Tabiat pemakanan sihat sewajarnya dijadikan amalan dalam kehidupan seharian. Ini adalah supaya seseorang individu itu membesar menjadi seorang yang sihat. Pemakanan sihat mempengaruhi berat badan dan sekali gus turut menjadikan seseorang itu jauh daripada pelbagai penyakit.

RASA berbesar hati ingin berkongsi tiga resipi yang bukan sahaja sihat tetapi sedap. Resipi ini adalah daripada Penceramah Pemakanan Dan Gaya Hidup Sihat, Norazizah Ruslan. Beliau sememangnya seorang yang menjaga pemakanan. Malah beliau turut mendidik setiap anak dalam keluarganya mengamalkan pemakanan sihat terutama sayur dan buah.

STEW AYAM

BAHAN-BAHAN
2 paha ayam
6 ulas bawang putih (diketuk) (BELI DI SINI)
1 biji bawang holand (dibelah 8)
1/2 biji lobak merah (dipotong besar)
1 biji kentang (dipotong 8)
1 sudu besar oregano
4 sudu besar sos lada hitam
2 sudu besar plum sauce
2 sudu besar mint sauce
1/2 cawan air

CARA MEMBUAT
1. Gaul rata semua bahan pada ayam.
2. Masukkan semua bahan tadi ke dalam pressure cooker. (BELI PRESSURE COOKER DI SINI)
3. Tunggu sehingga masak. Sedia untuk dihidang.

SAYUR BENING CAMPUR

BAHAN-BAHAN
1 jag air
1 labu bawang besar (belah 4)
Jagung
Labu kuning
Pak choi
Suun (direndam)
Daun sup
1 biji telur ayam
Sedikit garam (BELI DI SINI)

CARA MEMBUAT
1. Didihkan air di dalam periuk.
2. Masukkan jagung dan labu. Biarkan empuk.
3. Masukkan sayur lain dan suun.
4. Pecahkan telur dan masukkan garam.
5. Biar seketika dan angkat.

 

MI LAKSA

BAHAN KUAH
1 jag air
5 ekor ikan selayang (siang dan bersihkan)
2 ulas bawang merah (hiris)
2 ulas bawang putih (hiris)
2 inci halia
3 keping asam keping
Daun sup secukupnya (basuh dan hiris)

CARA MEMBUAT KUAH
1. Rebus air dan masukkan semua bahan.
2. Rebus sehingga ikan masak dan rasanya sebati.
3. Matikan api. Taburkan daun sup.

IKLAN

BAHAN SAMBAL TUMIS
Minyak masak untuk menumis
2 sudu besar cili kering (kisar jadikan pes)
2 ulas bawang merah (kisar halus)
2 ulas bawang putih (kisar halus)
Sedikit gula
Sedikit garam

CARA MEMBUAT SAMBAL TUMIS
1. Panaskan minyak masak. Tumis cili kering, bawang merah dan bawang putih.
2. Masukkan gula dan garam. Masak sehingga pecah minyak.

BAHAN LAIN
Mi laksa kering secukupnya
Kacang panjang
Lobak masin

CARA PENYEDIAAN MI LAKSA
1. Masukkan mi laksa dalam pinggan. Tuangkan kuah dan ikan.
2. Letakkan kacang panjang dan lobak masin.
3. Sedia dinikmati.

Resipi sihat ini adalah daripada Penceramah Pemakanan Dan Gaya Hidup Sihat, Norazizah Ruslan melalui instagram beliau di https://www.instagram.com/noraruslan/

 

Berdasarkan kepada tiga menu hidangan sihat di atas, jom kita dapatkan pandangan daripada Doktor Pakar Kanak-Kanak untuk menerangkan betapa pentingnya ibu bapa menjadi role model dalam soal pemakanan sihat. Perlu diingat, tumbesaran anak-anak banyak bergantung daripada apa yang mereka makan sejak kecil. Jom kita baca pandangan Dr Azri Fikry mengenai hal ini.

IBU BAPA PERLU JADI ROLE MODEL DALAM SOAL PEMAKANAN SIHAT – DR AZRI FIKRY

Ibu bapa dilihat sebagai individu yang paling kuat pengaruhnya terhadap anak-anak. Hal ini termasuk jugalah dengan soal pemakanan. Ibu bapa harus menjadi teladan atau role model kepada anak-anak. Ibu bapa yang mengambil berat soal pemakanan sihat, boleh jadi contoh yang baik kepada anak-anak. Justeru, bagaimanakah kita sebagai ibu bapa mengambil pendekatan penjagaan kesihatan kanak-kanak yang ada kanser terutamanya mengenai pemakanan?

IKLAN

Majalah RASA mendapatkan maklum balas daripada Doktor Pakar Kanak-Kanak Putra Specialist Hospital Batu Pahat, Dr Azri Fikry mengenai pemakanan kanak-kanak yang ada kanser.

