu kini beliau menjalankan perniagaan produk kecantikan dan baru sahaja membuka sebuah restoran.
IKLAN
“Semasa arwah ada, saya lebih menumpukan tanggunjawab pada keluarga, terutama mengguruskan anak-anak yang masih kecil. Tapi sekarangn yang bongsu pun sudah tiga tahun, jadi saya bolehlah menjalankan perniagaan dari rumah secara online.
“Sudah sampai masanya saya kembali berjinak-jinak dengan perniagaan, buat masa sekarang saya telah membuka sebuah restoran stimboat di Kedah. Untuk perniagaan online saya mengusahakan produk kecantikan BFF (Be Fair & Flawless) dengan bantuan adik saya Mimi,” ujar Datin Fatimah yang tetap mengutamakan kepentingan anak-anak sebagai nombor satu sebelum pergi jauh dalam perniagaan.
RESIPI:
Tauhu Sumbat Daging
TAUHU SUMBAT DAGING
BAHAN-BAHAN:
10 biji 10 | potong dua bentuk tiga segi
200gm daging kisar
1 batang lobak merah | potong dadu halus
1 biji bawang Holland
3 sudu serbuk kari campur
1 sudu kecil garam
1 sudu kecil perasa
2 sudu minyak masak
2 biji telur
1 sudu kecil minyak ikan
CARA MEMASAK:
Panaskan minyak dan goreng semua tauhu sehingga keperangan.
Kemudan sejukkan tauhu dan dibelah dua. Ketepikan.
Korek dan keluarkan isi tauhu, kemudian hancurkannya hingga halus.
Untuk menyediakan inti: Panaskan minyak dan tumis bawang ,lobak merah sehingga naik bau
Masukkan daging dan isi tauhu yang telah dihancurkan tadi, tumis sehingga masak.
Perasakan dengan garam, serbuk kari campur dan perasa.
Apabila sudah masak ambil kulit tauhu yang telah dikorek isi tadi kemudian sumbat dengan inti yang telah siap tadi.
Panaskan minyak dalam kuali.
Sementara itu, pecahkan telur, kemudian peraakan dengan sos ikan dan dipukul hingga sekata.
Celup tauhu yang telah disumbat intinya ke dalam teluar dan goreng sehingga keperangan.
Tauhu sedia dihidangkan bersama sos cili Thai.
INFO CHEF: Tauhu ini sangat enak dan ranggup di makan panas-panas.
Zaman dahulu mana ada jual rempah ‘instant’ paket. Cerita Datuk Hjh Fahariyah Hj Mohd Nordin di zaman kanak-kanaknya dahulu rempah masakan biasanya dibeli di kedai India yang menggiling sendiri di kedai mereka.
Biasanya arwah datuknya akan membeli rempah ratus segar dan akan menghantar ke kedai ini untuk digiling. Bancuhan dan sukatannya diolah sendiri olehnya. Trend rempah giling cukup popular di zaman dahulu lebih -lebih lagi sebelum kemerdekaan .
Menurut Ahli Dewan Undangan Negara ini rendang Johor warisan Tok Din (nama ayah beliau Hij Nordin Mohd Nor) resepinya ‘diturunkan’ dari arwah datuknya yang handal memasak lauk pauk Raya. Hidangan ini bagaikan sajian wajib di Aidilfitri dan AidilAdha .
“Rutin raya kami selepas solat Raya kami akan bergilir samada raya pertama di rumah ibu bapa mentua di Petaling Jaya atau di rumah ibu bapa saya di Johor Baharu. Bergantung kepada cuti, kadang-kadang berpagi raya di PJ dan sebelah petangnya ke Johor Bahru,” ujar beliau mengenai rutin beraya beliau suami isteri.
Jika di PJ mereka akan menikmati juadah rendang tok bersama lemang, bila ke Johor Bahru pula sajian pagi adalah rendang Johor dan lodeh
Menjadi wakil golongan wanita muda di Dewan Negara bekerja, di rumah ‘kerjayanya’ adalah ibu kepada dua cahaya mata Farah Alisah, 6 tahun dan Emir Hussain, 2 tahun serta suri hati kepada Amirul Hakim Manan .
