
Baru berumur 12 tahun, Aisya, menetap di Manchester tapi berasal dari Malaysia telah menyertai pertandingan Junior Bake Off 2022 yang telah melayakkannya ke peringkat akhir. Seramai 16 peserta bertanding demi meraih gelaran Junior Bake Off 2022.
Dengan usaha gigihnya belajar membuat kek bersama ibunya dan mengambil tips khas dari neneknya juga melalui panggilan video sangat membuahkan hasil! Dessert yang disediakan oleh Aisya iaitu biskut berbentuk sate ayam bersama dengan ‘timun’, ‘kuah kacang’, ‘bawang merah’, dan ‘daun pisang’ di atas kek coklat yang bertemakan Dessert Imposter telah melayakkannya ke peringkat akhir. Sangat kreatif kan?! Kalau saya pun tak terfikir dek akal nak cipta kek macam tu, saya tahu makan je!
Looking to fool some dinner party guests? Make some trick chicken satay! Nice work, Aisya. #GBBO pic.twitter.com/8Y6YCsMDv9
— British Bake Off (@BritishBakeOff) January 20, 2022
Jangan lepaskan peluang untuk menonton siri Junior Bake Off Final pada 28 Januari ini nanti.
Pemenang akan membawa pulang trofi kaca berbentuk Cake Stand dan gelaran Junior Bake Off.
Kredit: The Great British Bake Off
Anak Seni Norlie Tamam, Syukur Permintaan Asam Pedas Fuhhlaamak Meningkat Di Musim Covid-19

Baru dilancarkan beberapa bulan, pelakon dan penyanyi, Norlie Tamam boleh berbangga kerana permintaan asam pedas yang dimasaknya mendapat sambutan luar jangkaan. Tempahan semakin meningkat dan dia mulai memikirkan untuk mengeluarkan pes asam pedasnya pada suatu masa akan datang.
“Bisnes asam pedas ini pada awalnya dicadangkan oleh seorang kawan. Sebelum ini saya hanya fokus dengan aiskrim Malaysia yang juga menggunakan nama Fuhhlaamak. Tapi ketika Covid-19 ini, permintaan aiskrim amat berkurangan. Selepas berbincang, kawan menyarankan pada saya untuk buat set nasi dengan lauk asam pedas. Alhamdulillah, ramai rupa-rupanya yang suka dan saya memang masak setiap hari,” katanya.
PERLUAS RESIPI EMAK
Jika dulu ibu kepada Norlie, Mariaty Hussein, selalu memasakkan mereka sekeluarga asam pedas, maka tidak hairanlah apabila resipi asam pedas Fuhhlaamak turut menggunakan resipi yang sama.
“Tak jauh bezanya resipi saya dengan resipi emak. Yang bezanya cuma saya kisar semua bahan tu. Saya kurang gemar kalau dalam masakan berkuah ada bahan yang masih kekal misalnya serai yang diketuk. Jadi saya kisar je semua. Itu style saya,” jelasnya.
Ramai pelanggan yang memberikan respon positif membuatkan Norlie lebih bersemangat untuk terus menjual asam pedas. Ini termasuklah rakan artis yang berkunjung ke gerainya untuk menyokong bisnes yang dibuat.
AISKRIM MALAYSIA DAN WAFFLE
Aiskrim yang sudah siap dibuat.
Norlie telah memulakan perniagaan aiskrim Malaysia sejak 2015. Pada awalnya, dia hanya membuat aiskrim untuk dimakan oleh anak-anak. Namun jiran sekitar rumahnya mulai membeli dan menjadikan Norlie lebih serius berniaga aiskrim.
Tempahan beribu batang aiskrim daripada pelanggan ada kala membuatkan dia tidak menang tangan.
“Saya cerewet dalam bab buat aiskrim. Walaupun dah pakai air penapis, saya tetap masak lagi air itu. Tempahan banyak daripada pelanggan saya anggap ini semua rezeki yang Allah bagi. Kini saya tambah lagi produk jualan iaitu waffle. Permintaan waffle juga boleh tahan. Saya boleh jual sehingga 40 keping waffle dalam masa 4 jam berniaga di bazar,” tambahnya.
HINAAN ANAK SENI BERNIAGA DI GERAI
Norlie aktif memuka gerai di sekitar Gombak dan Selayang.