Menurut Dr Azri, kanak-kanak yang menghidap kanser memerlukan corak pemakanan yang sama sahaja dengan kanak-kanak lain. Mereka memerlukan sumber protein, karbohidrat, lemak, vitamin dan mineral secukupnya. Ini demi memastikan tumbesaran kanak-kanak penghidap kanser adalah dalam keadaan baik.

“Perkara paling penting diambil berat adalah soal kebersihan dalam penyediaan makanan untu pesakit kanser kanak-kanak. Kita kena tahu yang mereka ini mempunyai paras sistem imuniti yang sangat rendah. Makanan yang kurang bersih atau yang sudah lama harus dielakkan untuk mengelak jangkitan kuman. Walaupun dijangkiti kuman biasa, masalah kesihatan pesakit kanser berpotensi untuk jadi teruk kerana sistem imuniti mereka pada tahap rendah,” katanya.

 

ELAK SNEK ATAU MAKANAN RINGAN

Ibu bapa harus mendidik supaya anak-anak tidak suka makan snek atau makanan ringan. Bukan untuk kanak-kanak yang menghidap kanser sahaja tapi masyarakat secara keseluruhan perlu dididik tidak gemar makan makanan ringan.

“Makanan ringan memang elok untuk dielak kerana tiada nilai kesihatan. Didik anak menyukai makanan berzat tinggi seperti buah dan sayur. Makanan berzat tinggi penting untuk membina ketahanan sistem imuniti. Ini berbeza dengan makanan ringan yang tinggi kandungan garam dan bahan pengawetnya,” katanya lagi.

Dr Azri menyarankan kanak-kanak yang menghidap kanser diajar supaya mengamalkan diet yang ada unsur protein, serat, vitamin, mineral dan lemak yang cukup. Lagipun, makanan sebegini bagus untuk tumbesaran fizikal dan perkembangan mental serta IQ kanak-kanak.

“Kurma dan kekacang mempunyai serat, gula dan protein yang baik. Boleh galakkan anak-anak makan makanan sebegini. Olah ikut selera anak. Misalnya kurma boleh diberi secara direct atau dicampur dengan susu,” tambah Dr Azri.

IKLAN

Perbanyakkan sayuran dalam hidangan makanan utama.

Antara contoh hidangan mengenyangkan dan sihat dalam pemakanan. Banyakkan sayur.

IBU BAPA JADI ROLE MODEL

Obesiti adalah satu lagi senario yang perlu diambil berat. Menurut Dr Azri, sepanjang pengalamannya berkhidmat sebagai Doktor Pakar Kanak-Kanak, golongan kanak-kanak yang dirujuk kepada doktor kerana masalah obesiti, ibu bapa mereka juga adalah kategori obese. Justeru, apabila nasihat pemakanan untuk anak-anak ini diberikan, keadaan jadi seolah-olah tidak adik kerana ibu bapa dikecualikan.

“Jadi saya melihat ibu bapa patut jadi sebagai role model. Ibu bapa perlu bekerjasama dan merancang soal pemakanan dengan anak-anak. Misalnya berikan reward jika masing-masing berjaya makan sayur dalam kuantiti secukupnya. Anak mesti suka. Sekali gus menjadikan tabiat pemakanan sihat dalam keluarga,” katanya.

Pesakit kanser yang tidak mengamalkan pemakanan sihat lazimnya akan mengalami tumbesaran yang terjejas. Ini kerana kanser itu sendiri menyebabkan hilang berat badan. Selain itu, diet yang tidak sihat akan mengganggu sistem kesihatan dan imuniti. Rawatan tidak akan berkesan sekiranya faktor ini tidak diambil peduli.

BUANG MENTALITI ANAK GEMUK SEBAGAI COMEL

Sejak anak masih kecil, ibu bapa perlu mempunyai mentaliti yang betul mengenai soal berat badan. Mentaliti yang salah akan menjadikan kita ambil ringan soal berat badan dan hasilnya anak membesar dengan berat badan yang berlebihan.

“Mentaliti anak gemuk sebagai comel harus dielakkan. Selain berat badan, ketinggian anak juga harus dititikberatkan. Kawal berat badan sejak masih kanak-kanak lagi. Makan makanan yang berkhasiat tinggi. Pesakit kanser mempunyai sistem imunisasi yang lemah kerana dua faktor. Pertama, faktor kanser itu sendiri. Kedua, rawatan kemoterapi boleh menyebabkan ketahanan badan menjadi lemah. Saya sarankan ibu bapa yang mempunyai anak penghidap kanser supaya jaga diet seimbang untuk anak. Elak makanan ringan kerana tiada khasiat pun dalam makanan ringan selain garam dan pengawet yang tinggi. Nasihat ini juga untuk kanak-kanak yang tiada kanser. Diet seimbang patut diamalkan oleh setiap individu,” ujar Dr Azri menutup bicara.

 

Jangan lupa saksikan Power Talk Fight Against Cancer, 18 November 2020, secara LIVE di facebook Mingguan Wanita.

Jom tonton video ini.

https://fb.watch/1y7iUI1_6I/