Cara Buat Murtabak Daging Homemade Sedap Ala Bazar

Share

Bulan puasa, Murtabak Daging atau ayam adalah antara sajian pembuka selera yang popular. Makan pula dengan kuah bawang cuka, memang sedap tak terkata. Bagi anda yang tercari-cari resipi Murtabak Daging homemade untuk cuba buat sendiri di rumah, resipi perkongsian saudari Leeina Qaliena ni boleh dicuba.

 

RESIPI MURTABAK DAGING HOMEMADE

BAHAN KULIT MURTABAK:

  • 500gm tepung gandum cap sauh
  • 1 sudu teh garam halus
  • 2 sudu makan susu pekat manis
  • 2 sudu makan mentega – dicairkan dan disejukkan terlebih dahulu
  • 1 biji kuning telur – nak guna sebiji telur pun boleh
  • 250ml air suhu biasa

CARA BUAT DOH:

1. Satukan susu, air, kuning telur dan garam. Kacau sebati.

2. Dalam mangkuk berasingan, masukkan tepung dan mentega cair tadi. Ramas tepung hingga menjadi seakan serbuk roti.

3. Tuang air sedikit demi sedikit dan uli hingga doh tidak melekat di tangan. (empunya resipi uli doh guna bread maker)

4. Bila doh sudah sebati dan tidak melekat di tangan, tutup bekas selama 10-15 minit untuk merehatkan doh sebelum proses seterusnya.

5. Ambil doh, timbang berat 50gm. ( total doh akan dapat dalam 17 biji)

6. Bulat-bulatkan doh tadi seperti bola pingpong. Sapukan marjerin atau mentega pada doh dan susu dalam bekas yang telah disapu marjerin.

7. Tutup bekas dan perap doh sekurang-kurangnya 4 jam sebelum ditebar.

8. Prosesnya sama seperti membuat roti canai. Kalau uli malam, esok pagi sudah boleh dicanai. Simpan doh di suhu bilik sahaja.

 

BAHAN INTI MURTABAK:

  • 1 pek daging kisar – empunya resipi guna 3 keping daging burger saiz besar yang dihancurkan
  • 3 ulas bawang putih – tumbuk halus
  • 3 ulas bawang merah – tumbuk halus
  • 1 inci halia – tumbuk halus
  • 3 sudu makan rempah kari daging
  • 4 biji ubi kentang- potong dadu
  • Sedikit kobis dipotong halus
  • 1biji bawang besar potong dadu
  • Garam secukup rasa
  • 1 sudu teh serbuk perasa
  • Sedikit minyak untuk menumis
  • Telur ( empunya resipi guna 2 biji telur untuk sekeping murtabak)

CARA MEMASAK:

1. Panaskan 2 sudu makan minyak dan tumis bahan tumbuk hingga berbau wangi.

2. Masukkan daging. Kacau dan biarkan seketika hingga daging masak.

3. Masukkan rempah dan sedikit air. Masak hingga rempah pecah minyak. Masukkan juga garam dan serbuk perasa.

4. Seterusnya masukkan kentang dan masukkan sedikit air. Tutup kuali untuk cepatkan kentang menjadi lembut.

5. Bila kentang sudah lembut, masukkan bawang besar, hirisan kobis, daun sup dan daun bawang. Kacau hingga masak. Inti siap dan sejukkan.

CARA MEMBUAT MURTABAK:

Untuk proses ini, ada 2 cara:

Cara 1: Boleh terus tuang inti di atas doh yang siap dicanai dan masak atas api seperti memasak roti telur. Cara ini sesuai jika masak guna kuali besar seperti di kedai. Tebar doh, bentang atas kuali, tuang inti, lipat dan terus dimasak.

Cara 2: Masak dulu inti di atas dapur supaya proses membuat murtabak jadi lebih senang dan inti tidak bocor semasa diangkat ke atas kuali. Cara ini lebih senang untuk kita yang buat di rumah dengan kuali yang kecil.

CARA EMPUNYA RESIPI ( UNTUK 1 BIJI MURTABAK)

1. Ambil 2 sudu makan (membukit) inti dan campurkan dengan 2 biji telur. Kacau rata dan tuang atas kuali.

2. Masak inti dan bentukkan segi empat.

3. Ambil doh tadi dan canai @ tebar hingga nipis.

4. Letakkan kepingan telur dan inti yang digoreng tadi di atas doh.

5. Lipat kiri dan kanan, atas dan bawah serta kemaskan. Sedia untuk dimasak.

6. Percikkan sedikit minyak dan terbaikkan murtabak supaya masak sekata.

7. Angkat dan sedia untuk dinikmati bersama Jeruk Bawang.

BAHAN JERUK BAWANG BESAR:

  • 1 biji bawang besar – hiris nipis
  • 2 sudu makan cuka
  • 1 sudu makan gula
  • 1 sudu teh garam
  • 1 sudu teh pewarna rose

CARA MEMASAK:

1. Satukan semua bahan dalam mangkuk, kacau sebati dan simpan dalam chiller sebelum dinikmati bersama murtabak.

Kredit resipi & foto: Leeina Qaliena

ANDA JUGA BOLEH CUBA:

 

IKLAN