Norlie sudah lali dengan kata-kata masyarakat yang ada kalanya pandang serong apabila golongan artis berniaga di gerai. Hanya kerana mereka terlibat dengan dunia hiburan yang glamor, mereka dikata hidup senang.
“Ramai yang tak faham. Artis pun manusia biasa. Ada yang senang, ada yang susah. Sekarang ni nak dapat job pun susah. Ada yang kata, time banyak job dulu kenapa tak menyimpan? Saya dah lali dengan semua kata-kata tu.
Biarlah saya berniaga di gerai ke, bazar ke. Saya bekerja. Bukan harapkan bantuan. Orang takkan faham situasi saya tapi saya sedih bila orang persendakan artis yang berniaga kecil-kecilan macam saya.
Bagi saya, artis macam saya memang kena kuat. Situasi zaman sekarang ni macam-macam hal. Kita bukan orang senang. Tak perlu dengar apa orang kata. Orang mampu cakap. Mereka tak lalui apa kita lalui,” ujar Norlie sebak.
Berniaga dari rumah.
CABARAN PENIAGA JALANAN WAKTU COVID-19
Rakan artis, Lan Zailan menyokong bisnes Norlie.
Norlie sememangnya gigih berniaga di gerai dan bazar. Menjual pelbagai barang dagangannya iaitu aiskrim Malaysia, asam pedas, waffle dan rojak buah.
Anak kepada pelakon terkenal, Tamam Idris ini mengakui cabaran yang dihadapi ketika Covid-19 ini memang sangat menekan perasaan sehingga stress dibuatnya.
“Bukak gerai, tak ada orang datang. Kalau ada pun, sikit sangat. Pelanggan takut nak datang dan lebih banyak masa di rumah. Itu belum lagi cerita waktu hujan macam sekarang ni. Pernah khemah tercabut ditiup angin, barang tergolek dan banjir kilat. Semua tu ujian buat saya sebagai peniaga jalanan,” cerita Norlie.
Disebabkan itu, Norlie kini hanya berniaga dari rumah. Delivery dibuat sendiri dan berkolaborasi dengan Food Panda. Hanya hujung minggu sahaja Norlie akan berniaga di bazar dengan membuka gerai.
“Pernah saya balik rumah menangis. Bukan sebab penat terkengkang-kengkang angkat barang. Saya dah biasa hidup susah. Tapi saya sedih memikirkan duit modal dah keluar. Makanan tak ada orang beli sebab hujan lebat. Anak-anak perlukan duit. Saya anggap ini ujian dan Allah nak beri sesuatu yang lebih baik untuk saya,” ceritanya lagi
TETAP ANAK SENI SAMPAI BILA-BILA
Bercerita mengenai kerjaya seninya, Norlie mengakui masih aktif sehingga sekarang selagi diperlukan. Dia juga ada single terbaharu yang dilancarkan di laman youtube. Lagu bertajuk Pendam Rasa ini adalah ciptaan Rosli Ahmad dan lirik oleh Norlie sendiri.
Boleh dengar di sini lagu tersebut.
Buat pembaca RASA, Norlie berkongsi resipi asam pedas Fuhhlaamak. Jom kita try buat.
ASAM PEDAS AYAM FUHHLAAMAK
BAHAN KISAR
Lengkuas
Halia
Serai
Bunga kantan
Bawang putih
Bawang merah
Cili kering
Lada hitam
BAHAN LAIN
Minyak masak
Halba
Asam jawa (bancuh dengan sedikit air)
Ayam
Air
Garam
Gula
Daun limau purut
Daun kesum
Bendi
Tomato
CARA MEMBUAT
1. Panaskan minyak masak. Masukkan BAHAN KISAR dan halba. Tumis sampai pecah minyak.
2. Masukkan air asam jawa dan ayam. Tambah air ikut kepekatan kuah yang dimahukan.
3. Apabila telah mendidih, masukkan garam, gula, daun limau purut, daun kesum, bendi dan tomato.
4. Kacau rata. Biarkan seketika dan matikan api.
Selamat mencuba!
