
Bawang goreng nampak macam benda kecil dalam masakan, tapi sebenarnya ia boleh jadi “hero” yang menaikkan rasa sesuatu hidangan. Tabur saja atas nasi lemak, bubur, soto, mi goreng atau sup, terus aroma dan rasa jadi lebih sedap. Malah ada juga yang sanggup makan bawang goreng begitu saja sebab terlalu rangup dan wangi.
Namun, ramai juga yang pernah mengalami situasi sama baru saja angkat dari kuali, elok cantik warna keemasan… beberapa minit kemudian terus jadi gelap dan rasa pahit. Ada pula yang baru nak rangup, tiba-tiba hangit dalam sekelip mata. Jadi sebenarnya, kenapa bawang goreng cepat sangat hangit?
Rupanya ada beberapa kesalahan kecil yang ramai tak sedar ketika menggoreng bawang. Bila dah tahu teknik yang betul, barulah bawang goreng boleh jadi cantik, rangup dan tahan lama.
Nak buat bawang goreng sedap, pemilihan bawang pun penting. Kebiasaannya, ramai suka guna bawang merah kecil kerana aromanya lebih kuat dan hasilnya lebih manis selepas digoreng.
Kalau guna bawang besar pun boleh, tetapi teksturnya sedikit berbeza dan kadang-kadang kurang rangup. Apa pun pilihan anda, pastikan bawang masih segar dan tidak lembik.
Ini antara punca utama bawang goreng cepat hangit. Bila hirisan terlalu nipis, bawang akan cepat garing tetapi mudah terlebih masak dalam minyak panas. Akhirnya terus jadi pahit.
Kalau terlalu tebal pula, bahagian luar dah perang tetapi dalam masih lembap dan tidak rangup sepenuhnya.
Cara terbaik ialah hiris bawang secara sederhana nipis dan pastikan saiznya lebih kurang sama supaya masak sekata. Kalau ada slicer atau mandoline, lagi mudah kerja dan hasil lebih cantik.
Ramai yang suka basuh bawang selepas dihiris sebab nak hilangkan lendir atau bau kuat. Sebenarnya langkah ini boleh menyebabkan bawang menyerap air dan susah nak jadi rangup.
Bila bawang masih basah, minyak juga mudah meletup ketika menggoreng. Selain itu, kandungan air yang banyak membuatkan bawang lambat garing dan akhirnya mudah hangit kerana terlalu lama dalam minyak panas.
Lepas hiris, terus boleh lap atau tekan perlahan menggunakan tisu dapur untuk kurangkan kelembapan.
Kesalahan paling biasa ialah guna api besar sebab nak cepat siap. Hakikatnya, bawang goreng perlukan sedikit kesabaran.
Kalau minyak terlalu panas, bahagian luar bawang cepat perang sedangkan bahagian dalam belum sempat kering. Bila ini berlaku, bawang akan bertukar hangit hanya dalam beberapa saat.
Gunakan api sederhana kecil supaya bawang masak perlahan-lahan. Teknik ini membantu kelembapan dalam bawang keluar secara sekata dan menghasilkan tekstur yang lebih rangup.
Nak tahu minyak dah cukup panas atau belum? Cuba masukkan sedikit hirisan bawang. Kalau keluar buih perlahan-lahan, itu tandanya suhu minyak sudah sesuai.
Ini memang penting. Bawang goreng bukan jenis masakan yang boleh ditinggalkan sambil scroll telefon atau buat kerja lain. Ia boleh berubah dari warna cantik ke hangit dengan sangat cepat.
Sentiasa kacau perlahan supaya bawang masak sekata dan tidak berkumpul di satu bahagian. Bila warna mula bertukar kekuningan, anda kena lebih peka sebab proses selepas itu berlaku sangat pantas.
Ramai tunggu bawang jadi perang gelap baru nak angkat. Sebenarnya itu sudah terlambat.
Bawang masih akan terus “masak” walaupun dah diangkat kerana haba panas yang masih ada. Jadi waktu terbaik untuk angkat ialah ketika warnanya baru keemasan muda.
Lepas ditoskan, warnanya akan menjadi lebih cantik dan perang sempurna dengan sendiri.
Selepas angkat dari minyak, terus letakkan atas tisu dapur atau penapis supaya lebihan minyak turun. Jangan simpan dalam bekas ketika masih panas kerana wap akan membuatkan bawang cepat lemau.
Biarkan betul-betul sejuk dahulu sebelum dimasukkan ke dalam balang kedap udara.
Kalau simpan dengan cara yang betul, bawang goreng boleh tahan lama dan kekal rangup berhari-hari.
Ada juga yang suka gaulkan bawang dengan sedikit tepung beras atau tepung jagung sebelum goreng. Petua ini membantu tekstur jadi lebih rangup dan cantik.
Tetapi jangan terlalu banyak kerana ia boleh menyebabkan minyak cepat kotor dan rasa bawang jadi berat.
Satu lagi bonus bila buat bawang goreng sendiri ialah minyaknya yang sangat wangi. Minyak bawang ini jangan dibuang kerana boleh digunakan semula dalam masakan.
Campur dalam nasi goreng, mi goreng, sup atau tumisan memang menaikkan aroma makanan.
Memang lain rasanya!
Nampak mudah, tetapi sebenarnya bawang goreng perlukan teknik yang betul untuk dapat hasil yang cantik dan sedap. Kunci utamanya ialah api sederhana, hirisan sekata dan jangan tunggu terlalu lama sebelum angkat.
Bila dah tahu caranya, bolehlah buat stok bawang goreng sendiri di rumah. Bukan saja lebih jimat, malah rasa dan aromanya juga lebih sedap daripada yang dibeli siap.
Lepas ini bolehlah ucap selamat tinggal pada bawang goreng hangit!
[Sertai Telegram Geng Rasa Share Resipi]
Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA: