3 Chef Pastri Dari Malaysia Juarai Piala Dunia Pastri 2019, Tahniah!

Share

 

Sangat membanggakan apabila negara kita Malaysia berjaya membawa pulang trofi Piala Dunia Pastri 2019 yang berlangsung pada 27 dan 28 Januari di Lynon, Perancis. Kali ini tiga chef kita telah mengharumkan nama negara selepas bersaing sengit dengan 21 wakil negara berbeza.

Trofi paling berprestij dalam dunia penghasilan pastri ini dimenangi oleh tiga chef pastri iaitu Wei Loon Tan, Otto Tay dan Ming Ai Loi. Lebih manis apabila mereka ini berjaya menjadi juara mengalahkan wakil tuan rumah yang pernah bergelar juara untuk pertandingan pada tahun 2017 lepas.

Tempat kedua dimenangi wakil dari Jepun iaitu Fumiaki Ito, Mirai Nishiyama dan Ryohei Oguma manakala pingat gangsa dibawa pulang oleh Lorenzo Puca, Maria Cortinovis dan Andrea Restuccia selaku wakil Itali.

Antara syarat pertandingan adalah setiap negara diwakili tiga peserta. Mereka diberikan masa selama 10 jam untuk menyediakan beberapa juadah antaranya 3 pencuci mulut coklat cara Valrhona, 19 jenis pencuci mulut dihidang di atas pinggan dan 3 pencuci mulut jenis buah beku daripada variasi capfruit.

Pada pertandingan kali ini juga, penganjur mahu setiap hidangan menonjolkan konsep vegetarian. Ini adalah kali pertama konsep sedemikian dibuat. Tahniah kepada chef Malaysia!

IKLAN