Terima kasih kepada Norlie Tamam
JOM TONTON VIDEO INI
8 Jenis Snek Untuk Anak Sempena Raya Dan Cuti Sekolah, Sedap Dan Sihat!

Bila tibanya cuti sekolah, riuh rendah rumah dibuatnya. Maklumlah, semuanya sedang bercuti. Masa inilah kaum ibu ‘terlebih’ sibuk di dapur sebab kaki makan tengah ramai berkumpul. Memang meriah! Snek antara hidangan ringan yang menjadi kegemaran anak-anak namun kebanyakan snek beku yang dijual di pasaran, kurang bagus untuk kesihatan kerana mengandungi kandungan garam serta MSG yang tinggi.
Bagi anda yang mementingkan kualiti makanan yang dihidangkan, anda boleh menyediakan aneka snek ini secara homemade. Mudah je! Jom cuba.
1. NUGGET AYAM TEMPURA
BAHAN-BAHAN:
- 700gm isi dada ayam | potong kecil
- 2 biji telur
- 5 ulas bawang putih
- 2 biji bawang merah saiz sederhana
- Serbuk lada hitam secukupnya
- 3 sudu makan tepung ubi kayu
- Garam dan perasa ( jika suka) secukupnya
- Tepung goreng serbaguna secukupnya
- Sedikit mentega
CARA MEMASAK:
1. Kisar semua bahan hingga halus. ( boleh guna food processor jika ada. Jika tiada, boleh guna pengisar biasa.)
2. Ambil loyang bersesuaian dan sapukan sedikit mentega.
3. Tuang adunan ke dalam loyang dan kukus selama30 minit.
4. Setelah masak, keluarkan kek nugget tadi dari loyang.
5. Potong kek nugget mengikut saiz yang digemari.
6. Bancuh tepung serbaguna dengan air. Jangan pekat sangat dan jangan cair sangat supaya nugget boleh disalut dengan sekata.
7. Celupkan nugget dalam tepung serbaguna dan goreng hingga garing.
8. Selain goreng, nugget juga boleh di gril.
9. Sedia untuk dinikmati.
Kredit resipi & foto: Noor Liyana
2. CHEWY CHEESE SPINACH
BAHAN-BAHAN:
- 250gm keju Mozarella parut (jika beli yang ketul, parutkan supaya senang cair.)
- 250gm krim keju
- 1 cawan daun bayam racik (daun sahaja tanpa batang.)
- 1 sudu makan mentega
- 1 ulas bawang putih | cincang
- 1 sudu teh lada hitam | tumbuk halus
- 1 sudu teh garam halus
BAHAN SALUTAN:
- 1/2 cawan tepung gandum
- 2 biji telur | dipukul
- 1 cawan serbuk roti oren
Nota:
** Nak tambah isi ayam cincang pun boleh.
** Nak gantikan bayam dengan daun sawi pun boleh.
** Nak guna carrot pun sedap. Caranya ialah parut halus dan perah sikit airnya.
** Nak guna brokoli pun ok. Ambil kepala brokoli tu cincang halus.
** Nak campur pun ok sangat-sangat. Ikut citarasa masing-masing.
CARA MEMASAK:
1. Panaskan kuali, masukkan mentega dan bawang putih. Biar naik bau. Masak guna api perlahan sahaja bagi elakkan bawang garing.
2. Masukkan keju mozarella dan krim keju. Kacau hingga cair.
3. Bila keju dah cair, masukkan daun bayam, lada hitam dan garam secukup rasa. Kacau rata hingga bayam agak layu dan bertukar warna hijau gelap.
4. Masukkan ke dalam bekas bersesuaian yang tidak melekat. Boleh juga sapukan sedikit minyak pada bekas. Jika nak buat bentuk bulat, kepal semasa keju masih panas. Sebab jika dah sejuk, susah nak bentukkan keju tersebut.
5. Tekan-tekan keju supaya rata. Bila dah sejuk, masukkan ke dalam peti sejuk selama 30 minit sehingga set.
6. Bila dah pejal, potong keju menjadi kepingan serta saiz yang digemari. Sebaiknya jangan terlalu tebal atau nipis. Jika tak nak potong, boleh juga terap menggunakan ‘cookies cutter’. Bentuknya cantik nanti.
