Makan

Asam Rebus Daging Paling Padu, Masam Pedas Menyengat Memang Buka Selera

Share

Asam Rebus Daging memang antara lauk kampung yang simple tetapi penuh dengan rasa. Kuahnya masam pedas menyengat, cukup ‘kick’ dan memang ngam dimakan bersama nasi panas. Bila tiba Raya Haji dan dapat banyak daging korban, lauk macam ni memang wajib cuba sebab mudah dimasak tetapi rasanya cukup sedap.

Gabungan daun kesum, asam gelugur dan bahan kisar menjadikan kuah asam rebus ini cukup beraroma. Daging pula direbus hingga lembut dan menyerap segala rasa masam pedas dalam kuah. Memang sekali makan boleh bertambah nasi.

Resipi Asam Rebus Daging Simple Tapi Sedap

Bahan-Bahan

  • 500 gm daging
  • 1 inci halia – diketuk
  • Garam secukup rasa
  • 8 tangkai daun kesum
  • 3 keping asam gelugur
  • 4 cawan air
  • 2 biji tomato – belah 4

Bahan Kisar

  • 10 tangkai cili kering
  • 5 biji bawang merah
  • 1 ulas bawang putih
  • 1 inci kunyit hidup
  • 1 biji buah keras

Cara Penyediaan Asam Rebus Daging

  1. Rebuskan daging bersama halia dan sedikit garam sehingga daging menjadi lembut. Setelah empuk, hiriskan daging kecil dan nipis supaya lebih mudah menyerap kuah.
  2. Masukkan semula daging ke dalam periuk rebusan tadi bersama bahan kisar, daun kesum, asam gelugur, air dan sedikit garam secukup rasa.
  3. Masak menggunakan api sederhana sehingga kuah mendidih dan sebati. Biarkan seketika supaya rasa masam, pedas dan aroma daun kesum benar-benar meresap ke dalam daging.
  4. Masukkan tomato yang telah dibelah empat. Kacau perlahan dan tutup api selepas tomato sedikit layu.
  5. Asam Rebus Daging siap untuk dihidangkan bersama nasi panas dan sambal belacan.

Petua Sedapkan Asam Rebus Daging

Untuk mendapatkan rasa yang lebih padu, pilih bahagian daging yang mempunyai sedikit lemak kerana ia akan menjadikan kuah lebih sedap dan berlemak semula jadi. Jangan terlalu banyak menambah air supaya kuah kekal pekat dan cukup rasa.

Selain itu, penggunaan daun kesum segar sangat membantu menaikkan aroma masakan. Jika suka lebih pedas, boleh tambah cili kering ketika mengisar bahan. Ada juga yang suka menambah sedikit lada hitam untuk rasa lebih berempah.

Asam Rebus Daging ini juga sesuai dimasak lebih awal kerana rasanya akan jadi lebih sedap selepas beberapa jam. Kuah akan menjadi lebih sebati dan daging pula semakin lembut apabila dipanaskan semula.

Kenapa Asam Rebus Daging Jadi Pilihan Ramai?

Lauk kampung seperti ini sentiasa menjadi pilihan kerana menggunakan bahan yang mudah tetapi menghasilkan rasa yang cukup luar biasa. Rasa masam daripada asam gelugur dan pedas cili memang membuka selera terutama ketika makan tengah hari.

Menu ini juga sangat popular ketika musim Raya Haji kerana ramai mencari idea masakan daging yang mudah dan cepat disediakan. Walaupun nampak ringkas, Asam Rebus Daging mempunyai rasa tradisional yang mengingatkan ramai pada masakan air tangan ibu di kampung.

[Sertai Telegram Geng Rasa Share Resipi]

Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA:    

 

Published by
Nur