Jom kita cuba Rendang Tok Din yang lazat ni dan sajian lodeh. Min dah cuba.
RENDANG TOK DIN
BAHAN-BAHAN
1kg daging lembu
40 gm lengkuas | diparut dan perah,ambil hampas sahaja
150 gm kerisik
4 biji pelaga
1 biji bunga lawang
2.5 sm kulit kayu manis
2 keping asam keping
10 gm rempah kari daging | jadikan pes
Gula melaka secukupnya
Garam dan gula secukupnya
2 liter santan
Bahan A ( rempah goreng kering) :
20 gm ketumbar | disangai
10 gm jintan putih | disangai
4 gm lada hitam
16 gm lada kering
Bahan B (bahan Kisar):
60gm serai
10 gm halia
400gm bawang merah
20gm bawang putih
CARA MEMASAK ;
1. Pijarkan minyak dan tumiskan rempah pelaga, kulit kayu manis dan bunga lawang.
2. Kemudian masukkan bahan B dan tumis hingga wangi, masukkan lengkuas, rempah kari daging dan tumis hingga pecah minyak .
3. Kemudian masukkan bahan A dan kacau sebati.
4. Masukkan daging dan separuh santan ke dalam periuk, dan kacau sebati bahan-bahan dan masak hingga daging empuk. Masukkan asam keping dan perasakan dengan garam, gula melaka dan gula . .
5. Setelah daging empuk masukkan baki santan dan renehkan dengan api perlahan.
6. Biarkan di atas api kecil, masak sehingga kering dengan dikacau sekali sekala.
7. Sajian siap untuk dihidang.
SAYUR LODEH
BAHAN BAHAN:
4 biji terung putih atau hijau | dibelah 2 dan dikerat 4)
10 batang kacang panjang | dihiris serong
300gm rebung
4 keping tauhu kering | direndam dan dipotong dadu
1 ikat soo hoon | direndam dan dipotong 2.5sm panjang
300gm kentang | dipotong dadu
30gm udang kering |direndam dan ditumbuk halus
500ml santan pekat
3 batang serai | dititik
4 helai daun salam |jika ada
4 biji cili merah
Garam dan gula secukup rasa
BAHAN KISAR:
2sm kunyit hidup
2.5sm halia
10 ulas bawang merah
6 ulas bawang putih
Sedikit belacan
CARA MEMASAK
1.Masukkan semua bahan-bahan ke dalam periuk kecuali garam.
2.Masak dan biarkan mendidih dengan selalu dikacau supaya tidak pecah santan.
3.Apabila hampir masak, masukkan garam dan gula secukup rasa.
4.Kacau sebentar dan tutup api.
5.Siap untuk dihidang.
Air tangan VIP kali ini mendekati Ketua Penerangan Wanita Parti Keadilan Rakyat Malaysia (PKR) Selangor merangkap Ketua Biro Ekonomi Wanita PKR Malaysia. Dalam masa yang sama wanita ayu ini juga adalah ahli Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). Namun dalam kesibukan menggalas tiga tanggungjawab ini, Datin Anizan Othman tetap menjadikan aktiviti memasak sebagai rutin hariannya di rumah. RASA sempat menikmati juadah air tangannya yang enak.
.
Tiga juadah sudah dihidangkan adalah Rendang Kerang Semadi, Udang Petai Tempoyak Bonda pencuci mulut Sagu Sayang Bermandi Santan. Wah, hebat sungguh ‘penjenamaan’ semula nama resipi olahan Datin Anizan, puitis juga orangnya.
Untitled design (19).
“Resipi yang saya masak hari ini kesemuanya kesukaan anak-anak yang juga penggemar makanan laut . Sebenarnya semua orang boleh memasak, orang tak pandai masak pun boleh buat. Nak masak ni kena rajin, antara nak dengan tak hendak sahaja. Saya pun taklah pakar sangat dalam bab memasak tetapi kita kena ambil tahu hal memasak ni,” kata ibu kepada empat cahaya mata yang sudah dewasa dan remaja.