7. Salutkan dengan 1/2 cawan tepung gandum.
8. Kemudian celupkan ke dalam bancuhan telur. Ulang poses beberapa kali. Urutannya ialah: tepung – telur-tepung-telur.
9. Salut pula dengan dengan serbuk roti berwarna oren hingga rata.
10. Simpan kepingan keju di tempat beku selama 15 minit sebelum digoreng.
11. Panaskan minyak dan goreng dengan api perlahan hingga kekuningan. Jika nak ‘frozen’kan pun boleh.
Kredit resipi & foto: Asha Zainudin
3. ROTI JOHN MINI
BAHAN-BAHAN:
- 200gm daging kisar
- 4 biji telur
- 1 biji bawang besar | potong dadu
- 2 biji ubi kentang | potong dadu
- 1 kiub pati ayam
- 1 paket kecil rempah sup
- Garam secukup rasa
- 1 sudu makan marjerin / mentega
- Daun sup dan daun bawang secukupnya
- Roti frankfurter
- Mayones secukupnya
- Sos cili secukupnya
CARA MEMASAK:
1. Panaskan mentega @marjerin .
2. Masukkan bawang besar.Tumis sampai sedikit layu.
3. Masukkan kentang yang dipotong dadu. Kuantitinya ikut citarasa. Nak lebihkan pun boleh.
4. Kemudian masukkan daging kisar.Gaul sekata.
5. Masukkan kiub pati ayam. Kacau lagi hingga larut.
6. Selepas semua bahan kelihatan mesra, masukkan rempah sup.
7. Perasakan dengan sedikit garam. Guna sedikit sahaja kerana kiub pati ayam tadi telah memberikan rasa masin.
8. Lepas dah siap masak, pecahkan telur dan campurkan dengan inti yang siap dimasak tadi. Selebihnya simpan dalam peti sejuk dan boleh tahan sebulan.
9. Tambahkan sedikit daun sup dan daun bawang.
10. Potong roti ,belahkan jadi 2 macam dalam gambar.
11. Masakkan inti di dalam kuali. Jumlahnya ikut citarasa masing-masing.
12. Setelah inti kelihatan sedikit masak, letakkan 2 keping roti. Kemudian terbalikkan.
13. Ini rupa roti dengan inti yang dah diterbalikkan.
14. Sapukan mayones dengan secukupnya.
15. Seterusnya sapukan sos cili mengikut citarasa.
16. Siap! Sedia untuk dinikmati.
Kredit resipi & foto: Nurul Shuhada Nsar
4. TEMPE GORENG REMPAH
BAHAN-BAHAN:
- Ketumbar
- Jitan manis
- Bawang putih
- Serbuk kunyit
- Garam
- Tepung gandum
- Air
INFO: Ikut sukatan berapa banyak tempe (Dikisar atau ditumbuk)
CARA MEMASAK:
1. Potong tempe mengikut ketebalan yang dikehendaki.
2. Bancuh bancuhan dengan bahan-bahan kisar. Jangan terlalu cair atau terlalu pekat.
3. Masukkan tempe yang sudah dibelah ke dalam bancuhan.
4. Panaskan minyak dan gorengkan tempe sehingga keperangan.
5. Bila tempe sudah garing boleh angkat dan toskan.
INFO:
- Boleh makan begitu saja atau sedap cicah dengan sos atau sambal kicap.
- Makain nipis tempe dipotong makin rangup bila digoreng.
KREDIT RESIPI & GAMBAR: Chinta Eyja
5. BEGEDIL AYAM
Buat dulu stok begedil dan disimpan dalam freezer dan digoreng bila hendak makan. Begedil sesuai makan dengan soto atau bihun dan boleh juga makan sebagai lauk. Sedap juga makan begitu sahaja dicicah dengan sambal kicap.
BEGEDIL AYAM
BAHAN-BAHAN
- 5kg kentang
- 1kg isi ayam (direbus dan dicarik-carikkan)
- 200g bawang goreng
- 200g daun sup
- Telur (untuk salut bergedil)
BAHAN PERASA
- garam
- gula
- serbuk lada sulah
CARA MEMASAK
1. Goreng kentang agak-agak garing sikit. Angkat dan toskan minyak betul-betul.
2. Hancurkan kentang dan gaulkan dengan bahan-bahan lain kecuali telur.
3. Perasakan dengan garam, gula, serbuk perasa, serbuk lada sulah
4. Kepal-kepalkan mengikut bentuk dan saiz yang diingini.
5. Panaskan kuali dengan minyak. Celup bergedil dalam telur dan goreng sekejap sahaja.
Info: Pernah rebus kentang tapi bergedil cepat basi.
