Carbonara Tanpa Krim, Resipi Original Itali Yang Sedap & Mudah

Share

Kalau sebut spaghetti carbonara, ramai terus terbayangkan pasta bersalut sos putih yang pekat, creamy dan penuh rasa keju. Malah, dalam kebanyakan resipi carbonara yang biasa kita jumpa, krim masakan atau cooking cream sering menjadi antara bahan utama.

Tapi tahukah anda, carbonara tanpa krim sebenarnya lebih dekat dengan cara original hidangan ini disediakan di Itali?

Ya, tekstur berkrim yang menjadi identiti hidangan pasta popular dari Itali ini sebenarnya terhasil daripada gabungan telur, keju, lemak daripada daging dan air rebusan pasta. Teknik memasaknya pula memainkan peranan penting untuk menghasilkan sos yang licin dan berkrim tanpa membuatkan telur bertukar menjadi telur hancur.

Carbonara Asli Berasal Dari Itali

Carbonara cukup sinonim dengan kota Rome dan wilayah Lazio di Itali. Walaupun terdapat beberapa teori mengenai asal-usul hidangan ini, carbonara hari ini dikenali sebagai salah satu hidangan pasta klasik masyarakat Rom.

Versi tradisional lazimnya menggunakan beberapa bahan sahaja iaitu pasta, telur, keju Pecorino Romano, lada hitam dan guanciale, iaitu daging bahagian pipi atau rahang khinzir yang diawet.

Disebabkan bahan tersebut tidak sesuai untuk sajian Muslim, versi resipi kali ini menggunakan smoked beef atau daging salai halal

sebagai alternatif. Rasanya mungkin tidak sama sepenuhnya dengan carbonara tradisional Itali, tetapi teknik penyediaannya masih mengekalkan konsep carbonara tanpa krim.

Carbonara Tanpa Krim Boleh Jadi Creamy?

Inilah bahagian paling menarik tentang carbonara.

Rahsianya terletak pada proses emulsifikasi. Telur dan keju dicampurkan terlebih dahulu sebelum digaul bersama pasta yang masih panas. Sedikit air rebusan pasta yang mengandungi kanji kemudian ditambah untuk membantu menghasilkan sos yang lebih licin, berkilat dan melekat cantik pada setiap helaian spaghetti.

Sebab itulah air rebusan pasta jangan terus dibuang!

Satu lagi perkara penting, campuran telur tidak sepatutnya dimasak terus menggunakan api yang kuat. Haba daripada pasta dan kuali sudah mencukupi untuk membantu memekatkan sos. Jika terlalu panas, telur akan cepat masak dan carbonara boleh bertukar menjadi spaghetti dengan telur hancur.

Nak cuba buat sendiri? Ini resipinya.

Resipi Spaghetti Carbonara Tanpa Krim

Bahan-bahan:

  • 250 gm spaghetti
  • 120 gm smoked beef atau daging salai halal, dipotong kecil
  • 2 biji kuning telur
  • 1 biji telur
  • 60 gm keju Pecorino Romano atau Parmesan, diparut halus
  • 1 sudu kecil lada hitam, ditumbuk kasar
  • Garam secukupnya
  • Air secukupnya untuk merebus pasta
  • ½–1 cawan air rebusan pasta, disimpan untuk membuat sos

Cara Memasak:

  1. Didihkan air di dalam periuk. Masukkan sedikit garam kemudian rebus spaghetti mengikut masa yang disarankan pada bungkusan sehingga mencapai tekstur al dente.
  2. Sebelum spaghetti ditoskan, ambil kira-kira satu cawan air rebusan pasta dan ketepikan. Air berkanji ini penting untuk membantu menghasilkan tekstur sos yang creamy.
  3. Sementara menunggu pasta masak, masukkan smoked beef ke dalam kuali dan masak sehingga sedikit garing serta mengeluarkan lemak. Tutup api dan ketepikan.
  4. Dalam mangkuk berasingan, satukan dua biji kuning telur bersama sebiji telur. Masukkan keju yang telah diparut dan lada hitam. Kacau sehingga menjadi campuran yang pekat.
  5. Masukkan spaghetti yang baru ditoskan ke dalam kuali berisi smoked beef tadi. Gaulkan supaya pasta bersalut dengan lemak dan rasa daripada daging.
  6. Pastikan api sudah ditutup. Biarkan pasta sekitar 20–30 saat jika kuali terlalu panas sebelum menuangkan campuran telur dan keju.
  7. Gaul pasta dengan cepat sehingga semuanya bersalut rata. Tambahkan air rebusan pasta sedikit demi sedikit sambil terus menggaul sehingga terbentuk sos yang licin, berkilat dan creamy. Teknik ini menjadi kunci untuk mendapatkan carbonara tanpa krim yang tidak kering.
  8. Jika sos terlalu pekat, tambahkan lagi sedikit air rebusan pasta. Jangan tuang terlalu banyak sekaligus kerana sos boleh menjadi terlalu cair.
  9. Hidangkan segera dengan taburan tambahan keju dan lada hitam mengikut cita rasa.

Tip Elak Carbonara Tanpa Krim Jadi Telur Hancur

Cabaran utama membuat carbonara tanpa krim ialah mengawal suhu. Selepas pasta dimasukkan ke dalam kuali, pastikan api ditutup sebelum campuran telur dimasukkan. Gunakan haba baki daripada pasta dan kuali untuk memekatkan sos secara perlahan.

Selain itu, parut keju sehalus mungkin supaya ia lebih mudah mencair dan bercampur bersama telur. Air rebusan pasta pula sebaiknya ditambah sedikit demi sedikit sehingga mendapat kepekatan yang diinginkan.

Carbonara yang menjadi sepatutnya tidak terlalu berkuah dan tidak juga terlalu kering. Sosnya perlu kelihatan berkilat, creamy dan menyelaputi spaghetti dengan cantik.

Carbonara Tanpa Krim Simple Tapi Teknik Kena Betul

Walaupun hanya menggunakan beberapa bahan, carbonara tanpa krim sebenarnya membuktikan bahawa hidangan sedap tidak semestinya memerlukan terlalu banyak ramuan. Telur, keju, lada hitam, pasta dan sedikit air rebusan sahaja sudah mampu menghasilkan tekstur yang cukup creamy.

Jadi kalau selama ini anda ingat carbonara wajib ada cooking cream, bolehlah cuba versi ini pula. Rasanya lebih kaya dengan keju, teksturnya lembut dan paling penting, anda dapat belajar teknik membuat carbonara yang lebih dekat dengan cara tradisional Itali.

Sekali dah tahu rahsia carbonara tanpa krim ini, mungkin lepas ini botol cooking cream dah tak masuk dalam senarai bahan carbonara anda!

Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA:

 

Tonton lebih banyak video masakan mudah & sedap di Youtube @Majalah Rasa Official:

 

Published by
Naqiyatul Uzma