Ceritanya lagi arwah ibunya memang pandai memasak. “Arwah taklah mengajar saya secara langsung dan tidak pernah mendesak anak memasak, tetapi ibu gemar menegur jika ada yang terkurang rasa setiap kali menikmati masakan saya. Alhamdulillah, ibu memang suka masakan saya, dia beri kepercayaan penuh dalam bab memasak ini kepada saya, “ujarnya lagi yang baru ‘kehilangan’ ibunya pada tahun lalu.
Di antara petua memasak yang menjadi amalannya ialah bila memasak rendang batang serai hanya diketuk tetapi jika untuk daging serai perlu dikisar. Kerang juga perlu dibasuh sebelum rebus, dan usah basuh selepas mengopek kerana ia menyebabkan kerang hilang manisnya. Bagi udang masak tempoyak pula Datin Anizan lebih suka menggoreng petai sebentar sebelum dimasukkan dalam masakan untuk menghilangkan rasa pahitnya.
Bagi isteri kepada ahli perniagaan Dato Rosdin Datuk Mohd Yusof, 54 tahun ini beliau sentiasa mementingkan selera suami dan anak-anak apabila memasak. Air tangan isteri dan ibu itu juga mungkin antara penguat kasih sayang yang menceriakan keluarga bahagia ini.
RENDANG KERANG SEMADI
BAHAN-BAHAN :
2kg kerang | direbus, kopek dan ambil isi
1 biji kelapa | dibuat santan pekat
2 sudu makan kerisik
1 sudu makan kicap manis
1 helai daun kunyit | diracik halus
3 helai daun limau purut
2 batang serai | diketuk
2 sudu makan minyak masak
Garam secukup rasa
Sedikit air asam jawa
Bahan kisar :
3 sudu makan cili kering
5 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1. 3sm halia
1.3 sm kunyit hidup
CARA MEMASAK :
Pijarkan minyak dan tumiskan bahan kisar, bila pecah minyak masukkan kicap manis
Masukkan air asam jawa.
Masukkan kerisik, santan dan serai.
Bila santan hampir kering masukkan kerang dan garam secukup rasa
Kemudian masukkan daun kunyit dan daun limau purut.
UDANG PETAI TEMPOYAK BONDA
.
BAHAN-BAHAN :
1kg udang saiz sederhana
3 papan petai dibuang kulit | digoreng separuh masak
½ cawan tempoyak
½ cawan santan
½ cawan air
3 sudu makan minyak masak
1 helai daun kunyit | diracik
½ sudu gula
Garam secukup rasa
Bahan tumbuk :
1.3sm kunyit hidup
1.3sm halia
10 biji cili padi
3 ulas bawang putih
5 ulas bawang merah
CARA MEMASAK :
Pijarkan minyak dan tumiskan semua bahan tumbuk
Masukkan air, santan dan tempoyak
Bila pecah minyak dan sedikit kering masukkan gula dan petai
Kemudian masukkan udang, garam dan daun kunyit
SAGU SAYANG BERMANDI SANTAN
BAHAN-BAHAN :
300gm sagu mata ikan
Sedikit Pewarna merah
Santan pekat secukupnya
Secubit garam
3 ketul gula Melaka
CARA MEMASAK :
Sagu dibasuh bersih, kemudian direbus di atas api sederhana.
Masukkan pewarna merah
Didihkan gula melaka dengan setengah cawan air, kemudian masukkan daun pandan.
Kali ni Min nak berkongsi cerita personaliti VIP yang cantik bergaya ini. Melihat penampilannya yang glamour susah Min nak bayangkan keadaan Datin Dr Ira Ghani atau nama sebenarnya Nor Zaina Ghani ni bila sibuk di dapur.
Sebaik kamera diketik, laju sahaja Datin Ira , 41 tahun, memasak siap boleh bercerita lagak gaya seorang pengacara rancangan tv. Memanglah sebab wanita jelita ini dulu adalah bekas pengacara TV RTM dan pernah juga berlakun dalam drama sebagai pelakun undangan.