Kredit: Izany Izhas
6. SOSEJ AYAM
BAHAN-BAHAN:
- 1 kg isi ayam
- 1 1/2 sudu teh garam
- 3 ulas bawang putih
- 1/2 sudu teh lada sulah
- 1/2 sudu teh thyme
- 1/2 sudu teh oregano
- 1 tangkai cili kering ( nak pedas letak lebih, yang serbuk pun boleh )
- 1 gelas air / stok ayam
* Anda boleh tambah atau tukar bahan mengikut kreativiti masing-masing.
Saiz gelas plastik untuk menyukat air / stok ayam
CARA MEMASAK:
1. Kisar semua bahan hingga halus dan sebati.
2. Masukkan dalam piping bag, picit memanjang diatas cling flim. Gulung kemas, pusingkan hujung cling flim hingga ketat dan padat. Ikat kuat kanan dan kiri.
3. Didihkan air, rebus dalam 10 minit. Angkat dan rendam dalam air ais sebentar.
4. Tos dan buka balutan cling flim tadi. Bolehlah di goreng atau pan fried. Sosej ini juga boleh disimpan beku.
Kredit resipi & gambar: Siti Zarina Jaidon
7. CHEESY BALL
BAHAN-BAHAN:
- 5 biji ubi kentang
- 1 blok keju mozarella | dipotong kiub
- 1 cawan tepung gandum
- 1/2 cawan minyak masak
- 3 biji telur | dipukul
CARA MEMASAK:
1. Kupas ubi kentang dan rebus. Setelah empuk, lenyekkan hingga hancur. Letak sedikit garam jika perlu.
2. Kemudian masukkan minyak dan tepung gandum. Uli. Jika terlalu lembik, tambah tepung gandum sedikit demi sedikit.
3. Cubit adunan tepung tadi dan leperkan. Kemudian isikan dengan keju.
4. Bulatkan adunan sebegini.
5. Celup bebola ke dalam bancuhan telur.
6. Kemudian golekkan di dalam bekas beriswi serbuk roti hingga rata.
7. Celup sekali lagi dalam adunan telur.
8. Salutkan sekali lagi dalam serbuk roti. Ulang proses sehingga semua bahan habis.
9. Panaskan minyak dan goreng bebola keju menggunakan api sederhana sehingag kekuningan.
10. Sedia untuk dinikmati. Mengancam sungguh!
Kredit resipi & foto: Che Kelly Muhamad
8. TWISTER ALA KFC
BAHAN-BAHAN:
- Roti tortilla – dibakar sekejap dalam kuali non stick selama 2-3 minit
- Isi ayam bahagian dada – digoreng tepung
- Mayones secukupnya
- Sos Thousand Island secukupnya
- Daun salad secukupnya
- Tomato – potong dadu
- Lobak merah – disagat
- Timun – disagat
- Keju – ikut citarasa. Tak nak pun tak mengapa
BAHAN PERAP AYAM
- Tepung gorengan serbaguna
- Telur – dipukul
- Bahan perasa
CARA MEMASAK:
1. Ambil isi ayam dan perapkan dengan sedikit perasa. Biarkan selama 15-30 minit.
2. Kemudian celupkan isi ayam dalam bancuhan telur dan golekkan dalam bekas berisi tepung serbaguna.
3. Celup dalam bancuhan telur sekali lagi diikuti tepung serbaguna. Tekan-tekan sedikit ayam tadi kemudian goreng dalam minyak hingga garing dan berwarna keemasan.
4. Untuk menyediakan twister, ambil roti tortilla dan bakar seketika di atas kuali non stick. Ia bertujuan untuk memudahkan proses menggulung.
5. Sapu mayones pada keseluruhan roti tortilla.
6. Susun daun salad, lobak merah, timun dan tomato. Kemudian paipkan sos Thousand Island dengan secukupnya.
7. Susun kepingan isi ayam yang digoreng tadi diikuti kepingan keju. Balut dengan kemas.
8. Bakar gulungan Twister sekali lagi untuk mencairkan keju. ( boleh bakar guna kuali non stick sahaja.) Jika tak nak bakar pun tak apa.
9. Sedia untuk dinikmati.
Kredit resipi & foto: Mastura Razali
Ayam Berkuah Kacang dan Biskut Pecan Istimewa, Sajian Raya Serina & Papanya Chef Wan

Episod Rasa Nostalgia Ramadan kali ini memang istimewa. Seronok tengok gelagat dua beranak ni masak dan berkongsi kisah Ramadan dan Syawal bersama. Mesra dan saling mengusik kedua beranak ini.
Buat Serina, papanya Chef Wan adalah idola masakannya. Dua sajian istimewa yang dipilih adalah Ayam Berkuah Sate atau Kacang dan juga Biskut Kacang Pecan yang sesuai dihidang semasa Hari Raya.
Cerita Serina dia memang sentiasa teringat kelazatan lauk pauk dan biskut raya yang rangup dan cantik air tangan papanya. Aktiviti bulan Ramadan ini di samping aktif berniaga baju jenamanya sendiri Serina Redzuawan Ready To Wear, dia juga turut membantu orang kampung memasarkan dan menjual produk makanan raya dan puasa dari mereka seperti dodol dan biskut raya .
“Famili kami memang cukup besar hampir 45 hingga 60 orang, bila dah berkumpul adik beradik dan sepupu memang meriah dengan juadah puasa dan raya. Setiap famili bawa kuih raya, lemang, rendang dan kami masak bersama. Saya hanya membawa daging untuk dimasak rendang. Tapi papa akan membuat segala kek dan biskut seperti kek oren, chocolate chip dan pecan cookies.
Kami boleh juga buat tapi tak secantik rupa macam papa buat. Ayam berkuah sate atau berkuah kacang papa memang cukup wangi aromanya dan menjadi kegemaran kami sekeluarga di bulan puasa dan Hari Raya. Selain itu papa dulu rajin masak masakan Arab , Beriani , Nasi Bukhari dan Kus-kus,” imbau Serina mengenai juadah nostalgia Ramadan dan Hari Raya.
Jom semak 2 resipi Nostalgia Serina dan papanya Chef Wan.
AYAM BERKUAH KACANG @ KUAH SATE
BAHAN-BAHAN :
- 1 ekor ayam | dipotong kecil, boleh juga digoreng separuh masak terlebih dahulu
- 500gm kacang tanah | digoreng dengan sedikit minyak dan dikisar kasar
Bahan dikisar kasar :
- 30 tangkai cili kering | direndam air panas
- 12 ulas bawang merah
- 6 ulas bawang putih
- 7 batang serai
- 2.5sm halia
- 2.5sm lengkuas
- 8 sudu makan gula Melaka | yang telah diracik
- 2 sudu makan gula pasir
- 2 cawan air
- 8-10 sudu makan minyak panas
- 1 cawan air asam jawa | daripada 50gm pati asam jawa
- Garam @ garam mineral secukup rasa
- Gula secukup rasa
CARA MEMASAK :
- Panaskan minyak masak dan tumiskan bahan-bahan yang dikisar sehingga naik baunya.
- Apabila garing masukkan kacang tanah. Kacaukan hingga sebati.
- Masukkan air, air asam jawa, gula dan garam secukup rasa ke dalam kuah yang semakin pekat itu.
- Kecilkan api dan masukkan ayam. Biarkan mereneh sehingga ayam dan kuah masak. Tutup api dan sedia untuk dihidang.
BISKUT PECAN
BAHAN-BAHAN :
- 60gm mentega tanpa garam
- ¼ cawan gula aising (serbuk)
- 1 sudu teh esen vanilla
- 125gm kacang pecan | dipanggang dalam oven dan dikisar kasar
- ½ cawan tepung gandum serba guna
- Kacang pecan secukupnya untuk hiasan
- Serbuk gula aising secukupnya | ditabur sebagai hiasan
CARA MEMASAK :
- Pukul mentega dan gula hingga ringan dan berkrim.
- Masukkan esen vanilla, pecan dan tepung, adunkan hingga menjadi doh.
- Ambil doh dan bulatkan dan susun di atas dulang pembakar yang sudah digriskan dengan mentega.
- Leperkan sedikit dengan menekan kacang pecan di atasnya.
- Bakar 8 hingga 10 minit dengan suhu 175 darjah Celsius.
- Bila sejuk taburkan gula aising di atasnya.
TERUSKAN MENONTON RASA NOSTALGIA RAMADAN DI EPISOD SETERUSNYA BERSAMA ABAM BOCEY DAN EPISOD AKHIR ZIANA ZAIN.
JAM 5 PETANG HARI ISNIN DAN SELASA.DI SALURAN ASTRO PRIMA 105 DAN ASTRO PRIMA HD 121.