Melihat ketangkasannya, sukar dipercayai Pengarah Urusan Positive Image Resources dan Penceramah Motivasi Keusahawanan ini satu ketika dahulu tidaklah semahir sekarang bila memasak.
Namun sekarang sebut sahaja, apa masakan yang diingini oleh suami beliau Prof. Datuk Dr Ibrahim Ahmad, 52 tahun, dan dua ‘puteranya’ Muhammad Danish Irfan, 19 tahun serta Muhammad Danish Roshan, 15 tahun semuanya mampu disediakan.
Di zaman remajanya Datin Ira juga adalah bekas olahragawan sekolah yang seringkali mewakili Pahang. Beliau juga memiliki Diploma Kecantikan dari Open University, padanlah solekannya kelihatan begitu alami dengan sapuan yang ‘flawless’.
Okay, berbalik bab kembara masakannya, ni 10 kisah menarik Datin Ira sehingga menjadi hebat memasak kini. :
1. Boleh memasak sejak tingkatan 1 sebab duduk di asrama sekolah. Mula serius memasak setelah berkahwin semasa berusia 20 tahun.
2. Suami beliau Prof. Datuk Dr Ibrahim yang pernah bekerja di bahagian F&B hotel ternama adalah pengkritik masakannya yang paling ‘pedas’.
4. Datin Ira Ghani dan keluarga suka masakan bersambal. Suaminya pula ‘pencinta’ kuah kari terutamanya kari ikan, ni baru betul-betul ‘tekak’ orang Kedah.
5. Datin Ira cukup suka dengan kuah labu dengan sambal belacan. Anak-anak pencinta makanan laut.
6. Kenangan lucu pernah masak sardin tuang terus dari tin. Ini hidangan ujian pertama ketika mula berkahwin.
7. Amalannya jika mahu cepat pandai masak , kena kerap memasak kerana ‘Practice Makes Perfect’.
8. Mengibaratkan memasak sama seperti menyolek. “Kena pandai blend, walaupun sekadar telur masak kicap kena ada skil dan tahu cara nak bawa masakan itu.”
9. Mengacau masakan arah lawan jam.
10. Meletakkan garam dalam masakan , sejurus sebelum tutup api untuk elakkan lauk cepat basi.
“Hidup kita singkat, jadi nikmatilah kehidupan ini dengan gembira. Bagi saya kejayaan bukan diukur daripada berapa banyak duit yang kita ada tetapi bagaimana kita mengubah cara hidup. Yang penting segala pengalaman seharusnya menjadikan kita lebih kuat , tabah dan bersyukur dengan kehidupan,” pesanan Datin Ira kepada pembaca RASA untuk resipi hidup bahagia. Wow. inilah amalan kehidupannya, patut lah Datin Ira awet muda dan sentiasa manis wajahnya.
Nah, ini resepi ringkas untuk wanita berkerjaya. Ini sajian kegemaran keluarga Datin Ira untuk followers RASA :
AYAM SAMBAL DAUN KARI
BAHAN-BAHAN:
1/2 ekor ayam |, digaul dgn garam kunyit dan digoreng hingga masak
6 sudu makan cili kisar
1 sudu makan asam jawa | dicampur dengan setengah cawan air
1 biji bawang besar | dipotong bulat
2 batang serai | dititik
3 tangkai daun kari
Garam secukup rasa
Gula secukup rasa
Bahan-bahan ditumbuk :
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
CARA MEMASAK :
1.Panaskan sedikit minyak di dalam kuali. 2.Tumis bahan tumbuk serai dan daun kari hingga wangi. 3.Masukkan cili kisar. Tumis hingga pecah minyak dan agak garing. 4.Masukkan air asam jawa. Biarkan mendidih. 5.Masukkan bawang besar, garam dan gula secukup rasa. Gaul rata. 6.Masukkan ayam yang sudah digoren garam kunyit, gaul rata hingga bawang besar layu. 7.Tutup api. Hidangkan.